Perjalanan Penulisan Tafsir Said Qutb - Fi Zilal Al-Quran

PERJALANAN PANJANG FI ZILAL AL-QURAN - SAID QUTB SEBELUM SAMPAI KE TANGAN UMAT.

Said Qutb merupakan tokoh gerakan Islam yang cukup masyhur & namanya tidak lekang dari kontroversi. Kitab besarnya yang berjudul 'Fi Zilal al-Quran' atau jika diterjemahkan bermaksud 'Di Bawah Naungan al-Quran', turut menjadi sasaran kritikan. 

Bagi pendukung-pendukung gerakan Islam, karya Said Qutb seakan menjadi antara senarai buku yang mesti ada dalam perpustakaan peribadi di rumah masing-masing. Sudah pasti, Said Qutb adalah tokoh yang menginspirasikan ramai orang.

⚫ Syeikh Solah, Pengkaji Tegar Manhaj Said Qutb.

Sarjana ilmu tafsir Jordan yang terkenal, Syeikh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi memperuntukkan usianya untuk mengkaji manhaj tafsir Said Qutb. Kajian PhD beliau bertajuk 'Fi Zilal al-Quran: Dirasah wa Taqwim' disempurnakan pada tahun 1984.

Kajian tersebut akhirnya dicetak menjadi 3 jilid kitab tebal yang bertajuk 'Madkhal - Fi al-Mizan - al-Manhaj al-Haraki Fi Zilal al-Quran. Melalui kajian Syeikh Solah, penulis dapat memahami secara objektif tanpa prejudis terhadap manhaj tadabbur Said Qutb. 

Sekalipun ada pandangan yang menolak kelayakan Said Qutb menafsir al-Quran, Syeikh Solah mempertahankan relevansi bahawa Fi Zilal al-Quran merupakan kitab tafsir yang unik memiliki pembawaannya tersendiri. Bahkan jika kita mengikuti gaya penafsiran Syeikh Solah, kita akan dapati beliau amat terkesan dengan manhaj Said Qutb. 

Nikmat keasyikan ketika membaca tulisan beliau, seakan-akan sama nikmatnya apabila kita membaca Fi Zilal al-Quran Said Qutb. Maka penulis banyak menjadikan kajian beliau sebagai rujukan untuk memahami manhaj tafsir Said Qutb.

⚫ Berpanjangan di'blacklist'.

Ustaz Muhd Qutb (Adik Said Qutb) telah menceritakan kepada Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi, betapa teruk abangnya cuba dianiaya & di'blacklist' sejak dahulu. Saat kitab berjudul Qasas al-Anbiya' karangan Abdul Hamid Judah Sahhar & Said Qutb ingin diulang cetak, menteri pertahanan Mesir ketika itu yg bernama Badran memberi amaran agar nama Said Qutb sebagai penulis mesti dibuang dari kitab tersebut. 

Sahhar mempertikai, apakah mereka sememangnya obses mahu menghapuskan nama & pemikiran Said Qutb? Badran memperakuinya & menyatakan komitmen penuh ke arah itu. 

Kini sekalipun berpuluh tahun agenda tersebut dilangsungkan, ia tetap gagal. Momokan Qutbiyyah atau Qutbisme diangkat oleh badan-badan intelijen Barat untuk ditohmah kononnya Said Qutb sebagai figur pengganas. Usaha tersebut disambut oleh sebahagian orang Islam hari ini tanpa tabayyun yang adil.

⚫ Menjadi Korban Politik.

Saat berlakunya krisis antara Ikhwan Muslimin & kerajaan revolusi pimpinan Jamal Nasir pada 1954, Said Qutb disumbatkan ke dalam penjara selama 15 tahun. Pada 1964, presiden Iraq meminta Jamal Nasir membebaskan Said Qutb. 

Lalu beliau dibebaskan hanya setahun, kemudian dipenjarakan lagi dengan tuduhan-tuduhan yang baharu. Ketika itu, Jamal Nasir membuat pendedahan dari Moscow kononnya Said Qutb sedang mendalangi gerakan anarkis untuk merampas kuasa kerajaan revolusi. 

Maka jelaslah tujuan akhir mereka mahu mencipta alasan untuk membunuh Said Qutb & ia terlaksana pada 1966. Hukuman mati ke atas Said Qutb dipercepatkan 2 bulan sebelum umurnya genap 60 tahun. Hal ini kerana dalam undang2 Mesir ketika itu, sesiapa yg umurnya lebih 60 tahun maka hukuman mati akan ditukar kepada penjara seumur hidup.

Peruntukan tersebut mahu dielak oleh kerajaan revolusi agar Said Qutb tidak terlepas dari hukuman mati. Urusan wasiatnya tidak sempat diselesaikan. Waktu perlaksanaan hukumanan gantung selalunya pada 8 pagi. Tetapi Said Qutb digantung awal sekitar 4 pagi bersama rakannya, Abdul Fattah Ismail & Muhd Yusuf Hawash. Sebelum kematiannya, beliau sempat menulis buku berjudul 'Limaza A'damuni' yg bermaksud, "Mengapa Mereka Membunuhku'.

⚫ Permulaan Siri Fi Zilal al-Quran.

Seawal penulisan Fi Zilal al-Quran, pada 1951 menantu Hasan al-Banna yang bernama Said Ramadhan sedang mengusahakan majalah al-Muslimun. Ia merupakan majalah bulanan yang membahaskan soal pemikiran & isu umat Islam. Maka Said Qutb diminta untuk mengisi kolum khas lantas beliau bersetuju dengan menamakan kolum itu sebagai Fi Zilal al-Quran. Penulisan bersiri tersebut berlangsung sebanyak 7 siri.

Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan, Said Qutb mengisytiharkan siri Fi Zilal al-Quran akan dikeluarkan secara khusus. Sementara kolum beliau dalam majalah al-Muslimun tetap diteruskan tetapi dengan tajuk yang lain. Dari 1952 hingga 1954, Said Qutb berhasil mengeluarkan Fi Zilal al-Quran sebanyak 16 siri. Ketekunan beliau menulis amat dahsyat, kerana pada tempoh yang sama juga buku-buku lainnya turut berjaya dikeluarkan. Selepas itu beliau dipenjarakan.

⚫ Mengapa Beliau Diizinkan Menulis Di Penjara?

Bagaimana beliau boleh terus menulis sedangkan peraturan penjara melarangnya? Tauke percetakan Dar Ihya Kutub Arabiyyah, Isa Halabi merayu agar kerajaan membenarkan Said Qutb menulis dalam penjara. Hal ini kerana beliau telah mengikat perjanjian dengan syarikat percetakan tersebut untuk menyempurnakan penulisan Fi Zilal al-Quran. 

Sekatan terhadap Said Qutb hanya menganggu perjanjian & mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat. Apatah lagi ketika itu kerya tersebut sedang mendapat permintaan amat menggalakkan. Lalu permohonan Isa Halabi dibenarkan dengan sejumlah bayaran sebanyak LE 10,000 kepada kerajaan revolusi.

Keizinan tersebut juga bermotifkan propaganda, untuk menutup berita seksaan teruk di penjara yang sedang dikenakan ke atas Said Qutb. Ketika Jamal Nasir ke Pakistan, ulama' Pakistan memprotes penganiayaan ke atas Said Qutb. 

Lantas Jamal Nasir menafikannya. Kononnya Said Qutb tidak dipenjarakan, dengan membawa alasan bahawa beliau kini bebas menulis. Namun, mereka tetap
tidak percaya kerana ada dalam kalangan mereka yang berhubung terus dengan Muhammad Qutb, menyebabkan mereka terdedah dengan cerita sebenar.

⚫ Pengesahan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Apabila permintaan karya Said Qutb semakin 'laku keras', kerajaan mengarahkan Syeikh Muhammad al-Ghazali (guru Syeikh al-Qaradhawi) untuk mengomentari Fi Zilal al-Quran sebelum ia dicetak semuanya. Setelah diperiksa, Syeikh Muhammad Ghazali memperakui Fi Zilal al-Quran tanpa memadam isi kandungan di dalamnya. 

Cuma ada bahagian dari surah al-Buruj yang diperbetulkan. Dikatakan bahagian tersebut ditulis ketika Said Qutb teruk diseksa di penjara lalu memberikan kesan kepada penulisannya. Maka gelombang Fi Zilal al-Quran tidak mampu disekat ketika itu.

⚫ Manhaj Tafsir.

Beliau lebih masyhur sebagai ahli bahasa. Ilmu tersebut turut diperolehi dari tokoh besar Mesir yang bernama Abbas Aqad. Sekalipun ada perbezaan pandangan antara Said Qutb & Abbas Aqad, namun beliau tetap menyanjungi gurunya sebagai tokoh sastera yang luar biasa.

Dalam penulisan-penulisan Said Qutb, beliau menggambarkan betapa asyiknya menikmati al-Quran. Beliau menghubungkan elemen psikologi, pemikiran & realiti masyarakat semasa, dengan al-Quran. 

Sejak kecil Said Qutb telah dimesrakan dengan al-Quran. Secara akademik, beliau mempelajari ilmu tafsir di Universiti Darul Ulum. Namun, skema pendekatan yang dipersembahkan oleh kebanyakkan orang belum memuaskan Said Qutb. Baginya huraian al-Quran perlu lebih dibumikan. Ia adalah kitab realistik.

Dari kesedaran itulah, Said Qutb mengolah al-Quran dengan pemahaman bahasa yang lebih terperinci. Membawa pembaca agar benar-benar mengamati maksud istilah-istilah al-Quran dengan terperinci. 

Beliau mengambil riwayat-riwayat sirah agar dapat membina gambaran sebenar suasana ketika ayat-ayat al-Quran diturunkan. Pada masa yang sama, berhati-hati dengan riwayat Israiliyyat. Dalam Fi Zilal al-Quran, Said Qutb menitik-beratkan soal nilai kesenian bahasa, penceritaan yang berkesan, dialog yang mencerahkan minda & perumpamaan yang realistik.

Maka tidak peliklah jika kita membaca Fi Zilal al-Quran, kita akan merasai sensasi luar biasa kerana apa yang dihuraikan seakan-akan menjelma dalam imaginasi & amat realistik sekali. Daya tarikan itulah yang cuba diusahakan oleh Said Qutb, agar umat ketagih mendapat inspirasi dari al-Quran.

⚫ Tujuan Penulisan Fi Zilal al-Quran.

Syeikh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyenaraikan sebanyak 16 tujuan penulisan Fi Zilal al-Quran.

▪️Meruntuhkan tembok pemisah antara umat Islam & al-Quran. Beliau cuba mendekatkan umat dengan al-Quran dengan membawa kefahaman yang realistik & mudah difahami lalu dijadikan sebagai buah fikiran.

▪️Memperjelaskan bahawa al-Quran mengorientasikan kehidupan umat Islam sebagai pejuang agama.

▪️Menyediakan pedoman kehidupan dari al-Quran secara amali. Said Qutb tidak fokus pada perbahasan hukum hakam & tidak larut dengan ta'wilan yang jauh dari keperluan masyarakat.

▪️Mendedahkan penekanan tarbiyyah al-Quran seperti yang telah dilalui oleh generasi lalu, untuk diaplikasikan oleh kita hari ini. Dari pendidikan sedemikian dapat meneroka potensi-potensi iman untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

▪️Memperjelaskan karektor masyarakat Islam yang sebenar. Ini termasuklah soal jatidiri & mutu tersendiri yang perlu ada pada umat Islam. Tidak mudah terikut-ikut dengan gagasan selain Islam.

▪️Menyediakan 'manual' menuju ke jalan Allah berdasarkan al-Quran. Ujian ke atas golongan yang bersama Islam, sikap manusia di dunia & tabiat dendam musuh Islam, diperjelaskan dengan ayat-ayat al-Quran.

▪️Memperkenalkan elemen keseragaman mesej-mesej al-Quran yang konsisten. Sekalipun setiap surah mempunyai karektornya yang tersendiri & semua itu berkongsi mesej yang seragam.

▪️Mengingatkan umat bahawa ancaman jahiliyyah masih berlangsung. Gejala materialistik & enggan menegakkan hukum Allah, dikaitkan dengan jahiliyyah moden.

▪️Mengikat naratif al-Quran dengan realiti semasa. Hal ini termasuklah tabiat-tabiat manusia yang tidak berubah sejak zaman berzaman.

▪️Mengemukakan cara bagaimana berinteraksi dengan al-Quran. Said Qutb mengutamakan riwayat para sahabat yang semestinya didapati dari kitab-kitab Tafsir Bi al-Ma'thur. 

▪️Menekuni pedoman sejarah yang terkandung di dalam al-Quran. Perbahasan berkenaan sebab turun ayat sarat dimuatkan dalam Fi Zilal al-Quran. Elemen ini membantu kita untuk menggambarkan suasana sebenar ketika ayat-ayat al-Quran diturunkan.

▪️Menekankan soal tunduk, patuh & percaya sepenuhnya dengan ketetapaan syariat Islam. Said Qutb tidak bergantung banyak dengan hikmah-hikmah di sebalik perlaksanaan syariat. Sebaliknya beliau menggagaskan agar umat Islam menerima ketetapan syariat Allah secara solid.

▪️Menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah melalui nikmat kehidupan & alam semesta.

▪️Memfungsikan aqidah agar ia sejajar dengan komitmen syariat yang wajib direalisasikan. Aqidah tidak terhenti pada pengajian teori semata-semata, malah ia adalah komitmen yang perlu dilaksanakan.

▪️Menayangkan keseragaman hidup antara manusia & alam semesta.

▪️Memukau akal & perasaan umat Islam dengan sensasi al-Quran. Penjelasan, gambaran & segala tujuan-tujuan yang telah disebutkan di atas, memukau pembaca agar menikmati ketagihan terhadap al-Quran yang mengasyikkan.

⚫ Rujukan Tafsir.

Ramai yang beranggapan kononnya Said Qutb menulis Fi Zilal al-Quran secara 'goreng' tanpa rujukan yang kredibel. Seakan-akan ia hanyalah khalayan Said Qutb terhadap al-Quran. Sedangkan jika kita tekuni, Fi Zilal al-Quran sarat dengan rujukan-rujukan kitab tafsir, samada turath atau moden. Antaranya:

▪️Tafsir Bi al-Ma'thur: Said Qutb mengutamakan riwayat-riwayat tafsir dari para sahabat & tabi'in. Sudah pasti yang menjadi pilihan bagi kriteria ini adalah Tafsir Ibnu Kathir & Tafsir al-Tabari. 2 rujukan ini seakan kekal mendampingi Said Qutb sepanjang penulisan Fi Zilal al-Quran. Selain itu, Tafsir Durr al-Manthur karangan Imam Suyuti turut menjadi rujukan beliau.

▪️Tafsir Hukum: Said Qutb tidak panjang membahaskan hukum-hakam. Beliau cenderung mengambil secara langsung rumusan-rumusan dari kitab-kitab tafsir hukum feqh. Antaranya Tafsir al-Jassas, Tafsir al-Qurtubi & Tafsir Ibnu al-Arabi.

▪️Tafsir-tafsir lain: Said Qutb turut merujuk Tafsir al-Tha'labi, Tafsir al-Baghawi, Tafsir Ruh al-Ma'ani oleh al-Alusi & Tafsir al-Kasyyaf oleh al-Zamakhsyari. Said Qutb agak berhati-hati mengambil riwayat dari tafsir al-Kasyyaf. Terlebih dahulu beliau akan meneliti riwayat & melihat sokongan dari tafsir-tafsir yang lain.

▪️Tafsir Moden: Said Qutb merujuk Tafsir Juz Amma Muhammad Abduh. Adakalanya beliau mengkritik tafsiran Muhammad Abduh, contohnya berkenaan ta'wilan burung Ababil oleh Muhammad Abduh yang mengatakan ia adalah serangga penyebar virus. Begitu juga Said Qutb merujuk Tafsir al-Mannar oleh Rasyid Redha yang juga merupakan murid Muhammad Abduh. Selain itu, Said Qutb turut merujuk Tafsir al-Hadith oleh Muhammad Izzat Darwazah.

⚫ Insaf.

Mengenang kembali perjalanan Said Qutb, bukan bermakna kita fanatik dengannya. Beliau tetap manusia biasa seperti kita semua. Tiada siapa yang ma'sum, kecuali Nabi. Cuma kita mestilah mencermati hak orang lain, apatah lagi jika orang itu telah 'pergi' & dibunuh dengan zalim. Sedangkan Allah Maha Adil.

Berfikirlah dengan waras, apakah logik kita mendakwa mangsa bunuh sebagai pengganas? Apakah benar kita telah mencermati tulisan & benar-benar memahami gagasannya? Apakah adil kita mendakwanya dengan pelbagai tuduhan hanya melalui kesimpulan & tanggapan dari pihak lain yang terdedah kepada pelbagai motif? 

Pada masa yg sama kita yang mahu membela Said Qutb pun perlu benar-benar menelaah kitab-kitabnya, agar kita objektif ketika berbahas. Adalah merupakan kerugian besar jika kita tidak membaca karya-karyanya. Sebahagiannya menggambarkan kerencaman dunia hari ini.

Semoga Allah merahmati ruh Said Qutb & para syuhada. Amin.

Abdul Mu'izz Muhammad
4 Januari 2019.

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?