SUKA DUKA HIDUP IBUNDA KITA: UMMU SALAMAH (BHG. 4/6)
Pada suatu hari, ketika Ummu Salamah sedang membersihkan kulit binatang, datang seorang utusan Rasulullah SAW. Dia membersihkan tangan dan mengalu-alukan kedatangannya. Lalu disampaikan kepadanya lamaran daripada Baginda SAW.
Ummu Salamah berkata, "Aku ini seorang perempuan yang kuat cemburu. Aku juga mempunyai anak yang ramai. Aku tiada wali (semuanya di Mekah). Aku juga sudah tua." Ketika itu, dia masih menyayangi Abu Salamah dan berasa tidak layak untuk bersama dengan Rasulullah SAW. Dia menyambung, "Orang seperti aku, tidak layak untuk dinikahi."
Ketika itu, Rasulullah SAW sudah beristeri 4 iaitu Saudah, Aisyah, Hafsah dan Zainab.
Nabi membalas, "Adapun kamu katakan kamu sudah tua, aku lebih tua daripadamu. Adapun anakmu ramai, tidak mengapa, aku akan uruskan. Adapun kamu kuat cemburu, aku akan berdoa kepada Allah SWT agar dihilangkan kecemburuanmu. Adapun kamu tiada wali, jika wali kamu mengetahui bahawa aku akan menikahimu, mereka pasti akan reda."
Ummu Salamah mati hujah. Akhirnya, dia menikahi Rasulullah SAW pada tanggal 4H.
Diriwayatkan bahawa pada malam perkahwinan, Nabi SAW memasuki bilik Ummu Salamah lalu keluar semula apabila mendapati Ummu Salamah masih mengendong Zainab yang baru dilahirkan. Kejadian ini berulang sehingga 2-3 kali. Perkara ini sampai kepada pengetahuan Ammar bin Yasir, saudara susuan Ummu Salamah. Lantas Ammar memasuki bilik Ummu Salamah dan mengambil Zainab daripada pangkuannya.
Rasulullah SAW kemudiannya ingin menetapkan tempoh untuk dibahagikan kepada isteri-isterinya. Diberi pilihan sama ada bergilir 7 hari sama rata sesama isteri atau 3 hari bersamanya dan diselangi 1 hari untuk isteri yang lain.
Ummu Salamah memilih 3 hari. Nabi SAW mengutamakan Ummu Salamah kerana dia adalah seorang janda yang mempunyai anak.
.....
Oleh: Asim MHatta
Langgan Seerah Daily
https://t.me/seerahdaily
Comments
Post a Comment