Islam bukan hanya wajib solat, puasa sahaja
Rujukan :
[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1158690440991094&id=251201991739948
[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1193228667537271&id=251201991739948
[3] Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya'la dan At Thabrani
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
03 OCTOBER 2019
MENGUCAP syahadah dan kewaspadaan terhadap munafik.
Kalimah Syahadah merupakan step pertama untuk dikenali sebagai seorang Muslim. Ada beberapa perkara yang wajar dibincangkan berkenaan dengan tuntutan-tuntutannya.
Adakah cukup dengan bersyahadah tetapi tidak melakukan kewajipan-kewajipan Islam?
Cukupkah dengan bersyahadah, tetapi masih tidak yakin terhadap penyelesaian Islam?
Persoalan-persoalan ini perlu difahami dengan melihat syahadah itu dari sudut tuntutannya.
Sebagai seorang manusia, kita hanya dapat mengukur keIslamannya melalui penuturan syahadahnya. Manakala bab keimanan, merupakan perkara yang tersembunyi yang hanya boleh dikenali melalui tindak tanduknya.
Sebab itulah Nabi S.A.W menyenaraikan tanda-tanda munafik, yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran.
Tanda-tanda munafik ini bukanlah tujuannya untuk menuduh seseorang, tetapi untuk berwaspada terhadap rancangan jahat mereka selaras dengan firman Allah S.W.T dalam Surah al Munafiqun ayat 4:
۞ وَإِذَا رَأَیۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡۖ وَإِن یَقُولُوا۟ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡۖ كَأَنَّهُمۡ خُشُبࣱ مُّسَنَّدَةࣱۖ یَحۡسَبُونَ كُلَّ صَیۡحَةٍ عَلَیۡهِمۡۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُون
"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?"
(al-Munafiqun: 4)
Membina keyakinan, bukan semata-mata suruh mengucap
Kita perlu faham, ucapan syahadah itu sebenarnya bermula daripada keimanan dalam hati.
Apabila hatinya sudah yakin dengan aqidah Islam, maka secara relanya dia akan mengucap sebagai tanda dan perakuan terhadap apa yang diyakini olehnya.
Elakkan daripada syahadah kosong, hanya menuturkan pada lidah, tetapi hakikatnya tak tahu langsung apa itu Islam.
Cetusan iman dalam hati ini perlu menjadi muqaddimah kepada syahadah. Muqaddimahnya ialah sebuah "keyakinan" iaitu yakin terhadap Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul. Selaras dengan firman Allah S.W.T:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ یَرۡتَابُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ
"
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)."
(al-Hujurat: 15)
Sayyid Qutb R.A menghuraikan ayat ini menyatakan
يقول شهيد الإسلام الأستاذ "سيد قطب" رحمه الله في تفسير هذه الآية من "ظلال القرآن": "فالإيمان تصديق القلب بالله وبرسوله، التصديق الذي لا يرد عليه شك ولا ارتياب، التصديق المطمئن الثابت المستيقن الذي لا يتزعزع ولا يضطرب، ولا تهجس فيه الهواجس، ولا يتلجلج فيه القلب والشعور، والذي ينبثق منه الجهاد بالمال والنفس في سبيل الله"
"
As-Syahid Sayyid Qutb berkata dalam mentafsirkan ayat ini (Al-Hujraat,15)
"Maka, Iman adalah perlakuan hati yang membenarkan Allah dan RasulNya dengan kebenaran yang tiada lagi syak dan keraguan, kebenaran yang tenang dan yakin lagi tidak goyah dan bergoncang serta tidak diganggu oleh bisikan jahat, tidak berbolak balik hati dan jiwa padanya., yang terbit daripadanya keinginaan berjihad dengan harta dan nyawa di Jalan Allah."
Projek yang mengurangkan tahap keyakinan
Mungkin antara perkara yang perlu diperkasakan ialah usaha-usaha meningkatkan keyakinan terhadap Allah dan Rasul. Antaranya yang boleh membina keyakinan ialah dengan kebijaksanaan bukan dengan pembodohan, dengan peringatan bukan dengan aktiviti yang melekakan, dan juga dengan hujjah bukan dengan sentimen.
Allah S.W.T berfirman:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(an-Nahl: 125)
Pembinaan kebijaksanaan, peringatan dan hujah perlu diaktifkan, kerana rata-rata hari ini manusia berhadapan dengan projek-projek pembodohan, melalaikan dan membakar sentimen.
Projek pembodohan telah banyak terjadi di zaman dahulu, antaranya pembodohan yang dilakukan oleh Firaun [1]. Projek melalaikan sepertimana yang terjadi zaman Nabi Idris A.S dengan elemen-elemen Hedonisme.
Manakala projek membakar sentimen sepertimana yang terjadi di era kejatuhan Uthmaniah [2]. Projek-projek ini hakikatnya mendorong kepada kurangnya keyakinan terhadap umat Islam yang sudah pun bersyahadah, apatah lagi orang kafir menjadi semakin tidak yakin terhadap Islam disebabkan projek-projek ini.
Syahadah menuntut supaya ummat Islam bersatu (Berjemaah)
Antara yang dituntut oleh syahadah ialah kesatuan. Kesatuan Islam adalah satu kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T yang dipandang sebelah mata.
Mungkin disebabkan ketebalan serangan Sekularism sejak zaman berzaman menyebabkan Umat Islam hanya memandang kewajipan itu dari sudut solat 5 waktu, berpuasa dan sewaktu dengannya.
Seolah-olah tidak perasan bahawa "kesatuan Islam" juga merupakan kewajipan yang perlu di"feqah"kan.
Allah S.W.T berfirman:
وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰنࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
(Ali-Imran: 103)
Ayat ini menunjukkan kewajipan bersatu atas prinsip Islam, dan larangan berpecah belah, iaitu keluar daripada kebenaran. Selain itu, Allah S.W.T menyatakan bahawa kesatuan hati adalah nikmat Allah S.W.T yang diberikan kepada orang-orang beriman. Nikmat kesatuan juga boleh menjadi sebab Allah S.W.T menyelamatkan kita daripada neraka.
Ketika menafsirkan Surah Ali-Imran ayat 103 Imam Ibnu Kathir menyatakan أمرهم بالجماعة ونهاهم عن التفرقة "memerintahkan kepada mereka (orang beriman) supaya berjemaah dan melarang mereka daripada perpecahan".
Ibn Mas'ud, Qatadah dan Mujahid menafsirkan حبل الله sebagai al-Quran manakala Ibn Mubarak menyatakan ia adalah "jemaah" kesatuan Islam.
Ibn Mas'ud menafsirkan ayat ini,
والمعنى كله متقارب متداخل ; فإن الله تعالى يأمر بالألفة وينهى عن الفرقة فإن الفرقة هلكة والجماعة نجاة
"Makna keseluruhannya hampir sama, sesungguhnya Allah S.W.T menyuruh kepada kesatuan dan melarang perpecahan. Perpecahan adalah kemusnahan manakala al Jamaah (kesatuan) itu adalah kejayaan."
Tuntutan mendirikan pemerintahan Islam
Antara yang turut menjadi tuntutan Syahadah ialah mendirikan pemerintahan Islam. Ia juga merupakan salah satu kewajipan yang semakin dipandang sepi oleh Ummat Islam yang membesar dalam persekitaran Sekularism. Persekitaran Sekularism membawa kepada kefahaman Islam yang sempit.
Nabi S.A.W bersabda:
لا يحل لثلاثة يكونون بفلاة من الأرض إلا أمروا أحدهم
"Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu kawasan, sehinggalah mereka melantik salah seorangnya sebagai ketua."
(Musnad Imam Ahmad)
Saidina Abu Bakr R.A berkata;
ألا إن محمدا قد مات، ولا بد لهذا الدين ممن يقوم به.
"Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah pun wafat. Maka, hendaklah ada orang yang berperanan menegakkan agama ini."
Al-Haithami menyatakan di dalam kitab الصواعق المحرقة
اعلم أيضاً أن الصحابة رضوان الله عليهم أجمعوا على أن نصب الإمام بعد انقراض زمن النبوة واجب بل جعلوه أهم الواجبات حيث اشتغلوا به عن دفن الرسول ﷺ.
"Ketahuilah, para Sahabat R.A telah bersepakat bahawa pelantikan kepimpinan selepas tamatnya zaman Kenabian merupakan perkara wajib. Bahkan mereka menjadikannya kewajipan yang paling utama, sekalipun di saat mereka sedang sibuk menguruskan pengebumian Rasulullah S.A.W."
Selain itu, di sana banyak huraian tentang kewajipan melantik kepimpinan Islam, khususnya dibicarakan oleh Imam Mawardi di dalam Ahkam Sultoniah dan Ibn Taimiyyah dengan lebih terperinci. Bahkan ia dibincangkan panjang lebar dan dikenali sebagai ilmu Siyasah Syar'iyyah.
Penentangan bermula selepas pengisytiharan Kenabian
Tuntutan berjemaah dan mendirikan Negara Islam merupakan keutamaan dalam bersyahadah. Apatah lagi Umat Islam hari ini berhadapan dengan krisis penindasan terhadap hak Umat Islam di seluruh dunia.
Apabila kita melihat perjuangan Nabi Muhammad S.A.W, kita akan dapati bahawa sebelum pengisytiharan kenabian di Makkah, sudah ada individu yang mengamalkan ajaran al Hunafa yang anti kepada berhala.
Hal ini diceritakan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di dalam bukunya, Feqh Harakah. Antara pengamal ajaran tersebut ialah Zaid bin Amru bin Nufail, Waraqah bin Naufal dan Umayyah bin Abi Sallat.
Individu-individu ini tidak diambil perhatian oleh pembesar Makkah. Apatah lagi Nabi S.A.W pernah bersolat bersama Saidina Ali dan Saidatina Khadijah di depan Kaabah yang masih dikelilingi berhala ketika itu, tanpa gangguan pembesar Mekah [3]
Ibadat Nabi S.A.W itu tidak mendapat tentang sekalipun apabila ditanya tentang ibadat tersebut, Baginda S.A.W boleh menjawab seperti biasa.
Namun, setelah Nabi S.A.W mengisytiharkan kenabian 3 tahun selepas dakwah secara sirr, Baginda S.A.W terus mendapat tentangan yang sangat dahsyat. Ini kerana pengisytiharan Baginda S.A.W menggugat kedudukan politik para pembesar Makkah.
Sebab itulah kita perlu faham bahawa kesatuan (jemaah) Islam dan matlamat pembinaan negara Islam sentiasa ditentang, berbeza dengan amalan yang bersifat peribadi dan dilakukan berseorangan diri.
Bahkan apa yang dibawa oleh Baginda S.A.W itu mencabar ideologi Musyrikin Makkah yang bersifat materialism serta perundangan mereka yang sedia tersimpang.
Umat Islam yang belum tersedar
Kesimpulannya, sebagai Umat Islam perlu memiliki kefahaman dan bertindak mengikut keutamaan. Realiti yang terjadi, Umat Islam mengalami krisis kesedaran الوعي السياسي menyebabkan mereka mengambil ringan terhadap bentuk - bentuk penjajahan pemikiran dan kurang berwaspada terhadap serangan halus musuh.
Menyebabkan Umat Islam membiarkan sesiapa sahaja untuk menjajah mereka, merampas tanah mereka, menafikan hak mereka dan sebagainya.
Ada juga yang lebih seronok mengumpul kekayaan dan keuntungan dunia, berbanding melibatkan diri dengan usaha mendaulatkan Islam. Mungkin disebabkan penjajahan Sekularism yang lama.
Sekular hari ini tidak melarang orang untuk mendirikan sembahyang, tapi mereka mempromosi sesuatu yang membuatkan Umat Islam hanya tahu berbicara perkara yang membatalkan sembahyang, dan tidak berbicara perkara yang membatalkan aqidah.
Mereka tidak menyekat kebangkitan Islam secara Imperialism, tetapi mereka memperkenalkan Islam baru yang mengikut bentuk acuan mereka.
Mereka membina masyarakat yang bernama sebagai seorang islam, mengamalkan Islam, tetapi tidak menegakkan Islam. Mereka juga mengkaderkan generasi yang namanya Islam, inginkan Islam, tapi bukan dengan syariat Islam.
Justeru Umat Islam perlu ada kesedaran, dan membina ideologi (fikrah) Islam mengikut acuan Islam supaya tidak terjerat dengan menipulasi musuh Islam yang menjerat. Apabila seorang muslim itu ada kesedaran Islam dan membentuk fikrahnya dengan acuan Islam, pasti akan mengikat dirinya dalam jemaah Islam seterusnya mengerahkan staminanya untuk meninggikan Islam.
5 Perkara menjadi pengikat diri dengan prinsip Islam
Sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Al Harith al Asy'ariy, menceritakan Hadis yang panjang daripada Nabi S.A.W, menyatakan bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan kepada Nabi Yahya bin Zakaria dan Nabi Isa A.S untuk mengarahkan Bani Israel melakukan 5 amalan.
Kemudian, Allah S.W.T menyuruh umat Nabi Muhammad S.A.W pula dengan solat, puasa, bersedekah dan berzikir. Lantas Nabi S.A.W bersabda;
وَأَنَا آمُرُكُمْ بِخَمْسٍ اللَّهُ أَمَرَنِي بِهِنَّ: السَّمْعُ، وَالطَّاعَةُ وَالْجِهَادُ، وَالْهِجْرَةُ، وَالْجَمَاعَةُ، فَإِنَّ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ قِيدَ شِبْرٍ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ إِلَّا أَنْ يَرْجِعَ، وَمَنْ دَعَا دَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ فَهُوَ فِي جَهَنَّمَ".
فَقَالَ رَجُلٌ: وَإِنْ صَامَ صَلَّى يَا رَسُولَ اللَّهِ؟!
قَالَ: "وَإِنْ صَامَ صَلَّى، فَادْعُوا بِدَعْوَى اللَّهِ الَّذِي سَمَّاكُمْ الْمُسْلِمِينَ الْمُؤْمِنِينَ عِبَادَ اللَّهِ".
"Dan Aku menyuruh kamu melakukan 5 perkara, sepertimana Allah menyuruhku melaksanakannya;
"Dengar, patuh, berjihad, berhijrah, berjemaah. Sesungguhnya sesiapa yang memisahkan dirinya daripada jemaah, sekalipun dengan kadar sehasta, sesungguhnya dia telah membuka ikatan Islam daripada lehernya, melainkan dia bertaubat. Sesiapa yang menyeru ke arah jahiliyyah, bermaksud dia menyeru ke arah neraka.
"Seseorang bertanya, Wahai Rasulullah, sekalipun mereka itu bersolat dan berpuasa?
"Nabi S.A.W menjawab, Ya sekalipun mereka itu bersolat dan berpuasa. Serulah dengan seruan Allah yang menamakan kamu muslimin mu'minin hamba Allah."
(Riwayat Imam Ahmad)
Justeru, solat, puasa dan sewaktu dengannya belum dapat menjaga ikatan Islam selagimana tidak diperkasakan dengan 5 kewajipan yang disenaraikan di atas.
Ini menunjukkan bahawa kepentingan berjemaah, berjuang, kepatuhan dan berhijrah adalah faktor yang mengikat seseorang muslim kepada prinsip agamanya, demi menjaga jati diri mereka. - HARAKAHDAILY 3/10/2019
Berita & Artikel HARAKAH: https://chat.whatsapp.com/JYUIZKNfo8TGLr8kyDoCNJ
https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/13460-islam-bukan-hanya-wajib-solat-puasa-sahaja
Comments
Post a Comment