'UTBAH, DARIPADA PEMBENCI KEPADA PENCINTA NABI SAW BHG. II
'UTBAH, DARIPADA PEMBENCI KEPADA PENCINTA NABI SAW BHG. II
Rasulullah SAW membaca ayat 1 hingga 54 daripada surah Fussilat, “Ha Mim, (Ini merupakan ucapan) yang diturunkan dari Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, sebuah kitab bacaan berbahasa Arab yang diperincikan makna ayatnya bagi mereka yang mengetahui. (Ia datang sebagai) pemberi berita gembira dan amaran, tetapi ramai mereka berpaling kerana enggan mendengar (isi) nya. Mereka berkata, 'Sesungguhnya hati kami telah tertutup rapat dari mendengar apa yang kamu serukan...'”
Rasulullah SAW terus melantunkan ayat-ayat yang menempelak kuffar Quraysh yang degil itu. Ayat-ayat tersebut menegaskan bahawa mereka berada dalam kerugian kerana enggan menerima ajaran Baginda (ayat ke-19 hingga 36). Allah maha berkuasa dan pada hari akhirat akan ditentukan nasib mereka akibat dari perbuatan ingkar yang dilakukan di dunia (ayat ke-37 hingga 52). Apabila membacakan ayat yang mengandungi sajdah (sujud tilawah), Baginda bersujud dan menyambung bacaannya sehingga tamat.
Kemudian Baginda berkata, "Engkau sudah mendengarnya wahai Abu al-Walid, fikirkanlah...”
'Uthbah berdiri dan pergi kepada pemuka-pemuka Quraisy yang lain. Mereka setia menanti di suatu sudut di dalam Nadi (tempat perkumpulan pemuka Quraisy berhampiran Ka'bah) ingin mendengar pandangan 'Utbah mengenai perbualan tersebut.
Sambil melihat 'Utbah yang berjalan perlahan, mereka berbisik, “Demi Allah, 'Utbah telah datang kepada kita dengan wajah yang tidak sama seperti saat dia pergi berjumpa Muhammad.”
Apabila 'Utbah mengambil tempat duduknya, mereka segera bertanya, “Bagaimana denganmu wahai Abu al-Walid?”
Beliau menjawab, “Aku mendengar suatu ucapan yang, demi Allah, tidak pernah aku mendengarnya sebelum ini. Demi Allah ia bukan syair yang biasa kita kenali. Ia bukan sihir dan bukan juga ucapan tukang tilik. Wahai pemuka Quraisy, dengarlah dan percayalah nasihatku. Tinggalkan pemuda itu, janganlah kamu ganggu dia. Demi Allah, daripada ucapannya yang aku dengar, aku percaya akan berlaku hal yang sangat besar. Jika dia (Muhammad SAW) gagal, kamu tidak akan rugi sedikitpun, tetapi jika dia berjaya, nescaya semua golongan Arab akan berkongsi kemuliaan dan penghormatan dengan kekuasaannya. Kitalah yang akan menjadi bangsa yang paling bertuah dengan kemunculan pemuda ini!”
Mereka lantas menjawab, “Demi Allah sesungguhnya dia telah menyihirmu dengan lidahnya wahai Abu al-Walid!”
'Utbah menambah, “Jika begitu, buatlah apa yang kamu rasakan benar. Ini pandanganku yang aku yakini ia akan terjadi suatu hari nanti.”
Oleh: Dr Amer Hudhaifah
Ikuti Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily
Comments
Post a Comment