Perbandingan Manhaj Takhrij al-Hadith Ulama Hadith Mutaakhirin dan Mu'assirin

✏️ Perbandingan Manhaj Takhrij al-Hadith Ulama Hadith Mutaakhirin dan Mu'assirin.

Kaedah penyampaian dakwah, penulisan kitab, pembelajaran dan sebagainya pasti akan melibatkan zaman atau masa. Hal ini kerana, zaman adalah dinamik dan sentiasa berubah kerana sifat manusia yang memiliki akal. Manusia akan sentiasa mencipta sesuatu untuk mendatangkan kemudahan serta manfaat dalam hidup.

Tidak terkecuali bidang Hadith, kaedah takhrij juga sentiasa berkembang mengikut zaman kerana keperluan terhadap hadith sentiasa berubah.

Ketika zaman salaf. Takhrij al-Hadith bukan menjadi suatu keutamaan kerana era tersebut masih dekat dengan zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan Tabiin yang menjadi zaman terbaik umat Islam. Zaman salaf adalah era penyampaian dan periwayatan hadith sama ada secara riwayah atau dirayah. Sewaktu itu, perawi akan menyampaikan hadith dan syarah kefahaman hadith akan diambil oleh penunutut ilmu sebaik mungkin.

Manhaj ini berubah ketika era ulama hadith Mutaakhirin seperti era Imam al-Bukhari, Imam Muslīm, Imam al-Tirmidhī dan Imam Ibn Ḥajār. Zaman ini, rekaan hadith mula berlaku dari kalangan agamawan menyebabkan takhrij al-Hadith sangat diperlukan. Justeru, Para ulama hadith mula mengeluarkan cara memelihara hadith Nabi SAW seterusnya muncul ilmu jarh wa ta'dil, rijal al-hadith, ilal hadith dan lain-lain. 

Zaman era ulama Mutaakhirin meletakkan zaman dimana ulama menilai sumber hadith berdasarkan rangkaian sanad yang muttasil, ʻadalah perawi, ḍābt perawi dan kesejahteraan hadith daripada ‘illah serta unsur tadlīs dari perawi thiqāh. Perawi yang daif dan kazzab diasingkan dan riwayat mereka ditolak serta tidak diterima.

Sebaliknya, era moden hari ini masyhur dengan teknologi hujung jari seperti media sosial yang berkembang lalu penyebaran hadith palsu semakin berleluasa. Lantas ulama masa kini seperti Sheikh Shuʿayb al-Arnāʾūṭ (1928–2016), SheikhʿAbd al-Fattāḥ Abū Ghuddah (1917–1997), Sheikh Dr. Ayman Suwayd (Syria), Sheikh Prof. Dr. Maḥmūd al-Ṭaḥḥān (lahir 1935) dan Sheikh Muhammad Al-Khair Abadi menekankan aspek penyebaran hadith palsu yang berleluasa dan mustaḥāq untuk melalui pembersihan sumber hadith menggunakan pendekatan tajdid. 

Ia dilakukan dengan menilai hadith berdasarkan kaedah penemuan moden terhadap manuskrip dan kaedah yang sistematik dalam penilaian sanad dan matan. Tidak boleh tidak untuk kita menafikan perintis kepada manhaj tajdid dalam ilmu hadith ini adalah Nasir al-Albani meskipun ada diantara kita tidak bersetuju dengan beliau. Hal ini kerana, disebabkan buah fikiran beliau yang menggunakan teknologi bagi menapis dan membandingkan matan hadith serta sanad membolehkan para ulama Mu'assirin lain turut menuruti manhaj ini.

Hal ini dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada kajian latar belakang sejarah, kesan penyebaran hadith palsu dan penggunaan kaedah kritikan yang lebih sistematik serta ilmiah dalam menilai sesebuah hadith. 

Pendekatan ini membantu menangani cabaran moden dalam kajian hadith dan memastikan rujukan hadith yang digunakan adalah tepat dan boleh dipercayai. Kaedah moden membantu takhrij al-Hadith menjadi lebih cepat dan mudah kerana perbandingan matan serta sanad dapat diakses secara menyeluruh disatu tempat sahaja. 

Maka, pemeliharaan terhadap martabat hadith berlaku pada tahap yang paling baik. Meskipun takhrij al-Hadith hari ini lebih mudah, hadith ini tidak akan dapat dipelihara tanpa ilmu dan usaha ulama lampau yang bermusafir menghimpun hadith serta membukukan pecahan ilmu hadith untuk rujukan umat hari ini. Sumbangan mereka adalah punca hadith ini dapat dijaga dan sejahtera dari rekaan yang tidak bertanggungjawab.

 الله اعلم 
Penuntut ilmu hadith
Al-Faqir Mohd Nasyran 
Utara Perak 
10.36pg
7/5/2025

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Cara Batal pinjaman ASB CIMB

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.