SUKA DUKA HIDUP IBUNDA KITA: UMMU SALAMAH (BHG. 5/6)



Ummu Salamah RA terkenal dengan kebijaksanannya. Hal ini jelas sewaktu peristiwa Perjanjian al-Hudaibiyah.

Pada tahun 6H, Nabi SAW telah mimpi bertawaf di Kaabah bersama para Sahabat. Lantaran itu, Baginda mengajak para Sahabat untuk melakukan ibadah umrah. Mereka menjangka bahawa umrah dapat dijalankan pada tahun itu namun Allah menangguhkan hasrat mereka pada tahun berikutnya.

Kerinduan mereka kepada Kaabah tidak dapat dibendung lagi, maka berangkatlah Nabi SAW bersama 1400 orang sahabat. Mereka berangkat secara bersenjata kerana bersedia dengan sebarang kemungkinan. Setibanya di al-Hudaibiyah (kira-kira 20 km daripada kota Mekah), mereka dihalang oleh Musyrikin Mekah. 

Nabi SAW lantas mengutus Uthman bin Affan sebagai wakil masuk ke dalam Mekah. Beberapa ketika selepas itu, Uthman masih tidak pulang dan Rasulullah menyangka bahawa dia telah dibunuh atau ditangkap oleh Musyrikin. Maka Nabi melaksanakan sebuah perjanjian yang dinamakan Bai'at al-Ridwan seperti yang dirakamkan Allah SWT dalam ayat ke-18, Surah al-Fath.

Perjanjian yang dilaksanakan di bawah sepohon pokok ini memaparkan taat setia kepada Nabi SAW serta siap siaga Sahabat untuk mati di jalan Allah SWT. Nabi SAW menjanjikan syurga bagi setiap yang menghulur tangan dalam perjanjian ini.

Tidak lama selepas itu, datanglah seorang utusan daripada Mekah dan bernegosiasi dengan Nabi SAW, terhasillah Perjanjian al-Hudaibiyah. Antara kandungan utamanya adalah umat Islam perlu menangguhkan hasrat umrah ke tahun depan.

Nabi SAW bersetuju, sebaliknya Umar al-Khattab dan Sahabat yang lain tidak berpuas hati.

Kemudian Nabi memberitahu Sahabat bahawa umrah ditangguhkan, maka perlu untuk mencukur rambut dan menyembelih binatang sebagai tahallul. Namun, tiada siapa yang menyahut seruan Baginda. Ia diulang-ulang, tetapi masih tiada yang berbuat akur kepada seruan tersebut.

Umar RA lantas tampil dan bertanya kepada Nabi SAW, "Bukankah engkau Nabi yang benar?"

Nabi SAW menjawab, "Ya, tentu sekali."

"Bukankah engkau mengatakan bahawa kita akan bertawaf?" lanjut Umar RA.

"Ya. Tetapi adakah aku katakan kita akan laksanakannya tahun ini?"

Umar RA akur.

Umar RA bertanya lagi, "Bukankah kita adalah pihak benar dan mereka pihak batil?" Lalu dijawab Nabi SAW, "Benar."

Umar RA menyambung, "Bukankah jika bertempur dan mati, kita akan masuk syurga dan mereka pula akan masuk neraka?" Baginda SAW mengiyakan saja.

"Jadi mengapa kita perlu mengalah?" bagi Umar RA, peranglah pilihannya.

Kemudian Nabi SAW dalam keadaan sedih masuk ke dalam khemahnya, turut diikuti Ummu Salamah. Nabi SAW mengadu kepadanya, "Wahai Ummu Salamah, apa masalah mereka? Mengapa mereka tidak menurutiku?"

Rasulullah SAW kecewa.

.....

Oleh: Asim MHatta

Langgan Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?