Dosa besar ke 54 : Hamba yang Melarikan diri Daripada Tuan dan seumpamanya
Sebelum kelahiran Rasulullah SAW, hamba abdi merupakan perkara yang wajib ada pada setiap bangsawan.
Kadang kala, hamba yang dimiliki oleh seorang tuan boleh membentuk sebuah bandar atau kota.
Menggambarkan betapa ramainya hamba pada ketika itu.
Selepas Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul, hamba masih lagi wujud, terutama dari kalangan tawanan perang.
Namun, Islam memberi galakan untuk membebaskan hamba dengan ganjaran yang sangat besar.
Sehinggakan, jasa ibubapa yang menjadi hamba, terbalas dengan cara seorang anak membebaskan ibubapanya yang menjadi hamba.
Kaffarah kebanyakan dosa adalah dengan membebaskan hamba.
Walau bagaimanapun, apabila seorang hamba dimiliki, ia dimiliki sepenuhnya kecuali jiwanya.
Jiwanya adalah milik Allah.
Oleh kerana hamba ini dimiliki, maka, dia perlu taat kepada tuannya sepenuh hati.
Jika dia melarikan diri, maka, dia telah melakukan dosa yang besar.
Sabda Rasulullah SAW,
"Jika seorang hamba melarikan diri (daripada tuannya), maka solatnya tidak akan diterima."
Sama seperti seorang anak yang derhaka kepada ibubapa.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"Mana - mana hamba yang melarikan diri (daripada tuannya), maka sesungguhnya mereka benar - benar tidak akan mendapat perlindungan (daripada Allah)."
Kedua - dua hadis di atas diriwayatkan oleh Muslim, daripada Jabir bin Abdullah.
Ibnu Khuzaimah juga meriwayatkan dalam Shahihnya, sebuah hadis riwayat Jabir RA,
katanya, Rasulullah SAW bersabda,
"Tiga kategori manusia yang Allah tidak menerima solat mereka dan tidak diangkat kebaikan mereka :
1. Hamba yang lari sehingga dia kembali kepada tuannya,
2. Perempuan yang menyebabkan suaminya marah sehingga suaminya reda, dan
3. Orang yang mabuk sehingga dia kembali sedar. "
Diriwayatkan dalam Al-Mustadrak, karangan Al-Hakim, sebuah Hadis riwayat Ali RA secara marfu',
"Allah melaknat sesiapa sahaja yang menzalimi seseorang selain tuannya."
Sebuah Hadis yang menepati syarat perawi di sisi Al-Bukhari dan Muslim, diriwayatkan dalam Al-Mustadrak daripada Fadhalah bin 'Ubaid secara marfu',
"Tiga orang yang jangan kamu tanya tentang mereka :
1. Lelaki yang berpisah daripada jemaah, derhaka kepada ketuanya, lalu mati sebagai penderhaka,
2. Hamba yang lari (daripada tuannya), lalu mati,
3. Isteri yang berjauhan dengan suami, sedangkan suami telah mencukupkan keperluannya, namun setelah itu dia menghias diri (untuk tatapan lelaki ajnabi). "
Kini, mungkin keadaan ini sukar dilihat, kerana hamba abdi tidak lagi ditemui.
Mungkin ditempat yang kita tidak ketahui ada.
Tetapi, sekiranya ada hamba, maka, hamba ini wajib taat kepada tuannya selagi mana ia berada dalam lingkungan syariat Allah.
Yang paling benar, kita merupakan hamba Allah selamanya.
Sedangkan taat kepada tuan manusia adalah tuntutan.
Apatah lagi tuntutan untuk taat kepada pemilik mutlak diri kita.
Pastinya ia lebih utama.
Taat kepada Allah itu yang paling benar.
Maka, jadilah kita hamba yang benar dijalan Allah.
Kitab Dosa - Dosa Besar, Terjemahan Kitab Al- Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment