'UTBAH, DARIPADA PEMBENCI KEPADA PENCINTA NABI SAW BHG. I

'UTBAH, DARIPADA PEMBENCI KEPADA PENCINTA NABI SAW BHG. I

Pengislaman Hamzah ibn Abd al-Muttalib merupakan suatu peristiwa yang bersejarah bagi umat Islam. Sementara itu di pihak Kafir Quraisy, ia adalah malapetaka kerana telah menguatkan lagi pengaruh umat Islam di kota Mekah. Hamzah memeluk Islam pada tahun ke-2 kenabian (612 Masihi) dan kenyataan itu telah menarik ramai manusia untuk mengikuti agama baharu yang diperkenalkan Nabi SAW. Ini menjadikan pemimpin Quraish semakin bingung dan buntu.

'Utbah ibn Rabi’ah sebagai seorang pemuka Quraysh daripada kabilah ‘Abd Shams tidak berdiam diri. Setiap hari bilangan pengikut Muhammad semakin bertambah. Dia melihat Rasulullah SAW duduk sendirian dekat Kaabah lalu bangun seraya berkata kepada pemuka-pemuka Quraish yang lain, “Biarlah aku bercakap dengannya (yakni Rasulullah SAW). Mungkin dia akan berminat dan menerima sebahagian daripada apa yang aku katakan nanti.”

Semakin beliau menghampiri Rasulullah SAW yang sedang duduk, dia berkata: “Wahai kerabatku (kedua-dua mereka dari suku Quraisy), engkau mengetahui betapa tinggi nasabmu (kabilah ‘Abd Manaf) dalam kalangan kami. Tetapi kini engkau menimpakan kami dengan perkara yang sangat berat untuk ditanggung. Engkau memecah belahkan kesatuan kami, memperlihatkan seolah-olah pemimpin kami orang yang bodoh. Engkau juga mempersendakan amalan datuk moyang kita. Sekiranya aku berkata sesuatu, apakah sudi engkau mendengarnya?”

Baginda jawab lembut, “Katakanlah wahai Abu al-Walid (gelaran bagi 'Utbah), aku mendengarnya.”

'Utbah berkata, “Jika engkau lakukan semua ini kerana harta, maka biar kami kumpulkan harta-harta untuk diberikan kepadamu lantas engkau menjadi orang yang paling kaya. Jika engkau mahukan kemuliaan (dalam Quraisy), biar kami ikat perjanjian yang menjamin tempatmu di atas kami justeru kami tidak lagi memutuskan satu perkarapun melainkan setelah dipersetujui olehmu. Jika engkau mahu diangkat sebagai raja, biar kami nobatkanmu sebagai raja di atas kabilah ini. Jika apa yang engkau datangkan ini berpunca dari gangguan makhluk yang engkau tidak mampu membendungnya, biar kami carikan bomoh dengan tanggungan kami sendiri agar engkau tidak lagi diganggu olehnya”.

Rasulullah SAW tenang mendengar. Apabila 'Utbah habis bicara, Baginda berkata, “Kalau engkau sudah habis, dengarkan pula daripadaku wahai Abu al-Walid.”

Beliau menjawab, “Baik, aku mendengarmu.”

Oleh: Dr Amer Hudhaifah

Ikuti Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?