Imam Syafie dan Imam Ahmad : Halaqah Pertama – Antara Faham dan Faqih
Imam Syafie dan Imam Ahmad : Halaqah Pertama – Antara Faham
dan Faqih
Kali pertama Imam Ahmad bertemu dengan Imam Syafie ialah sekitar tahun 190 H.
Imam Ahmad datang ke Makkah menunaikan Umrah dan mengambil kesempatan beberapa
tempoh berguru dengan Sufyan bin Uyainah serta Imam Syafie.
Kali pertama masuk ke dalam halaqah ilmu Imam Syafie, Imam Ahmad mendengar penjelasan Imam Syafie berkenaan dengan perbezaan maksud faham (الفهم) dan faqih (الفقه).
Kata Imam Syafie :
Antara kesalahan terbesar para penuntut ilmu ialah mencampurkan makna faham dan faqih. Sedangkan faham itu ialah mengetahui sesuatu makna perkataan dengan lafaznya sahaja.
Sedangkan faqih ialah satu tahap kefahaman yang lebih khusus dari faham. Faqih adalah mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh orang yang sedang menyampaikan perkataan, iaitu mengerti isi kandungan perkataannya.
Ini yang dimaksudkan di dalam surah an-Nisa ayat 78 :
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ وَإِنْ تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِنْدِكَ ۚ قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۖ فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: "Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)". Katakanlah: "Semuanya (datang) dari sisi Allah". Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikitpun?
...
Imam Syafie melanjutkan bicaranya dengan menyatakan bahawa :
Di dalam ayat ini, orang yang dicela oleh Allah SWT ialah orang Arab. Kerana orang Arab mengetahui dari sudut lafaz perkataan dari ayat-ayat Allah ini (Faham). Namun hakikatnya mereka tidak memahami secara mendalam (tidak Faqih).
Oleh itu, para penuntut ilmu hendaklah berusaha menambah kefahaman kita secara mendalam (faqih) terhadap nas-nas syariat (al-Quran dan Hadis).
Hal ini kerana tiada percanggahan dan perselisihan antara Kalamullah dan sabda Rasulullah SAW.
Akan tetapi, jika kelihatan percanggahan, ia adalah fasa atau tempoh perkembangan kefahaman di dalam diri kita yang seringkali tidak mampu mencapai maksud terhadap ayat-ayat Allah dan perkataan Rasul-Nya.
Hujung halaqah ini, Imam Ahmad bertemu dengan Imam Syafie lalu mengucapkan :
Wahai Sheikhunaa, Sesungguhnya aku belum pernah mendengar kalam seperti ini. Semoga Allah memelihara kamu Sheikhunaa.
الله اعلم
Sumber : Biografi Imam Ahmad bin Hanbal.
Mohd Nasyran
Utara Perak
10.10am.
Comments
Post a Comment