SUKA DUKA HIDUP IBUNDA KITA: UMMU SALAMAH (BHG. 1/6)



Allah SWT memilih setiap isteri Nabi SAW dengan sebab yang tersendiri dan khusus. Allah SWT pernah memberi pilihan kepada mereka, antara kesenangan dunia atau kesusahan bersama Nabi lalu mereka semuanya memilih yang kedua. Diriwayatkan bahawa rumah Nabi SAW pernah tidak menyala api, iaitu tiada masakan makanan selama 2 bulan. Ditanya kepada A'isyah apa yang mereka makan, A'isyah menjawab, "al-Aswadan," iaitu kurma dan air.

Setiap sejarah ibunda kita ini, wajar digali tauladannya.

Wanita yang akan dikupas kisah hidupnya kali ini adalah wanita dalam kalangan Assabiqun al-Awwalin, dia juga wanita al-Hijratain (dua kali berhijrah, Habsyah dan Madinah), dialah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah, dialah Ummul Mukminin. Nama asal Ummu Salamah RA adalah Hind bint Abi Umayyah ibn Mughirah, daripada Bani Makhzum. Bersepupu dengan Khalid al-Walid dan Abu Jahal. Beliau juga adalah saudara susuan kepada Ammar bin Yasir.

Ummu Salamah terkenal sebagai wanita yang cerdas dan jelita di Mekah. Dia berkahwin dengan seorang sahabat, iaitu Abu Salamah RA, juga daripada bani Makhzum serta saudara susuan Nabi SAW. Pasangan mulia ini berhijrah ke Habsyah pada sekitar tahun 5 kenabian kerana tekanan oleh kaum Musyrikin Mekah. Di sanalah lahirnya Salamah.

Setelahnya tersebarnya khabar angin bahawa Musyrikin telah memeluk Islam, sebahagian daripada kalangan Muhajirin Habsyah ini kembali ke Makkah.   Ternyata khabar itu palsu. Mereka bertahan di Mekah sehinggalah dibenarkan pula hijrah ke Madinah. Mereka antara golongan terawal berhijrah. 

Ummu Salamah menceritakan bahawa setelah selesai persiapan mereka untuk berhijrah, mereka berangkat keluar dari rumah lalu terserempak dengan dua orang pemuda Bani Makhzum.

"Adakah kamu fikir kami akan membiarkan kamu mengambil puteri kami?"

Seloroh mereka sambil merampas tali unta dan dibawa pulang kepada kerabat Ummu Salamah. Perkara ini menimbulkan kemarahan kerabat Abu Salamah. Mereka pula berkata, "Pulangkan semula putera kami ke pangkuan kami!"

Maka berlakulah perebutan dan tarik-menarik. Padahal kesemuanya Musyrikin Bani Makhzum. Akhirnya kerabat Abu Salamah dapat merampas anaknya. 

Abu Salamah nekad dan tetap meneruskan hijrah tanpa isteri dan anaknya. Ummu Salamah dipisahkan daripada suami dan anaknya. Kerana begitu sedih, maka setiap pagi, Ummu Salamah akan naik ke sebuah tempat terbuka dan menangis sehingga petang. Perkara ini berpanjangan. 

Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang ahli kerabatnya terlihat keadaan Ummu Salamah yang menyayat hati. Dia berasa kasihan dan simpati. Kemudian dia mengherdik kerabatnya, "Adakah kamu tidak kasihan kepada wanita yang sedih ini? Kalian telah memisahkannya daripada anak dan suaminya." Terkedu dengan teguran itu, kaumnya berkata kepada Ummu Salamah,

"Jika kamu ingin menyusuli suamimu, silakan."

Sebelum berangkat, anaknya dipulangkan semula kepadanya. Maka berangkatlah ibu dan anak ini ke Madinah tanpa berteman. Sesampainya di Tan'im (70 km dari Makkah), dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Uthman bin Talhah. 

"Ke mana kamu ingin pergi, wahai puteri Abu Umayyah?"

....

Oleh: Asim MHatta

Langgan Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily


Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?