Amalan Ahli Korban sebelum Haiwan korban di sembelih
Soalan:
Saya pernah mendengar, ada yang mengatakan bahawa terdapat
hadith yang menganjurkan bagi mereka yang ingin melakukan ibadah korban
agar tidak memotong kuku dan juga rambutnya apabila tiba sahaja 1
Zulhijjah. Sejauh manakah kebenaran anjuran ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan
salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda
SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah
baginda SAW.
Apabila sudah masuk bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah) maka
disunatkan bagi orang yang ingin berkorban untuk tidak memotong rambut
di kepalanya, wajahnya, atau badannya, tidak juga memotong kukunya,
sehingga dia selesai menyembelih korbannya. Hal ini berpandukan hadis
daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW
bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.Hadis riwayat Imam Muslim (1977)
Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih
Muslim menyebutkan bahawa hadith ini, sebahagian ulama’ memahaminya
dengan mengatakan haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang
ada di badan serta memotong kuku dan ini adalah pendapat Sa’id bin
al-Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Daud al-Zahiri, Ishak dan juga sebahagian
ashab al-Syafi’e. Adapun al-Imam al-Syafi’e dan ashabnya yang lain,
mereka mengatakan bahawa larangan tersebut hanyalah makruh tanzih dan
bukannya haram.
Kesimpulan
Melihat kepada pendapat-pendapat yang ada di dalam
permasalahan ini, kami nyatakan di sini bahawa bagi mereka yang ingin
melakukan ibadah korban, apabila tibanya 1 Zulhijjah maka disunatkan
untuk tidak memotong kuku, rambut serta bulu-bulu yang berada di badan
sehinggalah selesai dia melakukan ibadah korban tersebut. Ini seperti
mana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga
adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.
Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah
dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut
bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang
terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.
Ada pendapat yang lemah menyatakan untuk menyerupai orang yang berada
dalam keadaaan ihram di mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur,
memotong kuku dan beberapa larangan lain. Wallahua’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment