Narsisisme Dan Ujub
✏️Narsisisme = Ujub
Narsisisme adalah perkataan Yunani yang bermaksud memuja diri sendiri.
Ia juga digunakan dalam istilah kesihatan mental merujuk kepada penyakit Narcisistic Mental Disorder iaitu perasaan diri terlalu istimewa berbanding orang lain.
Orang seperti ini sangat percaya pada diri sendiri kerana rasa dirinya yang terbaik. Sifat ini dapat membentuk keyakinan kepada diri sendiri, Tetapi sifat ini sebenarnya palsu kerana keyakinan itu sangat rapuh dan mudah runtuh apabila diberi kritikan.
Dalam ilmu tasawwuf, Narsisisme ini digelar sebagai Ujub.
Bermaksud bangga dengan diri sendiri.
Imam Al - Ghazali RH menyatakan bahawa ujub adalah merasakan diri sendiri lebih soleh berbanding orang lain.
Sifat Ujub termasuk daripada sifat-sifat yang dicela. Allah SWT berfirman:
فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Maksudnya: maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.
Surah al-Najm (32)
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/309) berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ
Maksudnya: Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu.
Riwayat Muslim (5733)
Sifat ini adalah penyakit yang berasal dari hati. Apabila ia tidak dikawal, ia akan menyerap ke dalam fikiran (aqal) lalu ia menipu diri sendiri dengan membentuk keyakinan diri yang palsu.
Menghasilkan individu yang berbangga dengan pujian, kejayaan dan usaha yang dicapai.
Akhirnya ia lupa bersyukur kepada Allah sebagai pemilik dunia yang sebenar.
Sifat ini boleh diatasi dengan cara mentadabburi Al-Quran, menghayati zikir dan sentiasa bermuhasabah diri.
Usah lupa berdoa kepada Allah agar dihindari dari penyakit ini kerana penyakit hati dan jiwa ini, sangat sukar untuk dirawat melainkan dengan kesungguhan menundukkan Nafsu yang inginkan dunia.
#Muhasbah_Diri
#لا_حولا_ولا_قوت_الا_بالله
Mohd Nasyran
Utara Perak
2.14pm
Sumber :
Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka
Web Kesihatan Mental
Web Apa itu Narsistik
Web Jabatan Mufti Wilayah : Cara atasi Ujub.
Comments
Post a Comment