Pengamalan Tahlil di Malaysia
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله
اللهم صل على محمد
وبعد
✏️ Pengamalan Tahlil di Malaysia.
1. Mengapa ada yang menentang?
Kerana perbezaan pegangan dan kefahaman terhadap tahlil.
Kebanyakkan yang berselisih kerana mereka mengambil tafsiran hadis secara terus atau menggunakan manhaj pemikiran ahlul hadis.
Manakala yang mengamalkan pula berpegang kepada kaedah dan manhaj mazhab utama di sesebuah negara.
2. Apa yang berbeza?
Manhaj Ahlul Hadis tidak mempunyai kaedah fiqh. Mereka tidak menggunakan usul fiqh dan tidak menggunakan qawaid fiqh dalam menentukan hukum. Lalu mereka berpegang kepada status hadis sama ada sahih, hasan, daif dan maudu'. Sekiranya suatu amalan tiada dalam hadis. Maka mereka menganggap ia adalah perbuatan yang mungkar.
Bagi manhaj mazhab pula, terdapat kaedah yang memberi ruang untuk para fuqaha mengeluarkan hukum. Oleh itu, jika terdapat perkara yang tiada di dalam sumber hukum asal seperti al-Quran dan Hadis, maka, fuqaha menyelesaikan sesuatu masalah hukum dengan kaedah fiqh. Ia tidak digunakan oleh ahlul Hadis kerana mereka bukan fuqaha.
3. Apakah perbezaan sumber hukum ahlul hadis dan fuqaha?
Ahlul Hadis menggunakan Rijal Hadis bagi menjaga riwayat hadis. Pada mereka, riwayat yang tidak dijaga seumpama melempar kotoran kepada kalam Nabi SAW. Mereka tertumpu kepada pemeliharaan Hadis. Jika hadis itu ada bukti tertolak, maka mereka akan menghukum perkara itu sebagai mungkar.
Berbeza dengan Fuqaha. Sumber hukum yang diambil adalah dari 2 aspek. Iaitu sumber yang disepakati dan sumber tidak disepakati.
Sumber disepakati adalah Al-Quran, Hadis, Qias dan Ijmak. Sumber ini diterima oleh ahlul Hadis.
Sumber tidak disepakati pula adalah Masalih Mursalah, Qaul Sahabi, Saad Zaraie, Uruf, Istihsan, Istishab dan lain-lian. Sumber ini diterima oleh fuqaha, tetapi tidak oleh ahlul Hadis.
4. Apa kaitan dengan Tahlil?
Tahlil adalah amalan yang bukan datang dari Hadis atau amalan Nabi. Ia adalah dari sumber Uruf Ia adalah dalil yang tidak disepakati tetapi diguna oleh fuqaha kerana ia sumber kepada hukum.
Fuqaha mengiktiraf adat sebagai sesuatu yang dibolehkan dengan syarat menepati syariat. Uruf terbahagi kepada 2 iaitu yang sahih dan fasid. Sahih adalah adat yang menepati syariat manakala Fasid tidak menepati syariat.
Tahlil menepati syariat kerana berpandukan dalil umum pada al-Quran iaitu surah Muhammad ayat 9
فَٱعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَاتِ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).
5. Kesimpulan
Tahlil tidak diperakui oleh ahlul hadis kerana dianggap sebagai rekaan serta tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Sebaliknya, Manhaj Fiqh Mazhab Syafie, menerimanya sebagai uruf yang sahih kerana menepati syariat Islam.
Perlu diperingatkan, dalam soal hidup bermasyarakat, maslahah keharmonian lebih utama dari khilaf yang membawa persengketaan.
Maka dalam hal umum pandangan fuqaha lebih diutamakan kerana fuqaha mahir pada hukum, ayat al-Quran dan Hadis.
Manakala ahlul hadis mahir pada al-Quran dan Hadis sahaja.
Kerana itu, pada sudut perundangan Islam dan hukum hakam Islam, mazhab Muktabar Syafie, Hanbali, Hanafi dan Maliki diguna. Bukan mazhab ahlul Hadis.
Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafie secara umum, maka, kaedah fiqh mazhab Syafie digunakan dalam menentukan hukum.
Sekiranya ada individu atau kumpulan yang tidak bersetuju, ia adalah hak peribadi dan tidak boleh menzahirkan ketidaksetujuan tersebut kerana ia menyebabkan persengketaan.
Tidak boleh mengatakan sesuatu yang telah disepakati ulama fuqaha sebagai salah sedangkan ia menepati syariat.
Tidak boleh mengatakan pandangan kita sahaja yang betul dan pandangan orang lain salah kerana masing-masing mempunyai hujah dan dalil.
Comments
Post a Comment