APAKAH YANG BERLAKU SAAT NABI ISA DIBURU?
Sempena tahun baharu 2020, elok juga kita mengulangkaji sejarah Nabi Isa yang dinisbahkan dengan tahun kelahirannya sebagai kiraan kalendar Masihi hari ini. Selaku umat Islam, kita beriman dengan Nabi Isa yang namanya diulang sebanyak 25 kali di dalam al-Quran.
Bahkan Allah telah memperuntukkan sebuah surah khusus iaitu surah Maryam, yang meluruskan kembali sejarah sebenar berkenaan baginda & ibunya, Maryam. Sekaligus sebagai jawapan kepada kekeliruan yang dipegang oleh agama Kristian.
⚫ Mengapa Nabi Isa Diburu?
Akhlak Nabi Isa sentiasa menyebarkan ajaran Islam ke mana sahaja baginda pergi. Itu jugalah yang dimaksudkan oleh ayat al-Quran, bahawa Isa merupakan insan serba berkat, di mana sahaja baginda pergi.
Pengaruh Nabi Isa tersebar luas dalam waktu yang singkat. Selain dari hujah ilmu, baginda dikurniakan mu'jizat-mu'jizat yang boleh menyembuhkan orang sakit.
Pada masa yang sama, Nabi Isa menumpukan da'wahnya agar Bani Israel:
▪️Bertaubat kembali ke pangkal jalan setelah banyak dosa & penyelewengan yang mereka lakukan.
▪️Kembali beriman dengan syariat yang telah diajarkan oleh para Rasul. Sikap penolakan syariat itu bermula setelah kewafatan Nabi Sulaiman & ia menjadi antara faktor perpecahan & merempatnya Bani Israel.
▪️Meninggalkan minda materialistik dengan kembali beriman dengan akhirat. Usah mengutamakan timbangan dunia hingga melupakan kesannya di akhirat.
Kesungguhan & fokus da'wah yang diusahakan oleh Nabi Isa itu akhirnya menyebabkan para pendeta Bani Israel rimas dengan baginda. Sebahagiannya menaruh hasad kerana merasa pengaruh mereka terancam.
Harapan asal mereka adalah semata-mata mahu melihat Nabi Isa fokus menentang Rom yang sedang menjajah Bani Israel ketika itu. Namun sebalinya baginda lebih menumpukan usaha pemulihan ke atas Bani Israel, kerana hakikatnya dosa-dosa merekalah yang menjadi faktor kenapa mereka ditindas selama ini.
⚫ Menjadi Buruan Kerana Fitnah.
Lanjutan dari kedengkian pendeta-pendeta Bani Israel yang meluap-luap, mereka menuduh kononnya Nabi Isa adalah individu yang sangat berbahaya. Kononnya baginda membawa ajaran sesat & jika dibiarkan akan mengancam survival kerajaan Rom kelak.
Motif fitnah tersebut adalah untuk menarik perhatian kerajaan Rom agar Nabi Isa dijatuhkan hukuman mati kerana mengancam keselamatan politik Rom. Maka isu itu diangkat lalu dipercayai.
Fitnah tersebut berjaya membuatkan Nabi Isa & sahabat-sahabatnya yang digelar sebagai Hawariyyun, diburu. Pendeta-pendeta Bani Israel berkomplot dengan penguasa Rom. Sedangkan asalnya, mereka anti Rom kerana didakwa menjajah Bani Israel.
⚫ Malam Kejadian.
Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan, malam serangan ke atas markaz Nabi Isa adalah pada hari Jumaat. Buruan dilancarkan dari waktu Asar hingga ke tengah malam Sabtu.
Dikatakan lokasi perkumpulan tersebut di tengah kebun zaitun. Saat itu Nabi Isa bersama dengan 12 orang Hawariyyun sedang berkumpul. Maka apabila baginda dikhabarkan bahawa mereka telah pun dikepung, berlakulah keajaiban.
⚫ Siapa Sanggup Jadi Korban?
Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya al-Qasas al-Qurani mengambil riwayat Ibnu Abbas yang menceritakan senario sebenar malam serbuan tersebut. Nabi Isa bertanya kepada para Hawariyyun:
"Siapakah yang sanggup diserupakan dengan diriku? Maka dia akan menanggung risiko seperti diriku, dia bakal dibunuh. Ganjarannya nanti, dia akan bersamaku kelak"
Maka pengikut Nabi Isa yang paling muda bingkas bangun, menyatakan kesanggupannya. Baginda menyuruhnya duduk. Kemudian Nabi Isa bertanya lagi siapa yang sanggup menjadi korban? Anak muda yang sama bangun menyatakan kesediaan.
Setelah 3 kali Nabi Isa mengapungkan tawaran penuh risiko itu, tetap anak muda yang sama bangun menyatakan kesanggupan untuk mati syahid, sanggup diseksa & menanggung bebanan risiko Nabi Isa.
Menghargai tekad pengikutnya yang paling muda itu, akhirnya Nabi Isa setuju memilihnya. Lantas Allah menukar rupa fizikal anak muda tersebut menjadi persis Nabi Isa.
Kemudian Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. Peristiwa ajaib itu disaksikan oleh para Hawariyyun. Maka yang disalib itu adalah pengikut Nabi Isa yang taat, sanggup berkorban & beroleh syahid.
⚫ Riwayat Injil Barnaba.
Penganut Yahudi & Kristian menyangka bahawa kononnya yang disalib itu adalah Nabi Isa yang sebenar. Kepercayaan itu disanggah oleh Allah, antaranya dengan ayat:
وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَٰكِن شُبِّهَ لَهُمْ ۚ
"Dan sebenarnya mereka tidak membunuhnya (Nabi Isa) dan mereka tidak mensalibnya. Tetapi mereka telah dikelirukan (dengan jelmaan Nabi Isa" - al-Nisa 157.
Yang menariknya, ada cerita versi Injil Barnaba mendakwa kononnya yang disalib itu adalah pengikut Nabi Isa yang belot. Namanya Yahuza atau Judas. Dia melakukan pembelotan dengan memberikan maklumat kepada Rom berkenaan pergerakan Nabi Isa.
Maka pada malam kejadian ketika Yahuza bertemu Nabi Isa buat kali terakhir, rupa fizikalnya ditukar menjadi persis Nabi Isa. Lalu berlakulah serbuan oleh pasukan Rom. Ketika itulah Yahuza ditangkap, diseksa & akhirnya mati disalib. Cerita versi ini banyak tersebar dalam kalangan orang Islam juga.
⚫ Nabi Isa adalah Nabi Yang Hebat.
Hakikatnya kisah berkenaan Nabi Isa agak panjang untuk ditekuni. Ya, sangat panjang. Hikmah baginda diangkat ke langit, adalah untuk diturunkan kembali bagi memburu Dajjal.
Hanya Nabi Isa yang diberikan kekuasaan oleh Allah untuk membunuh Dajjal. Dalam hadith, Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa di Bab Lud, sebuah kawasan di bawah jajahan Israel hari ini yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Tel Aviv.
Di ambang berlakunya kiamat, Nabi Isa akan memimpin umat Nabi Muhammad untuk mendepani fitnah-fitnah yang dahsyat. Rupa-rupanya kehebatan & keperkasaan Nabi Isa yang diangan-angankan oleh Bani Israel seawal dahulu, disimpan untuk digunakan sepenuhnya di kemuncak zaman fitnah kelak.
Semoga Allah tidak menemukan kita zaman itu.
Abdul Mu'izz Muhammad
31 Disember 2019.
Comments
Post a Comment