Ulama dan Maksum : Sebuah Definisi
Ulama dan Maksum : Sebuah Definisi.
Ulama dari sudut bahasa bermaksud berpengetahuan. Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua ulama bermaksud orang yang berpengetahuan dalam agama Islam.
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, ulama bermaksud orang yang ahli dan pakar dalam pengetahuan agama Islam.
Berdasarkan Mu’jam Maani, Ulama berasal dari kalimah عَالِمَ dengan kata jamak yang berubah menjadi عَالِمُوْنَ dan عُلَمَاءُ , ia adalah kata nama pelaku yang menunjukkan sifat kepada individu atau sekumpulan orang dengan suatu ilmu dan pengetahuan yang banyak dan dikhususkan dalam sesuatu ilmu tertentu.
Juga bagi menggambarkan orang yang mempunyai pengetahuan dalam semua urusan agama dan sains (kehidupan). Dengan makna lain, mereka adalah arif dan pakar dengan kedua-dua ilmu tersebut.
....
Maksum berdasarkan Kamus Dewan Edisi Kedua adalah terlepas dari sesuatu yang buruk.
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud terpelihara atau bebas dari dosa, tidak tercela dan tidak berdosa.
Maksum dari sudut bahasa berdasarkan Mu’jam Maani bermaksud seseorang yang telah dibebaskan dari dosa dan kekejian.
Manakala dari sudut istilah pula ialah sesiapa sahaja yang dihalang dirinya oleh Allah SWT dari melakukan kemungkaran.
Antara orang yang maksum dari sekalian manusia adalah al-Basyir dan bukan yang lain dari mereka. Al-Basyir merujuk kepada para nabi-nabi kerana kata nama itu dikhaskan kepada para nabi sahaja.
Berdasarkan kalam Imam al-Dardir :
وَيَجِبُ لِلْأَنْبِيَاءِ عَلَيْهِمُ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ الْعِصْمَةَ, فَلَا يَقَعُ مِنْهُمْ مُخَالَفَةُ لِلَّهِ فِي أَمْرِهِ وَنَهْيِهِ وَكَذَلِكَ الْمَلَائِكَةُ.
Maksudnya : Diwajibkan bagi para nabi-nabi yang ke atas mereka pujian dan kesejahteraan untuk memiliki sifat maksum. Maka Tidak ada seorang pun dari mereka yang akan menderhaka kepada Allah dalam setiap perintah dan larangan-Nya, begitu juga sifat pada para malaikat.
…
Maksum dalam Bahasa Arab adalah اَلْعِصْمَةُ yang berasal dari perkataan عَصَمَ , يَعْصِمُ .
Ibnu Manzur mengatakan al-Ismah dari pertuturan orang Arab bermaksud menghalang. Maka apabila dikatakan Ismah Allah terhadap hamba-Nya. Allah menghalang hamba-Nya daripada melakukan sesuatu yang boleh membinasakannya sama ada di dunia ataupun di akhirat.
Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan dalam bab maksum bahawa mereka yang maksum adalah mereka yang dipelihara Allah dari terjerumus ke dalam kecelakaan atau dari apa-apa jalan yang boleh membawa kepada kecelekaan tersebut.
...
Ulama adalah orang yang paling takut dengan Allah dari kalangan hamba-hamba Allah yang wujud di muka bumi ini. Berdasarkan ayat 27-28, surah Fathir :
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ (27) وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (28)
Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka ragam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Mahaperkasa lagi Maha Pengampun.
Surah Fatir ayat 27-28
...
Maka para ulama tidak melakukan kesilapan sebagaimana yang orang biasa lakukan.
Seumpama tukang emas yang mengenali ketulenan emas atau tukang kayu yang mahir mendirikan rumah yang mampu bertahan lama.
Begitulah ulama yang mahir dalam ilmu agama Islam. Mereka mampu bertahan teguh di atas landasan agama dan tidak melakukan maksiat sebagaimana maksiat yang dilakukan oleh orang biasa.
Hal ini kerana ulama sebenar yang disifatkan Allah SWT memiliki sifat خَشِيَة sebagaimana dalam ayat di atas. Sifat ini dinyatakan oleh Ibnu Katsir dalam kitabnya sebagai sifat utama seorang ulama kerana para ulama mengenali Allah SWT lebih dari orang lain.
Semakin sempurna pengetahuan seseorang terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah, semakin sempurna ketakutannya terhadap Allah SWT.
Dirinya akan merasa seakan-akan diperhati setiap masa sehingga dia takut melakukan maksiat. Bahkan, dirinya tahu bahawa dia tidak akan terlepas dari hukuman Allah atas setiap perkara yang dilakukannya.
Said bin Jubair RA menyatakan bahawa sifat خَشِيَة adalah sebuah perasaan yang menghalang seseorang dari melakukan kedurhakaan terhadap Allah SWT.
Berdasarkan Mu’jam Ma’ani, sifat خَشِيَة adalah sifat takut kepada Allah kerana mengagungkan Allah serta gerun dengan kekuasaan Allah yang wujud kerana ketaqwaan seseorang.
Kesimpulannya, Ulama tidak maksum, tetapi kerana sifat takut kesan dari pengetahuan yang membuatkan dirinya mengenali Allah membuatkan mereka tidak melakukan maksiat, menghalang diri mereka dari melanggar perintah Allah dan sentiasa taat kepada Allah. Mereka tidak sama seperti kita, yang mengambil ringan semua perkara termasuk melakukan dosa tanpa rasa bersalah.
الله أعلم
...
Sumber Rujukan.
Bakri, Z. M. Al-. (2023). Kemaksuman para Nabi. Maktabah al-Bakri.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1997). Kamus Dewan Edisi ke-2.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan Edisi ke-4.
معجم المعني الجامع (Mukjam al-Ma’ani al-Jami’)
Asqalani, I. H. Al-. (2009). Fathul Bari.
Katsir, I. (2000). Tafsir Ibnu Katsir.
Dardir, al-. (2019). Akidah al-Tauhidiyyah.
Comments
Post a Comment