Dosa besar ke 48 : Kezaliman atau Penganiayaan.
Zalim adalah perbuatan yang sangat dibenci Allah SWT.
Sehinggakan, doa orang yang dizalimi, mustajab tanpa hijab sekalipun dia orang kafir.
Sifat zalim ini wujud dalam diri manusia apabila suka menguasai.
Gemar orang takut kepadanya.
Hinggakan apabila orang yang tidak takut kepada dia, dia akan melakukan apa sahaja asalkan dirinya ditakuti.
Zalim ini tidak semestinya kepada manusia, tetapi juga boleh berlaku kepada haiwan, tumbuhan dan alam sekeliling.
Dan kebiasaan zalim ini, timbul dalam diri manusia apabila Syaitan berjaya menguasai hatinya.
Maka, tiada lagi sifat perikemanusiaan dalam diri seseorang yang zalim.
Firman Allah SWT
Ash-Syura ayat 42
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِى الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya dosa di atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan bermaharajalela serta melampaui batas di muka bumi tanpa hak (atau tanpa sebarang alasan yang benar) . Mereka itu mendapat azab seksa yang sangat menyakitkan.
Balasan yang Allah tunjukkan di dalam surah ini menunjukkan beratnya dosa menzalimi.
Sikap zalim ini bukan sifat manusia beriman.
Maka, siapa yang ada sikap zalim, sememangnya dia tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat.
Kerana itu, dia tidak rasa gentar dengan amaran Allah SWT, dengan sebab balasan Allah hanya akan berlaku pada hari akhirat kelak.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersikap rendah diri, sehingga tidak ada seorang pun yang menzalimi orang lain dan berbangga diri ke atas orang lain. "
Riwayat Muslim, daripada 'Iyadh bin Himar.
Dalam sebuah atsar (kata - kata sahabat Rasulullah SAW),
"Jika ada sebuah gunung menzalimi gunung yang lain, maka Allah akan menjadikan gunung yang zalim antara dua gunung itu menjadi rata. "
Riwayat Al-Baihaqi dalam Kitab Syu'ab al-Iman, ucapan Muhammad Bin Ishaq.
Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak ada satu dosa yang layak bagi Allah untuk disegerakan balasan buruk kepada pelakunya di dunia, disamping seksa Allah di akhirat melainkan kejahatan melakukan kezaliman dan memutuskan silaturahim."
Riwayat Al-Tirmizi, daripada Abu Bakrah.
Kata pengarang kitab,
"Sesungguhnya Allah telah menenggelamkan Qarun ke dalam bumi kerana kezaliman dan kesombongannya."
Rasulullah SAW bersabda,
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati, lalu dia masuk ke neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum. Namun dia mengurung kucing itu serta tidak membiarkannya memakan serangga di tanah."
Muttafaqun alaih, daripada Abdullah Ibnu Umar.
Kata Ibnu Umar Ra. Huma,
"Rasulullah SAW melaknat orang yang menjadikan makhluk bernyawa sebagai sasaran (anak panah dan sebagainya)."
Muttafaqun alaih.
Abu Mas'ud berkata,
"Aku pernah memukul hambaku dengan cemeti. Tiba - tiba aku terdengar satu suara di belakang ku,
" Ketahuilah wahai Abu Mas'ud. "
Aku tidak dapat memahami suara itu kerana marah.
Apabila ia mendekati aku, rupa-rupanya ia adalah Rasulullah SAW.
Lalu baginda bersabda,
"Sesungguhnya Allah lebih berkuasa ke atas dirimu berbanding dirimu ke atas hamba ini."
Lantas aku berkata,
"Aku tidak akan memukul hambaku selepas ini."
Dalam lafaz yang lain :
Tiba - tiba, cemeti itu terlepas daripda tanganku kerana rasa gerun kepada Baginda.
Dalam riwayat lain :
Aku berkata,
"Wahai Rasulullah, dia kubebaskan demi reda Allah."
Maka baginda bersabda,
"Ketahuilah bahawa jika kamu tidak membebaskannya, nescaya neraka akan membakarmu."
Riwayat Muslim.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa yang memukul hambanya tanpa sebab (bukan dengan sebab suatu kesalahan) atau menamparnya, maka kafarahnya ialah membebaskannya."
Riwayat Muslim, daripada Ibnu Umar.
Sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya Allah akan menyeksa orang yang menyeksa orang lain di dunia."
Riwayat Muslim, darpada Hisyam bin Hakim bin Hizam.
Suatu hari, Rasulullah SAW melintasi seekor keldai yang telah ditanda di muka, lalu baginda bersabda,
"Allah melaknat orang yang menandanya (di muka)."
Riwayat Muslim, daripada Jabir.
Sanad hadis ini sahih.
Rasulullah SAW bersabda lagi,
"Sesiapa yang membunuh seorang yang dijamin keselamatannya (kafir zimmi) tanpa hak, dia tidak akan mencium haruman syurga, padahal baunya boleh dihidu dari jarak perjalanan 500 tahun."
Riwayat Al-Hakim, daripada Abu Bakrah)
Hadis ini menepati syarat perawi di sisi Muslim.
Pelbagai azab dan laknat menanti orang yang bersifat zalim.
Maka, kita harus bermuhasabah diri kita, adakah kita pernah menzalimi.
Terutama kepada ahli keluarga kita sendiri. Suami, isteri, anak2, adik beradik, jiran tetangga dan lain-lain.
Sekiranya pernah, segeralah memohon ampun dari yang dizalimi.
Bertaubat kepada Allah.
Perbanyakkanlah doa dan istighfar.
Semoga kita jauh dari dosa menzalimi orang lain.
Kitab Dosa - Dosa Besar, Terjemahan Kitab Al- Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment