Peperangan Bulan Ramadhan dan Syawal di Zaman Rasulullah SAW
2 Siri Peperangan Umat Islam di zaman Rasulullah
Diantara pengajaran yang dapat kita ambil kearah penjanaan ukhuwwah islamiyyah adalah yang terselit pada setiap ‘Ghazwah’ dan ‘Sariyyah’. Ghazwah adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW, sedangkan Sariyyah adalah peperangan yang dipimpin oleh sahabat Beliau yang bermaksud bahawa Rasulullah SAW tidak turut bersama dimedan pertempuran.
Al-Qur’an merakamkan beberapa peperangan yang mengandung hikmah dan ibrah bagi manusia. sebagai wadah dalam melayari kehidupan dan pertimbangan dalam mengambil apa jua tindakan.
Malangnya sejarah peperangan Rasulullah SAW dan pengajaran yang terselit padanya tidak dimasukkan dalam kurikulum pengajian Islam sehingga ramai diantara kita tidak pernah tahu akan intipati dan pengajaran daripada peristiwa tersebut yang pastinya dapat diguna-pakai sebagai panduan.
Jika ditinjau dari intipati setiap peperangan yang berlaku dalam sejarah islam..ianya lebih mencerminkan pengajaran dari sudut strategi berjamaah dalam memerangi gejala-gejala kemungkaran, kemaksiatan dan kepincangan sosio-budaya pada zaman kita ini. Jika kita dapat menterjemahkan setiap peristiwa pertempuran tersebut kepada jalur pemikiran zaman kita ini, nescaya kita akan dapat merasakan bahawa peperangan yg berlaku itu tidak semata2 menjuruskan kita mengangkat senjata zahiriyyah malahan ianya lebih kepada mengangkat senjata ruhaniyyah dalam memerangi jihad yang lebih besar iaitu ‘jihadunnafs”.
Marilah kita singkap dua ghazwah dalam sejarah islam agar kita dapat menghiasi kehidupan kita dengan pagar-pagar keimanan berserta lobor-obor kilauan taqwa agar cahaya nya dapat terpantul kedada keredhaan Allah SWT.
Teras berlakunya peperangan pada zaman Rasulullah SAW adalah mempertahan agama Islam daripada dihancurkan oleh puak kuffar dari sudut sosio-politik zaman tersebut. Namun teras bagi kita sekarang lebih kepada mempertahankan akhlaq, taqwa dan ukhuwwah islamiyyah daripada dihancurkan oleh pengaruh kemaksiatan dan pemikiran yang jauh menyimpang dari kehendak agama yg diredhai ini.
Surah Ali Imran ayat 19
“Sesungguhnya agama disisi Allah ialah Islam”
PERANG BADAR
merupakan gahzwah pertama di antara umat Islam dengan kaum kuffar dimana ianya merupakan ujian pertama madrasah iman yang dibentuk Rasulullah pada zaman ‘makkah’ yang tercetus seawal dua tahun pada zaman ‘madinah’ pada tanggal 17 ramadhan tahun kedua hijriyyah. Kaum muslimin berjumlah 313 orang berhadapan dengan pasukan Kuffar Quraisy dari Mekkah yang berjumlah 1000 orang.
Secara ringkasnya, kemenangan bagi pihak kaum muslimin mencerminkan betapa pentingnya mempersiapkan diri dalam menghadapi apa jua ancaman sepertimana Rasulullah SAW mengatur strategi dakwah pada periode “Makkiyah”. Pengajaran penting dari perang Badar ialah :
1. Kekuatan ruhaniyyah akan dapat mengatasi kekuatan zahiriyyah dengan kemenangan 313 melawan 1000. Maka itu kuatkanlah perisai iman kita agar kita dapat bertahan memerangi segala macam gejala dan ancaman dizaman kita yg penuh dgn cabaran ini.
2. Persiapan dalam menghadapi masa depan yang tidak menentu jelas memberikan kita satu pola pemikiran bagaimana Rasulullah saw memperkukuhkan keimanan dan taqwa serta semangat ukhuwwah islamiyyah sepanjang 13 tahun diMakkah kerana Allah swt sudah merencanakan pertempuran menguji segala yg terbentuk pada zaman Makkah utk diuji sejurus setelah memasuki zaman Madinah.
Maka itu setiap dari kita perlu membentuklah zaman ‘makkiyah’ dan ‘madaniyyah’ dalam apa jua strategi kehidupan kita.
PERANG UHUD
Kalau Badar menyaksikan madrasah Ramadhan, maka Uhud pula menyingkap kepada bulan syawal yg tercetus pada tanggal 7 syawal tahun ke3 hijrah. Walaupun terdapat pendapat yg mengatakan Perang Uhud berlaku pada bulan Syaaban namun jumhur berpendapat ianya berlaku pada bulan Syawal. Wallahu ta’alaa a’lam.
Perang Uhud ini membuka sejarah kekalahan kaum muslimin yang pertama dimana ianya bukanlah satu penghinaan pada pasukan muslimin namun ianya dirancang sebegitu rupa agar dapat dijadikan satu pengajaran buat umat terkemudian seperti kita. Ghazwatul Uhud telah dirakamkan dengan penuh detail pada beberapa ayat didalam Surah Ali Imran.
Firman Allah pada Surah Ali Imran ayat 121 -123:
121 Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud) dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
122 (Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
123 Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Sayugia diingatkan perang Uhud terjadi sekitar lebih setahun daripada perang Badar dimana pasukan Muslimin lebih ramai daripada perang sebelumnya. Namun kemenangan yang hampir tercapai terlepas dari jangkauan apabila berlaku beberapa tindak tanduk dikalangan ahli Uhud yang menjadi titik tolak bagi kita umat terkemudian untuk menggarap ibrah dan iktibar daripadanya.
Marilah kita renungkan intipati peristiwa Uhud pada dua ayat berikut daripada surah Ali-Imran :
152 Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
153 (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
Secara ringkasnya diantara tindak tanduk yang menjadi asbab kekalahan bagi pihak muslimin ialah:-
1. Keterlanjuran pasukan pemanah yang ditempatkan di posisi strategik dalam melanggar arahan Rasulullah saw untuk istiqamah diposisi tersebut hanya kerana keterujaan menyaksikan bibit-bibit kemenangan ketika terkumpul harta rampasan perang dan nafsu kebendaan yg telah menghakis sifat istiqamah dan kesabaran yang sangat diperlukan dalam sesuatu perjuangan.
2. Terserlah sifat sebenar golongan yang mempunyai agenda tersendiri dalam mengikuti pasukan muslimin dengan niat untuk meraih aspek kebendaan daripada semangat juang yang hakiki demi menegakkan Islam.
3. Sifat munafik yang menjadikan perpecahan dikalangan para pejuang
Diantara pengajaran yang sangat penting pada kedua-dua peperangan Badar dan Uhud adalah seperti berikut:-
1. Pentingnya memegang amanah dan arahan dari pemimpin yang terbukti kepimpinannya
2. Kemenangan yang pernah diraih tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa usaha dan pengorbanan yang jitu dan bersih dari apa jua niat yang menyimpang dari matlamat perjuangan sehingga terhunusnya pedang kelalaian yang menjurus kepada kekalahan
3. Kecintaan pada nafsu ingin memiliki kebendaan dan kekayaan boleh mengalahkan keteguhan iman dan mencemarkan matlamat dan erti perjuangan
4. Hilangnya kesatuan berjamaah dan syura sehingga tercetus perpecahan dalam membuat keputusan yang sewajarnya.
Rentetan peristiwa Badar dan Uhud yang berlaku pada jarak masa yang singkat pada tahun kedua dan ketiga Hijriyyah tidaklah keterlaluan jika disamakan dengan perjuangan kemenagan kita pada bulan Ramadhan yang penuh dengan kemenangan seperti Badar yang hanya menantikan satu kekalahan setibanya bulan Syawal seperti Uhud.
Kemenangan Badar yang disusuli dengan kekalahan Uhud seakan-akan memberi kita satu peringatan bahawa kemenangan yang sedang kita bina pada bulan Ramadhan ini akan luput sekiranya kita gagal menterjemahkannya dengan sebaik mungkin pada bulan Syawal nanti.
Maha suci Tuhan, yang merencanakan setiap perjuangan Rasulullah saw dengan pelbagai ibrah dan iktibar bagi mereka yang benar-benar ingin mencari satu pengertian pada apa jua ketentuan dari Allah SWT.
Surah Ali IMran Ayat 191
“……Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan perkara-perkara ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.”
Semuga bermanfaat buat kita dalam melalui sisa-sisa sentuhan Ramadhan yang akan meninggalkan dalam beberapa waktu sahaja lagi. Semuga syawal kita nanti menjadi pelengkap kemenangan dan bukannya kekalahan.
Sumber Dari :
Tazkirah Ramadhan ke 17 1437H melalui kelas Telegram
Ustaz Mohd Salim BKAF 102
Comments
Post a Comment