Antara kefahaman atau kedegilan : Golongan Sofisme atau al-Sofisthaiyyah.

 

Antara kefahaman atau kedegilan.

Dunia ilmu pasti padat dengan perbincangan, kritikan dan pengkajian. Hal ini kerana ilmu memerlukan kefahaman supaya ilmu tersebut benar-benar dapat di hadam lantas menghampiri kebenaran. Kalimah “FIQH” banyak digunakan dalam sesebuah ilmu bagi memberi kefahaman terhadap sesuatu seperti fiqh ibadah, fiqh muamalat, fiqh muqarran, fiqh sultaniyyah dan pelbagai jenis fiqh.

Fiqh dari sudut bahasa bermaksud mempunyai ilmu terhadap sesutau dan memahami ilmu tersebut. Kalimah fiqh berasal dari 2 kata dasar Bahasa Arab iaitu :

1.    فَقِهَ , يَفْقَهُ , فِقْهًا , فَقِهٌ

2.    فَقَهَ , يَفْقَهُ , فَقَاهَةٌ , فَهُوَ فَقِيْهٌ

Kalimah pertama membawa maksud memahami perkataan orang yang bercakap atau menulis.

Kalimah kedua membawa maksud memahami sesuatu secara mendalam seterusnya menjadi lebih faham.

Maka orang yang memahami ilmu, memahami percakapan orang, memahami penulisan orang secara mendalam dan betul lalu dirinya bertambah faham digelar sebagai faqih.

Perbahasan dari sudut istilah syarak adalah berbeza kerana definisi fiqh bagi sudut istilah adalah ilmu berkenaan hukum-hakam syarak yang bersifat amali. Ia diambil dari dalil-dalil tafsili (melalui perbincangan terperinci serta teliti) yang bersifat juz’i (dipecahkan kepada jenis tertentu).

Dalam hal ini, yang ingin disampaikan adalah fiqh dari sudut bahasa.

Terdapat segolongan manusia yang bukan tidak memahami apa yang ingin disampaikan, tetapi degil kerana ingin terus berpegang dengan apa yang dirinya kehendaki. Golongan ini tidak mahu menerima perubahan dan kebenaran kerana telah sebati dengan keinginan dirinya.

Sifat ini wujud sepanjang zaman melangkaui batas agama, bangsa dan benua. Pada zaman Yunani, golongan ini digelar sebagai Sophist. Golongan ini terbahagi kepada 3 golongan :

1.      Al-Laadriyyah iaitu golongan yang suka mengatakan tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.

2.      Al-Indiyyah iaitu sebuah golongan mendakwa bahawa kebenaran adalah berdasarkan kepercayaan diri. Mereka menolak matlamat ilmu dan tidak mahu menerima kebenaran dari bukti selain apa yang mereka percaya.

3.      Al-Inadiyyah iaitu golongan yang menafikan kebenaran yang telah dibuktikan secara fakta dan realiti, kemudian mendakwa bahawa ia adalah penipuan, ilusi, delusi dan khayalan palsu.

Kaedah yang mereka gunakan adalah dengan menimbulkan keraguan, kemudian mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat. Bukan untuk menjelaskan kebenaran tetapi menambah kekeliruan.

Pada hakikatnya, mereka tidak memiliki hujah bernas, tiada matlamat, tiada disiplin ilmu, menggunakan isu semasa untuk meraih perhatian. Tiada apa yang mahu diperjuangkan melainkan hanya untuk menimbulkan keraguan dan kekeliruan.

Kesan dari pemikiran ini, masyarakat akan malas berfikir, tidak mahu memahami, sentiasa berasa diri betul, semua pandangan adalah salah melainkan diri sendiri, kuat membangkang, suka melanggar undang-undang, gemar kebebasan mutlak dan yang paling teruk menolak kewujudan Tuhan.

Justeru, golongan ini tidak gemar mendalami ilmu, tidak suka memahami ilmu dan degil dalam menerima kebenaran. Golongan ini perlu dijauhi, pemikiran mereka tidak boleh diikuti dan kita perlu menggunakan akal fikiran kita dengan sebaiknya untuk menerima kebenaran yang hakikat.

Sumber :

1.      Ahmad, Pengantar Syariah, Jabatan Fiqh dan Usul. Akademi Pengajian Islam UM.

2.      Noor, U. M. M. (2016). Irsyad usul al-fiqh siri 1: definisi, perkembangan dan kepentingannya.

3.      Syed Muhammad Dawilah (1993), Dewan Bahasa Dan Pustaka . Epistemologi Islam Teori Ilmu Dalam Al-Quran.

4.      Rahman, S. M. A. (2015). Definisi Epistemologi Islam.

5.      Mu’jam al-Ma’any Lisan al-Araby.

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?