Jejak Warisan Taiping

 Utara Perak...2016

Menelusuri sejarah sebuah daerah di Utara Perak, sebuah daerah yang menempatkan banyak perkara pertama di dalam sejarah tanah melayu. Daerah yang kaya dengan warisan sehinggakan kerajaan Negeri Perak melancarkan projek Jejak Warisan bermula tahun 2015.


Sejarah Larut, Matang dan Selama (Taiping) - Bandar Keamanan.

Mercu Tanda Jejak Warisan Taiping


1. Zoo Taiping dan Night Safari - 1961

ZOO Taiping Dan Night Safari

Dikenali sebagai Taman Mergastua merupakan taman zoologi pertama di Malaysia dan dibina sebagai zoo oleh Majlis Perbandaran Taiping serta dirasmikan sepenuhnya oleh Sultan Idris Shah II pada tahun 1961. Zoo Taiping akhirnya memperkenalkan konsep zoo malam "Night Safari" pertama di Malaysia  pada tahun 2003. Night Safari dirasmikan oleh Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

2. Rock Garden - 1970
Rock Garden
Taman arca batu ini terdiri dari susunan batu tiruan buatan manusia. Rekaan replika haiwan purba menjadi fokus kepada penciptaan taman ini. Ciptaan unik ini membentuk sebuah pulau batu hasil inspirasi filem Ultraman dari Jepun yang popular pada ketika itu.

3. Pokok Hujan - Hujan - 1898

Pokok Hujan - Hujan
Ikon Bandar Taiping ini juga dikenali sebagai Pokok Pukul 5. Ia mula ditanam pada tahun 1898 oleh Pegawai Taman Kerajaan ketika itu Mr. R. Derry. Nama saintifik pokok ini ialah Samanea Saman. Deretan pokok ini dibiarkan menghiasi jalan yang mengelilingi Taman Tasik Taiping yang merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu.

4. Pagoda Cina - 1970

Pagoda ini adalah sebahagian daripada seni bina Masyarakat Cina sekitar tahun 1970. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, pasangan pengantin perlu melalui laluan pagoda ini sebagai simbol melalui cabaran rumahtangga.

5. Tasik Dayung - 1997

Tasik Dayung Taiping


Tasik Dayung ini asalnya dikenali sebagai Bougainvillea Point. Sebelum tahun 1997, kompleks ini dipenuhi dengan deretan pokok bunga kertas . Menjelang tahun 1997. Majlis Daerah Taiping menaik taraf kawasan ini sebagai pusat aktiviti air.

6. Jeti Jubli Perak - 1910 & 1935

Jeti Jubli Perak
Dibina Berasaskan seni bina Kolonial daripada dana sumbangan kerajaan dan penduduk tempatan. Ia merupakan jeti pertama di bina di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Ia dibina untuk memperingati Sambutan Jubli Perak King George V di England. Jeti ini telah siap dibina pada tahun 1936.

7. F.M.S - 2013

Stesen FMS telah wujud pada tahun 2013 sebagai pusat jualan juadah terkenal di Taiping. Pusat ini direka menggunakan gerabak keretapi kolonial sempena stesen keretapi pertama di Tanah Melayu. Suatu ketika Dahulu, tapak stesen FMS ini adalah tapak bangunan ' Rajah Rest House' yang merupakan rumah rehat  khas Sultan di semenanjung Tanah Melayu kemudiannya dirobohkan pada tahun 1985.

8. Perpustakaan - 1882

Perpustakaan Awam Taiping
Bangunan perpustakaan ini asalnya merupakan bilik bacaan pegawai kerajaan Inggeris yang dibina pada tahun 1882 bercirikan binaan Victoria. Kerajaan British menaik taraf bangunan ini menjadi perpustakaan pada tahun 1912 kemudian di pajak kepada ' Chartered Bank of India, Australia and China'. Bangunan ini adalah bangunan pertama dibina khusus untuk menempatkan sebuah bank di Semenanjung Tanah Melayu. Pada tahun 1986, bangunan ini diselia sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Taiping.

9. Persatuan Kwangtung - 1887.

Persatuan Kwangtung
Bangunan ini telah dibina oleh Persatuan Kwangtung, Taiping pada tahun 1887 bertujuan menjaga hal ehwal kebajikan ahli persatuan tersebut. Kapitan Cheng Kheng Kwee adalah pemimpin utama persatuan ini. Maharaja China telah menganugerahkan satu 'tablet' untuk memperingati dewa 'kwang ti' sebagai penghargaan masyarakat Hakka, Teo Chew dan Hainan di Taiping, Perak.

10. Persatuan Shun Tak ( Tiada Keterangan)

11. Menara Jam - 1881
Pernah dikenali sebagai 'The Fort' merupakan mercu tanda ikonik Bandaraya Taiping. Struktur asalnya dibina pada tahun 1881 menggunakan kayu kemudian dibina semula menggunakan batu pada tahun 1891. Sekitar tahun 1908 hingga 1950, bangunan ini dijadikan sebagai ' Town Police Station' dan Balai Bomba.

12. Hotel Peace - 1928

Asalnya, hotel ini merupakan rumah pedagang Cina yang bernama Cheah Cheang Hooi yang dibina pada tahun 1928 dengan gaya seni 'strait eclectic'. Seni gayanya dikemaskini dengan iklim tempatan supaya lebih selesa.

13. Hotel Peking - 1929.
Banguna Anglo-Indian ini telah dibina pada tahun 1929 yang merupakan kediaman seorang peniaga kaya sebelum digunakan 'Kampeitei' iaitu Polis Tentera Jepun yang menggunakan bangunan ini sebagai ibu pejabat mereka semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu.. Pada tahun 1965, Persatuan Penjual Getah Taiping telah mengambil alih bangunan ini sebagai pejabat mereka dan akhirnya dijadikan Hotel sehingga hari ini.


14. Pasar Lama -1884
Pasar lama Taiping ini dibina pada tahun 1884 dan kekal menjadi  pasar basah bagi masyarakat Taiping walaupun telah berusia lebih 1 abad.

15. Masjid Lama - 1897

Masjid lama ini juga dikenali sebagai masjid melayu terletak ditengah bandar Taiping. Masjid ini adalah gabungan senibina Belanda - Inggeris dan merupakan masjid tertua di Taiping. Antara tokoh yang telah bersemadi di tanah perkuburan masjid ini adalah Toh Puan Halimah, Tengku Menteri Wan Mohd Isa dan Dr. Burhanuddin Helmi.

16. Kuil Devalaya (tiada keterangan)

17. Tokong Hosian - 1890.

 Tokong ini dibina sekitar tahun 1890 yang asalnya diperbuat daripada kayu. Kemudian ia dibina semula dari tukang Negara China pada tahun 1905. Tokong ini adalah tanda kasih sayang seorang hartawan China iaitu Cheng Yen Xin kepada anak perempuannya Lin Ai Zhen untuk menjadi sami.

18. Persatuan Hokkien - 1904

Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1904 untuk menjaga kebajikan dan mengeratkan perpaduan masyarakat dari wilayah Fujian, China. Ng Boo Bee merupakan presiden pertama persatuan ini dengan menderma tapak bangunan ini. Lim Sap Kip merupakan Presiden Kedua telah menyiapkan bangunan ini yang menjadi Pusat Pentadbiran Persatuan Hokkien.

19. Rumah Orang Besar Jajahan (tiada keterangan)

20. Sikh Gurdwara - 1921

Bangunan ini merupakan tempat masyarakat sikh berkumpul. Ia siap dibina pada tahun 1881 untuk ahli polis Sikh di Berek Polis. Ia merupakan rumah ibadah masyarakat Sikh pertama di Tanah Melayu. Tapak asal bangunan ini adalah di Jalan Taming Sari dan kemudiannya dipindahkan ke Jalan Stesen Hulu dimana ia kekal hingga kini. Bangunan ini adalah hasil pembiayaan Bhal Pall Singh Dhoti. Bangunan baru dipindah siap pada tahun 1921.

21. Stesen Keretapi - 1885
Bandar Taiping merupakan perintis kepada rangkaian keretapi Tanah Melayu. Tapak asal stesen keretapi adalah Sekolah King Edward VII yang telah digunakan pada 1 Jun 1885. ia merupakan stesen keretapi pertama di Negeri - negeri Melayu (FMSR). Pada tahun 1910, stesen keretapi di tambah bagi menghubungkan laluan ke utara.

22. Sekolah Mengah Kebangsaan Saint George - 1915
Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah tertua di Taiping. Lebih dikenali sebagai 'SGI'- (Saint George Institution) suatu ketika dahulu dengan moto Honor Virtutis Praemium yang bermaksud kebaikan dibalas penghormatan. Tapak sekolah ini adalah sumbangan Keluarga Kwa iaitu salah satu keluarga bangsawan Cina ketika itu . Dengan gabungan senibina Neo-Grec dan Neo-Romanesque, menjadikan sekolah yang siap dibina pada tahun 1915 terus berdiri megah di sebelah Hospital Taiping.

23. Sekolah King Edward VII - 1883
Sekolah ini merupakan sekolah aliran inggeris kedua dibina di Taiping dengan nama asalanya 'Central School'. Pada tahun 1905, nama ini ditukar kepada Sekolah King Edward VII setelah bangunan baharu siap dibina di atas landasan keretapi  pertama sempena pertabalan King Edward di London. Pintu pagarnya pula siap dibina pada tahun 1908.

24. Rumah Rehat Bandar - 1897
Bangunan kayu satu tingkat ini merupakan kediaman gabenor pada asalnya. Ia dibina pada tahun 1887 oleh British. PWD 100 merupakan nombor daftar penting era keretapi Port Weld - Taiping. Ia kemudiannya dinaik taraf menjadi bangunan batu dua tingkat pada tahun 1894 dengan tulisan ' Rest House 1894' pada pedimen rumah tersebut. Ia merupakan rumah rehat pertama di Tanah Melayu.

25. Galeri Perbandaran Taiping - 1891
Bangunan yang bercirikan seni bina Anglo-Indian ini siap dibina pada tahun 1891. arkitek bangunan ini ialah G.A Lefroy yang merupakan Ketua Juru Ukur dari Australia. Pada asalnya, bangunan ini menempatkan Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Perak yang pertama. Tahun 1931-1935, bangunan ini diambil alih oleh Jabatan Kebersihan Taiping.

26. Rumah Kapitan Chung Keng Wee.(tiada keterangan)

27. Pejabat Pos - 1899
Pejabat Post dan Telegraf Taiping 1911

Pejabat Pos Taiping 2016
Bangunan bernombor pendaftaran PWD 103 ini asalanya merupakan Pejabat Perbendaharaan dan Audit Negeri Perak. Selain itu, bangunan ini merupakan Bank Simpanan kerajaan yang merupakan bank pertama di Tanah Melayu. Di dalam bangunan ini terdapat sebuah peti besi pertama di Tanah Melayu berjenama Chubb yang dibuat di England.

28. Pejabat Telegraf - 1885

Bangunan ini di bina pada tahun 1885 dan ia terletak di hujung landasan keretapi pertama Taiping. Perkhidmatan telegraf pertama telah diperkenal pada tahun 1876 kemudiannya  ditambah dengan perkhidmatan pos. Pejabat Telegraf ini di bina bagi tujuan komunikasi Telegram dari Matang ke Taiping.

29. Pejabat Tanah dan Daerah - 1897
Terkenal dengan senibina 'Victorian Neo-Classical', bangunan binaan tahun 1897 ini pada asalnya membentuk huruf 'C' bersempena nama Mr. St Francis Caulfield yang merupakan Jurutera Kanan 'Public Work Department' (PWD).

30. Esplanade - 1890
Dibina pada tahun 1890 atas permintaan Colonel Robert S.F. Walker yang merupakan Komander Pasukan Tentera dan Polis di Taiping ketika itu. Esplanade ini asalnya digunakan sebagai tempat perhimpunan dan perbarisan para tentera dan polis. Kini, padang ini digunakan sebagai kawasan permainan bola sepak dan Ragbi Angkatan Tentera Malaysia.

31. Rumah Assisstant Residen - 1884


32. New Club - 1894

Perak Club ditubuhkan pada tahun 1885. akibat pergolakan dalaman, ahli seniornya menubuhkan New Club pada tahun 1892 sehinggalah Perak Club dimansuhkan. Tapak New Club ini dianugerahkan oleh Sultan Raja Sir Idris Mersedil Aathim Shah, K.C.M.G Ibni Iskandar Shah pada tahun 1894. Kelab Golf ini adalah yang tertua di Negeri Melayu Bersekutu dan Kedua Tertua di Asia Tenggara.

33. Mes Renjer (Tiada Keterangan)

34. Gereja All Saints - 1883

Gereja ini adalah hasil sumbangan W.V. Drummond yang siap dibina pada tahun 1883. Pada tahun 1911, Tingkap Kaca di pasang pada gereja tersebut.

35. Muzium Taiping - 1883

Muzium perak ini dibina pada tahun 1883 yang merupakan muzium pertama di Malaysia. Ia penubuhannya dicetuskan oleh Sir Hugh Low iaitu Residen British ketika itu. Beliau mengarahkan Leonard Wray Jr. iaitu seorang ahli Botani Geologi yang bertindak untuk mengumpul artifak sejarah dan kebudayaan di negara ini. Senibina Moorish dikekalkan sehingga hari ini untuk memelihara keseniaan terhebat abad itu.

36. Penjara Taiping - 1879
Penjara Taiping juga dikenali sebagai Penjara Larut dan Pusat Latihan Penjara Taiping. Ia dibina pada tahun 1879 semasa pemerintahan Inggeris. Pembinaan penjara ini bertujuan untukmengawal penentangan Orang melayu terhadap Inggeris di samping bertambahnya kejadian jenayah seperti Pembunuhan, rompakan, kecurian dan lanun. Struktur fizikal awal penjara ini dikelilingi pagar kayu setinggi 9 kaki.

37. Coronation Pool - 1937

Pada tahun 1937, Lembaga Kebersihan Taiping telah membina sebuah kolam renang yang diberi nama Kolam Renang Kemahkotaan (Coronation Pool) bersempena sambutan perayaan pertabalan King George VI pada 12 Mei 1937. Kolma ini menggunakan air semulajadi yang mengalir tanpa Klorin.

38. Tugu Peringatan Perang (Tiada Keterangan)


39. Burmese Pool - 1920

Pada tahun 1920, rejimen Askar Burma telah menemui tempat ini dan dijadikan sebagai tempat rekreasi tentera ketika itu.

Terus Menjejak Sejarah Taiping

Peta Jejak warisan
Apabila berjalan menelusuri kehidupan sejarah Taiping, jejaknya aku di bumi Taiping sekitar 9 tahun lalu hingga kini menjadikan ia semakin bermakna. Bandar Lombong yang tiada apa - apa suatu ketika dahulu menjadi kawasan pertumbuhan banyak perkara pertama di Tanah Melayu.

Sesetengah gambar adalah hak milik Penulis dan sesetengah gambar adalah dari laman web milik pihak yang lain.

Sumber Rujukan : Kerajaan Negeri Perak, Majlis Perbandaran Taiping.

Comments

  1. Assalamualaikum, perkongsian yang sangat menarik, saya berminat untuk mengetahui tentang perpustakaan tersebut. Boleh saya dapatkan email tuan untuk saya berhubung?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?