Sah Solat Yang tidak khusyu', Tetapi....
بسم الله الرحمن الرحيم
Adakah sah solat yang tidak khusyu' ?
Khusyu' merupakan komponen utama di dalam solat. Dengan khusyu', kita akan merasai kenikmatan solat.
Kerana Khusyu' adalah Roh solat. Sehingga nilaian pahala solat datang dari kadar yang bersesuaian dengan khusyu'nya seorang hamba.
Dari Ammar Bin Yassir,
Sabda Rasulullah SAW,
Pahala bagi seseorang yang selesai menunaikan solat adalah 1/10,atau 1/9, atau 1/8, atau 1/7, atau 1/6, atau 1/5, atau 1/4, atau 1/3, atau 1/2.
Hadith Riwayat Abu Daud.
Dinukilkan daripada Ibnu Abbas RA, Kamu mendapat bahagian pahala solat daripada apa yang kamu renungkan ketika solat.
Jadi, bagaimana jika tidak khusyu' di dalam solat seperti terfikir hal kerja, hal keluarga ketika solat? Adakah perlu mengulangi solat yang tidak khusyu'?
Ulama berbeza pandangan di dalam hal ini, jumhur ulama menyatakan hukumnya merupakan sunnah yang dianjurkan tetapi tidak wajib.
Ini kerana, khusyu' di dalam solat secara sepenuhnya merupakan perkara mustahil.
Dari Abu Hurairah RA,
Sabda Rasulullah SAW,
Ketika Azan berkumandang, syaitan lari terkentut-kentut, sehingga dia tidak mendengar azan, kemudian dia datang semlula, ketika iqamah dilaungkan, dia lari semula. Kemudian, syaitan kembali selepas itu, lalu syaitan membisikkan "ingat itu...ingat ini". Padahal, sebelum itu dia tidak ingat, sehingga dia terlupa bilangan rakaatnya ketika itu.
Hadith Riwayat Bukhari dan Ahmad.
Nabi SAW menceritakan tentang bagaimana seseorang itu digoda hingga hilang khusyu'nya di dalam solat. Namun, Rasulullah SAW tidak memerintahkan seseorang itu mengulangi solat.
Kerana hilang khusyu' tidak membatalkan solat, tetapi mengurangkan pahala solat. Bahkan, pahala solat itu mungkin tiada.
Sumber : Yufid Tv Dakwah.
الله اعلم.
Comments
Post a Comment