✏️Wadi'ah : Simpanan - Bank dan pelanggan.
✏️Wadi'ah : Simpanan - Bank dan pelanggan.
Baru-baru ini tular berkenaan kehilangan wang simpanan di bank. Bank menyatakan tiada penggantian dapat dilakukan terhadap kehilangan yang berlaku. Pihak berkuasa juga tidak menjamin gantian boleh dilakukan.
Apa pandangan ulama mazhab Syafie?
Imam Abu Syuja' RH menyebut di dalam Matan Abi Syuja'
وَلاَ يُضْمَنُ إِلاَّ بِالتَّعَدِّي
Dan tidak wajib ditanggung ganti rugi barang yang disimpan oleh orang yang diamanahkan melainkan dengan sebab yang melampaui batas.
Merujuk kepada Syarah matan Abi Syuja' oleh Imam Taqiyuddin asy-Syafi'e RH di dalam kitab Kifayatul Akhyar. Beliau menyatakan bahawa penyimpan yang amanah tidak wajib menggantikan benda yang disimpan jika hilang atau rosak.
Namun begitu beliau menerangkan sebab melampau itu ada 9 iaitu :
1. Penyimpan memberikan kepada orang lain barang yang disimpan tanpa sebab munasabah dan tanpa izin pemilik simpanan.
2. Bermusafir dengan membawa simpanan tersebut.
3. Meninggalkan pesanan untuk orang lain menjaga simpanan tersebut.
4. Memindahkan simpanan ke tempat lain.
5. Tidak melakukan penjagaan yang sepatutnya bagi mengelak simpanan itu rosak atau hilang.
6. Menggunakan simpanan tanpa sebab munasabah dan tanpa izin pemilik simpanan.
7. Menggunakan cara yang salah dalam menjaga simpanan.
8. Mengabaikan simpanan.
9. Tidak mengakui simpanan kepada pemiliknya ketika diminta semula.
Penyimpan yang amanah tidak akan melakukan perkara di atas dan jika simpanan hilang atau rosak setelah dia berusaha sebaiknya, maka, dia tidak perlu mengganti.
Akan tetapi, jika ada sebab di atas wujud dan simpanan tersebut rosak atau hilang, maka wajib dia mengganti simpanan tersebut.
Jika penyimpan rasa dia tidak mampu berlaku amanah, dia perlu menyerahkan simpanan tersebut kepada pemiliknya semula.
Jika tidak jumpa pemiliknya, maka wajib serahkan kepada pemerintah (di Malaysia pihak berkuasa dalam hal kewangan seperti Amanah Raya untuk jadi wang yang tidak dituntut).
Jika pemerintah enggan terima dan simpanan itu rosak atau hilang, maka pemerintah wajib menggantikannya.
Oleh itu, meneliti pandangan ulama Syafieyyah dalam hal ini, maka bagaimana tindakan bank tersebut atau bank-bank lain atau syarikat kewangan atau individu atau kumpulan yang melakukan tindakan serupa?
الله اعلم
Mohd Nasyran
Utara Perak
832am.
Rujukan :
Matan Abi Syuja'
Kifayatul Akhyar
Comments
Post a Comment