Dosa besar ke 46: Meratap dan Menampar Muka.
Sebelum Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul,
Masyarakat arab jahiliyyah, telah menjadikan ratapan sebagai adat dalam kematian atau kecelakaan.
Apabila berlaku suatu kematian, para Isteri, hamba akan meratap pemergian suami dan tuannya.
Meraung, mengoyak baju, mencukur rambut dan sebagainya.
Ia sebagai menunjukkan kesedihan dan tanda berkabung atas kematian tersebut.
Selepas Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul, hukum Islam mula terbina sedikit demi sedikit.
Islam meraikan kesedihan apabila orang yang disayangi mati, namun, kesedihan itu sekadar perlu sahaja, dan diharamkan untuk melampaui batas.
Sehingga menampakkan sisi buruk dan aib pada wanita.
Seolah - olah, balu yang ditinggalkan itu tidak boleh meneruskan hidup dan tinggal sebatang kara.
Maka, ratapan itu adalah bentuk kekufuran di sisi pandang Islam.
Sabda Rasulullah SAW,
"Dua perkara yang merupakan kekufuran pada diri manusia :
1. Mengaibkan keturunan ; dan
2. Meratapi mayat."
Riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah.
Sabda Rasulullah SAW,
Daripada Abu Malik Al-Asy'ari,
"Perempuan yang suka meratap, jika dia tidak bertaubat, dia akan dipakaikan dengan perisai daripada kudis, dan pakaian yang diperbuat daripada cairan tembaga."
Riwayat Muslim. Sahih.
Rasulullah SAW bersabda,
"Bukan dikalangan kami orang yang menampar pipi, mengoyak baju, dan meraung dengan raungan masyarakat Jahiliyyah (berkeadaan seperti mereka)."
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah Ibnu Mas'ud.
Sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya si mati akan diseksa di dalam kubur dengan sebab ratapan (orang hidup ) ke atasnya."
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Umar Al-Khattab.
Menurut pandangan ulama,
si mati dikenakan seksaan di dalam kubur disebabkan dia telah berwasiat kepada ahli keluarga, dan selain mereka supaya kematiannya diratapi, lalu mereka menunaikan wasiat itu.
Kata pengarang kitab,
"Rasulullah SAW juga berlepas diri daripada perempuan yang berteriak menangisi mayat, mencukur rambut, dan mengoyak pakaian ketika ditimpa musibah."
Al - Bukhari dan Muslim sepakat menyatakan kesahihan tiga hadis berkaitan keadaan perempuan ini.
Meratap ini adalah bentuk kemungkaran kerana tidak menerima qada dan qadar Allah dengan sabar.
Sebagai seorang Muslim, menerima musibah dalam keadaan sabar adalah sifat yang paling mendekati taqwa.
Menangis dan meratap tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi hanya maksiat yang disukai oleh syaitan.
Maka, kita perlu jauhi sikap meratap dan menampar muka.
Kematian itu diiringi dengan doa keampunan, bukan raungan ratapan yang berlebihan.
Kitab Dosa - dosa Besar, Terjemahan Al- Kabair, Karangan Imam Az- Zahari, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment