SUKA DUKA HIDUP IBUNDA KITA: UMMU SALAMAH (BHG. 2/6)


"Aku ingin turut serta bersama suamiku di Yathrib", jawab Ummu Salamah.

Uthman bin Talhah bertanya lagi, "Ada orang menemani kamu dalam perjalanan?"

"Demi Allah, tiada yang menemaniku selain Allah dan anakku ini", ujar Ummu Salamah.

Uthman menyambung, "Demi Allah, orang seperti kamu perlu ditolong."

Tanpa bertangguh, maka dia mengambil tali unta dan memimpin perjalanan menuju Yathrib. 

Ummu Salamah pernah berkata, "Aku tidak pernah menemui lelaki Arab yang lebih mulia daripada Uthman bin Talhah. Setiap kali kami menghampiri perhentian, Uthman akan menambat untaku dan mendudukkannya. Lalu dia akan menjauhi diriku. Aku akan turun bersama dengan anakku ke tempat istirehat. Lantas Uthman akan datang semula mengambil untaku bersamanya dan pergi mengambil tempat rehat yang agak jauh daripada kami.

Ketika waktu telah tiba untuk menyambung perjalanan, Uthman akan mengambil untaku, mendudukkannya lalu memasang pelananya dan berkata, 'Naiklah.' Dia akan menjauhi diriku dan bukan menungguku menaiki unta. Lalu dia akan datang semula untuk mengambil tali unta dan memimpin kami ke Yathrib."

Begitulah rutin yang berlaku sepanjang perjalanan 450 km. Sungguh tinggi adab dan hormat Uthman yang ketika itu bukan Muslim.

Setibanya Madinah, mereka menuju ke kampung Amr bin Auf. Uthman berkata, "Suamimu berada di sini. Masuklah engkau ke kampung itu dengan keberkatan Allah SWT."

Uthman terus berangkat pulang ke Mekah. Diriwayatkan bahawa Uthman memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiah.

Mereka menetap di kampung itu sehingga lahirnya zuriat-zuriat yang lain iaitu Umar, Durrah dan Zainab.

Pada Syawal 3 Hijrah, seruan jihad ke medan Uhud dilaungkan. Abu Salamah turut menyertainya. Dalam perang ini, Abu Salamah mendapat luka yang tidak parah. Dia mengubati dirinya dan setelah kuat tubuh badannya, Nabi SAW mengirim beliau ke satu ekspedisi (sariah). Dia memimpin 50 orang Muslimin dan pulang dengan luka yang lebih parah.

Abu Salamah meninggal dunia kerana luka-luka tersebut.

....

Oleh: Asim MHatta

Langgan Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?