Kepentingan ilmu Falak : Pedoman dari Matahari (دليل الشمس)
بسم الله الرحمن الرحيم
وَجَعَلَ ٱلْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًۭا وَجَعَلَ ٱلشَّمْسَ سِرَاجًۭا ١٦
Maksudnya : "Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang). - Surah Nuh ayat 16.
Al- Imam Abū al-Thanā’ Shihāb ad-Dīn Sayyid Maḥmūd ibn ‘Abd Allāh al-Ḥusaynī al-Ālūsī al-Baghdādī wafat pada tahun 1270H bersamaan 1854M. Beliau lebih dikenali sebagai al-Imam al-Alusi dan mengarang sebuah kitab tafsir yang dinamakan tafsir al-Alusi. Beliau menyatakan di dalam tafsirnya bahawa apabila berlalunya malam, cahaya bulan hilang dan bermulalah siang dengan pancaran matahari yang terang- benderang seumpama lampu yang menerangi alam, manusia mendapat pedoman atau petunjuk untuk melihat seluruh isi bumi di setiap ufuk sama ada di atas dan di bawah lautan.
Kata guru kami, Tuan Guru Hanafiah bin Abdul Razak, pakar falak Malaysia di bawah Jawatankuasa falak JAKIM, "itulah nilai pancaran matahari. Soalnya, apa yang ingin dilihat, bagaimana hendak melihat, di mana perlu dilihat, siapa yang perlu melihat, mengapa perlu melihat dan lain-lain lagi." Maka, sejauh mana matahari dimanfaatkan?
Allah SWT mencipta matahari dengan cahaya yang berbeza pada setiap waktu. waktu fajar, waktu isyrak, waktu dhuha, waktu istiwa, waktu zawal, waktu asar, waktu maghrib dan waktu-waktu lain mempunyai pancaran, warna dan haba yang berbeza. Hasil perbuatan memanfaatkan matahari, akan memberi hak pemilikan kepada manusia sama ada pemilikan itu penuh atau separuh, kekal atau sementara.
Sabda Rasulullah SAW :
خَلَقَ اللهُ الْقَمَرُ مِنْ نُوْرِ وَخَلَقَ الشَّمْسُ مِنْ نَارِ
Maksudnya: Allah menciptakan bulan dari cahaya dan menciptakan matahari dari api. Hadis riwayat Ka'ab bin Malik. Imam Syihabuddin di dalam kitab Nihayah al-Arb fi Funun al-Adab.
Dari hadis ini, manfaat matahari yang dikenalpasti adalah sumber tenaga yang tidak pernah putus. Hal ini kerana matahari terbit setiap hari apabila tiba masanya dan terbenam apabila tiba masanya.
Sabda Rasulullah SAW:
إنَّ الشَّمسَ والقمرَ وجوهُهما مِمَّا يلي السَّماءَ وظهورُهما مِمَّا يلي الأرضَ
Maksudnya: Sesungguhnya tengkuk-tengkuk matahari dan bulan sentiasa menghadap ke langit manakala belakang-nya menghala ke arah bumi. Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar RA, Ibnu Hajar al-Asqalani RH meriwayatkan hadis ini di dalam kitab al-Kafi al-Shaf. Ibnu Hajar berkata, Ibnu Umar meriwayatkan hadis ini tetapi ia diambil dan ditulis di dalam mushaf Amru bin al-As. Hadis ini Gharib (ganjil).
Kata guru kami Tuan Guru Hanafiah, hadis ini memberi kiasan bagaimana matahari dan bulan sentiasa memberi pengaruh kepada langit dan bumi tanpa henti sehingga kiamat. Keterikatan bulan dan matahari itu memberi manfaat cahaya dan tenaga yang tidak henti-henti.
Menurut al-Imam Syihabuddin al-Nuwiri yang wafat pada tahun 733H di dalam kitabnya Nihayah al-Arb fi Funun al-Adab, matahari memiliki 13 nama. Setiap nama yang diberi adalah berdasarkan sifat dan tabiat matahari.
Nama-nama matahari:
1. Zuka' / Zaka' (ذكئ) - Ia bermaksud pemintas merujuk kepada keadaan matahari ketika berlaku zawal atau disebut zenith. Ia memintas garisan tengah di antara bahagian timur dan barat. Matahari terbit dari ufuk timur, meninggi sehingga istiwa, dan kemudian berlaku zawal yang memintas garisan tengah ufuk seterusnya memasuki ufuk barat dan turun semula sehingga ia terbenam. Ketika waktu zawal, berlaku perubahan angin. Pergerakan matahari mempengaruhi arah tiupan angin.
2. al-Jariah (الجارية) - Ia bermaksud mengalir. Matahari mempengaruhi aliran cecair di bumi. setiap perubahan waktu memberi pengaruh kepada aliran air. Awal waktu dhuha akan memperlahankan aliran air sehingga dilihat sungai dan air terjun menjadi tenang.
3. al-Jaunah (الجونة) - Ia bermaksud warna putih, hitam dan merah. Matahari mengandungi tujuh warna. Pengamatan cahaya matahari memberi perubahan tahap warna mengikut darjah kedudukan matahari seterusnya mempengaruhi suhu di muka bumi.
4. al-Ghazalah (الغزالة) - Ia merujuk kepada tabiat matahari yang mempengaruhi suhu dan kelembapan. Panas, sejuk, kering dan basah.
5. al-Lahah (اللاهة) - Ia merujuk kepada tabiat haba panas matahari yang melupus sesuatu. Oleh itu, jemuran matahari mampu mengawet makanan untuk tahan lebih lama kerana terhapusnya bakteria dan kelembapan.
6. al- Duha (الضحى) - Ia bermaksud naik matahari.
7. al-Dahu (الضح) - Ia merujuk kepada sifat matahari yang terang-benderang lalu menzahirkan waktu siang sepenuhnya. Oleh itu, matahari memancarkan cahaya paling kuat ketika ini dan suhu mula meningkat sedikit demi sedikit.
8. Yuh (يوح) - Ia merujuk kepada gelaran bagi matahari.
9. al-Syirq (الشرق) - Bermaksud Timur.
10. Hanazi (حناذ) - Bermaksud membakar.
11. al-Ain (العين) - Bermaksud mata kepada hari.
12. al-Maubah (المؤوبة) - Bermaksud benda yang dirujuk atau marju'. Terdapat juga ulama yang menyebut solat duha sebagai solat awwabin iaitu solat orang yang kembali rujuk kepada Tuhannya.
13. al-Siraj (السراج) - Bermaksud lampu yang menerangi.
Rujukan:
Pembentangan Tuan Guru Hanafiah bin Abdul Razak dalam seminar ilmu falak anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak pada 12/7/2024.
Comments
Post a Comment