Istilah yang digunakan oleh Akidah Asyairah.
Istilah yang digunakan dalam Akidah Asyairah.
Dalam akidah Asyairah, terdapat perbahasan yang mendalam apabila membincangkan sifat Maani iaitu:
1. Qudrah (Penguasaan)
2. Iradah (Kehendak)
3. Sama’ (Pendengaran)
4. Basar (Penglihatan)
5. Kalam (Berkata)
6. Ilmun (Pengetahuan)
7. Hayyun (Hidup)
Antara istilah yang akan muncul dalam perbahasan ini ialah
1. Taalluq
2. Tanjiz al-Hadis
3. Tanjiz al-Qadim
4. Suluh al-Qadim
5. Idrak
Apakah maksud istilah ini?
Taalluq (تعلق) pada sudut bahasa adalah terkait, terhubung atau kebergantungan sesuatu kepada yang lain. Ia merupakan kata perbuatan yang berasal dari kalimah alaq (علق) yang bermaksud melekat atau tergantung.
Pada sudut istilah akidah ia bermaksud suatu sifat perbuatan (sifat af’al) yang memerlukan sesuatu sebagai tambahan selain dari sifat tersebut.
Ia bertujuan untuk mewujudkan keterkaitan atau perhubungan antara sifat dengan sesuatu yang akhirnya menghasilkan kesan.
Misalnya sifat Pendengaran Allah SWT menghasilkan perbuatan Allah SWT yang Maha Mendengar. (Peringatan: Sifat Af’al iaitu sifat perbuatan bukan sifat Zat).
...
Tanjiz al-Hadis (تنجيز الحديث) pada sudut bahasa bermaksud pelaksanaan perkara baharu.
Pada sudut istilah akidah pula ia membawa maksud segala sifat perbuatan Allah SWT yang berhubung dengan makhluk hanya akan berlaku atau terlaksana jika perkara itu berlaku.
Misalnya Sifat Pendengaran Allah SWT yang Maha Mendengar hanya akan mendengar apa yang diperkatakan oleh makhluknya apabila ia telah wujud atau berkata-kata.
Hal ini dikenali sebagai Taalluq Tanjiz al-Hadis (تعلق تنجيز الحديث) iaitu sesuatu yang didengar oleh Allah SWT bagi makhluknya hanya akan terlaksana jika perkara itu berlaku.
Jika tidak berlaku, maka ia tidak akan terlaksana.
....
Tanjiz al-Qadim (تنجيز القديم) pada sudut bahasa bermaksud pelaksanaan perkara sedia ada.
Pada sudut istilah akidah pula ia membawa maksud segala sifat perbuatan Allah SWT yang berhubung dengan Zat Allah SWT yang Maha Suci yang berlaku sejak azali, sedia ada dan tiada pengakhiran.
Misalnya Sifat Pendengaran Allah SWT yang Maha Mendengar telah sedia ada mendengar Zat-Nya sendiri sejak azali dan sedia ada serta tiada pengakhiran.
Hal ini dikenali sebagai Taalluq Tanjiz al-Qadim (تعلق تنجيز القديم) iaitu telah terlaksana dan berlaku bahawa Allah SWT sememangnya mendengar akan Zat-Nya sendiri.
...
Suluh al-Qadim (صلوح القديم) pada sudut bahasa bermaksud kesesuaian perkara sedia ada.
Pada sudut istilah akidah pula ia membawa maksud segala sifat perbuatan Allah SWT yang berhubung dengan Zat-Nya yang Maha Suci yang disesuaikan sejak azali untuk perkara sedia ada atau perkara baharu yang akan dicipta kemudian.
Misalnya sifat pendengaran Allah SWT yang Maha Mendengar telah sedia ada dan sejak azalinya memang sesuai bagi Zat-Nya dan sesuai untuk makhluknya sama ada makhluknya itu mungkin ada atau mungkin tiada.
Hal ini dikenali sebagai Taalluq Suluh al-Qadim (تعلق صلوح القديم) iaitu sifat perbuatan Allah SWT telah sedia ada sejak azali mempunyai hubungan dan keterkaitan serta bersesuaian dengan Zat-Nya dan juga makhluk-makhluknya sama ada belum wujud atau sudah wujud.
...
Idrak (إدراك) dari sudut bahasa bermaksud pencapaian atau pemahaman (ada orang menggunakan perkataan mencerap).
Dari sudut istilah akidah bermaksud Allah SWT dapat mengenalpasti sesuatu pada makhluk-Nya.
Misalnya sifat pendengaran Allah SWT yang Maha Mendengar dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh makhluk-Nya.
(Idrak biasanya berkait rapat dengan sifat Sama’ dan Basar Allah SWT).
...
Semua istilah ini dibincangkan bagi sifat Maani sahaja. Hanya 6 sifat dari 7 sifat Maani yang mempunyai Taalluq iaitu Qudrah, Iradah, Ilmun, Kalam, Sama’ dan Basar.
Sifat Hayyun tidak mempunyai Taalluq kerana sifat hidup bukan suatu perbuatan atau boleh dibuat-buat.
Setiap Taalluq pasti melibatkan perkara wajib (zat Allah), perkara mustahil (tuhan selain Allah) dan perkara harus (makhluk).
...
Saya hanya temui perkataan Taalluq dalam Kitab Arbain fi Usul al-Din (Imam al-Razi) dan Ummul Barahin (Imam al-Sanusi). Saya tidak temui istilah lain seperti di bawah. Namun konsep perbahasannya menjurus ke arah yang sama.
Perbahasan Tanjiz al-Qadim, Tanjiz al-Hadis, Suluh al-Qadim, Idrak saya temui di dalam Aqidatun Najin fi Ilmi Usul al-Din (Sheikh Zainul Abidin al-Fatani).
Pembahagian dan kesesuaian perbahasan di atas saya temui dalam Kitab Penghayatan Sifat 20: Ke Arah Memahami Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Tuan Guru Ahmad Nafiri bin Md Toazi).
الله أعلم
Comments
Post a Comment