Debat Aqidah Mu’tazilah dan Imam Syafie RH.
✏️Debat Aqidah Mu’tazilah dan Imam Syafie RH.
Sekitar zaman Imam Syafie, seorang pemimpin mu'tazilah Iaitu Thumama ibn Ashras hadir dalam halaqah ilmu Imam Syafie mendengar kalam Imam Syafie. Usai halaqah, dia bertemu dengan Imam Syafie untuk mengajak beliau berhujah. Imam Syafie berkata aku tidak suka berdebat melainkan Untuk mencari kebenaran.
Maka Thumama ibn Ashras bersetuju dan mengajak imam Syafie untuk berhujah di tempatnya. Ditempat Bisyr terdapat ramai pengikut. Kemudian dia memulakan hujah.
1. Thumama ibn Ashras mengatakan bahawa mengada-adakan sesuatu tentang Allah seperti meletakkan sifat Tangan, Melihat, Mendengar terhadap Allah SWT adalah Tasybih (Menyamakan) Allah dengan makhluk. Kerana Allah SWT berfirman dalam surah Syura ayat 11
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ
“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia,”
2. Thumama ibn Ashras mengatakan sekira seseorang menganggap al-Quran bukan makhluk, ia adalah perbuatan mendustakan Allah (tidak memperakui kebenaran ayat al-Quran). Hal ini kerana sekiranya al-Quran bukan makhluk bermaksud Allah berkata-kata. Sekiranya Allah berkata-kata, ia adalah Tasybih terhadap Allah. Sedangkan Allah berfirman di dalam surah az-Zukhruf ayat 3 :
إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا
“Sesungguhnya Kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab.”
Thumama ibn Ashras mengatakan bahawa kalimah Ja’al (جَعَلْ) bermaksud Khalq (خلق) iaitu dicipta. Sedangkan Allah menyatakan di dalam al-Quran dalam surah az-Zumar ayat 62 :
اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ
“Allah menciptakan segala sesuatu”
Thumama ibn Ashras mengatakan bahawa al-Quran termasuk dalam sesuatu itu. Kemudian dia bertanya dengan Imam Syafie, apa pandangan mu?
Imam Syafie yang lama mendiamkan diri kerana mendengar hujah Thumama ibn Ashras lalu menjawab
الحمد لله رب العلمين، وصلاة وسلام على رسوله الأمين، أما بعد
1. Menyerupakan Allah dengan makhluk bukan menjadi sumber aqidah seorang Muslim. Dalil yang dibawakan dari firman Allah SWT dalam surah Syura ayat 11 tadi iaitu
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ
“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia,”
Tidak lengkap. Kerana sambungannya :
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat.”
Allah SWT sendiri yang menetapkan sifat mendengar dan sifat melihat bagi diriNya. Sekiranya dibandingkan dengan kenyataan Allah dengan kenyataan kamu. Siapa yang telah berdusta?.
Thumama ibn Ashras memotong kata imam Syafie dengan menyatakan bahawa penetapan sifat mendengar dan melihat bagi Allah sememangnya serupa jika dibayangkan secara logik akal. Oleh itu, bagi kami (pegangan Mu’tazilah) ia menyamakan Allah dengan makhluk.
Imam Syafie menjawab, jadi siapa dikalangan para Fuqaha dan Ahli Hadis yang mengatakan Allah berbicara seperti manusia? Oleh itu, pada pandangan kami (Ahlul Sunnah wal Jamaah) Allah SWT berbicara sebagaimana dia kehendaki mengikut cara yang Dia kehendaki dan tiada yang sesuatupun yang menyerupai Dia.
2. Bagi firman Allah SWT di dalam surah az-Zukhruf ayat 3 :
إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا
“Sesungguhnya Kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab.”
Kamu menyatakan bahawa bahawa kalimah Ja’al (جَعَلْ) bermaksud Khalq (خلق) iaitu dicipta. Sedangkan ia bercanggah dengan al-Quran. Kerana kalimah Ja’al (جَعَلْ) tidak semestinya bermaksud Khalq (خلق). Di dalam ayat ini ia membawa maksud Tasir (تصير) -mengubah menjadi- sebagaimana firman Allah SWT tentang kaum Ibrahim di dalam surah as-Saffat ayat 98 :
فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ
“Mereka hendak melakukan tipu muslihat kepadanya, maka Kami jadikan mereka orang-orang yang hina.”
Ayat ini bermaksud Allah (تصير) mengubah mereka menjadi golongan yang hina, bukan menciptakan mereka menjadi orang yang hina. Pada ayat ini juga kita fahami bahawa firman Allah :
إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا
“Sesungguhnya Kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab.”
Ayat ini membawa maksud Allah mengubah ayat-ayat al-Quran menjadi bahasa Arab.
Kemudian Thumama ibn Ashras memotong bicara Imam Syafie dengan mengatakan bagaimana pula dengan ayat dalam surah az-Zumar ayat 62 :
اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ
“Allah menciptakan segala sesuatu”
Katanya lagi, al-Quran itu termasuk dalam sesuatu, jadi al-Quran adalah makhluk.
Jawab Imam Syafie RH, aku katakan bahawa Allah berfirman :
قُلْ أَيُّ شَيْءٍ أَكْبَرُ شَهَادَةً ۖ قُلِ اللَّهُ ۖ شَهِيدٌ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ ۚ
“Katakanlah: "Siapakah yang lebih kuat persaksiannya?" Katakanlah: "Allah". Dia menjadi saksi antara aku dan kamu.”
Kata Imam Syafie, di dalam ayat ini Allah SWT menyifatkan diriNYa sebagai sesuatu. Imam Syafie menyoal mu’tazilah dengan soalan adakah Allah termasuk di kalangan makhluk? Maka dengan hal ini, kita ketahui bahawa tidak benar pegangan ini bersandar dengan ayat
اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ
“Allah menciptakan segala sesuatu”
Kerana al-Quran bukan Makhluk dan Allah Jalla Wa Ala bukan makhluk. Begitu juga kita tidak memahami ayat dari Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 185 :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati”
Dengan menyatakan bahawa Allah Azza Wa Jalla akan mati. Akan tetapi kita fahami bahawa setiap yang mempunyai nyawa akan menghadapi kematian. Sedangkan bagi diri yang Maha Pencipta, tidak berlaku aturan sebegini. Oleh itu, dengan apa kalian ingin membantah?
Para mu’tazilah termasuk Thumama ibn Ashras terdiam seribu bahasa. Lantas Imam Syafie bangun memberi salam dan kemudian beliau beredar, diikuti oleh beberapa kelompok kecil yang telah menerima hidayah Allah. Sebilangan besar, masih kekal dengan fahaman Mu’tazilah.
الله اعلم
Sumber : Biografi Imam Asy-Syafie.
Mohd Nasyran
Utara Perak
1207pm
Comments
Post a Comment