Dosa besar ke 50 : Menyakiti dan Mencela Kaum Muslimin.


Sejak berlakunya kesyirikan di muka bumi Allah ini, orang yang kafir tidak senang dengan orang Islam.
 
Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menolak Islam, asalkan mereka merasa gembira.
 
Mengapa orang kafir sangat benci kepada orang Islam?

Kerana satu perkara iaitu kerana orang Islam mengajak untuk taat kepada Allah.

Jika terdapat orang yang mengaku Islam, tetapi sekadar agama sahaja, tetapi engkar kepada Allah.

Golongan ini tidak dibenci oleh orang kafir, malah menjadi sahabat karib.

Mereka di dalam satu fikrah yang sama iaitu haluan pemikiran yang sama.

Berbeza dengan Mukmin yang sangat taat kepada Allah, mengajak kepada mentaati Allah dan melarang dari perkara yang dilarang (dakwah) adalah suatu perkara yang sangat dibenci.

Segelintir mereka merasakan Islam ini sombong kerana merasakan agama Islam sahaja yang benar.

Sedangkan mereka sedikitpun tidak mencari kebenaran.

Hanya mengikut apa yang mereka gemari sahaja.

Oleh itu, sikap menyakiti dan mencela umat Islam ini telah menjadi kebiasaan mereka.

Allah SWT berfirman

Al-Ahzab ayat 58

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنٰتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
 
Bagi orang yang trlah beriman kepada Allah, jangan rasa sedih atau kecewa jika dicela atau di maki atau di hina, kerana Allah mengetahui perangai mereka.

Ketahuilah, bahawa, mereka itu sedang berdusta.

Kita berada dijalan kebenaran.

Walaupun mereka kafir, namun, mereka tidak terlepas daripada hukuman Allah.

Mereka turut ditegur oleh Allah melalui firmanNya

Al-Humazah ayat 1

وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,
 
Allah yang bersifat Ar Rahman dan Ar Rahim juga menggunakan celaan kepada orang yang berperangai teruk ini.

Menunjukkan betapa buruknya perangai ini.

Sabda Rasulullah SAW,

"Seburuk - buruk kedudukan di sisi Allah ialah seseorang yang dijauhi manusia lain kerana ditakuti kejahatannya."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Sesungguhnya Allah murka terhadap orang yang buruk perangai lagi busuk lidah."

Riwayat Al-Tirmizi, daripada Abu Darda'.

Selain itu, dosa mencela dan menyakiti orang Islam ini turut berlaku di kalangan orang Islam sendiri.

Sedangkan, mereka saling bersaudara.

Maka, sikap buruk ini menjadi teguran Allah kepada orang Islam.

Al-Hujurat ayat 12

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mencela satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
  
Sabda Rasulullah SAW,

"Wahai sekalian hamba Allah, sesungguhnya Allah menggugurkan dosa, kecuali daripada orang yang mencabul kehormatan saudaranya (dengan cara umpatan dan sebagainya.) itulah orang yang berdosa dan binasa."

Riwayat Al-Hakim, daripada Usamah bin Syarik.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Haram bagi setiap Muslim ke atas Muslim yang lain pada :

1. Kehormatan.

2. Darah.

3. Harta.

Taqwa berada di sisi (baginda menunjukkan dada sebanyak tiga kali). Cukuplah seseorang itu dikira melakukan kejahatan apabila menghina saudara Muslimnya yang lain.

Riwayat Al-Tirmizi dan beliau menghukum hadis ini sebagai hasan.

Sabda Rasulullah SAW,

"Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi, mengabaikannya (ketika diperlukan), dan menghinanya. Cukuplah seseorang itu dikira melakukan kejahatan apabila dia menghina saudara Muslimnya yang lain."

Riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah.

Hari ini, masyarakat yang terbuka dari sudut komunikasi, menggunakan medium ini sebagai tempat meluah perasaan.

Lebih - lebih lagi pada ruang media sosial.

Acap kali dilihat rekaan cerita yang tidak benar, ataupun sikap tuduh menuduh menjadi budaya di media sosial.

Bagi orang yang suka melakukan tuduhan buruk, Allah berfirman.

An-Nur ayat 19

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفٰحِشَةُ فِى الَّذِينَ ءَامَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى الدُّنْيَا وَالْءَاخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.
 
Sabda Rasulullah SAW,

"Mencela seorang Muslim ialah perbuatan fasiq dan membunuhnya adalah kufur."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas'ud.

Sikap menyakiti dan mencela ini juga melibatkan jiran tetangga.

Sebaiknya, kita cermin diri kita dan sentiasa bermuhasabah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Tidak masuk Syurga orang yang membuat jirannya berasa tidak aman daripada kejahatannya."

Riwayat Muslim dengan lafaznya daripada Abu Hurairah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Demi Allah! Dia tidak beriman, Demi Allah! Dia tidak beriman, Demi Allah! Dia tidak beriman"

Ditanya kepada Rasulullah SAW,

"Siapakah orang - orang itu Ya Rasulullah?"

Rasulullah SAW bersabda,

"Orang yang membuatkan jirannya berasa tidak aman daripada kejahatannya."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Syuraih.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka, janganlah dia menyakiti jirannya."

Muttafaqun alaih daripada Abu Hurairah.

Diriwayatkan daripada Abu Zar Ra, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda,

"Sesiapa yang memanggil seseorang itu kafir atau berkata 'Wahai musuh Allah', namun orang itu bukan seperti yang dipanggil, dosa ucapan itu akan kembali kepada si pemanggil."

Muttafaqun alaih.

Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya antara dosa besar ialah, seseorang memaki kedua ibubapanya."

Para sahabat bertanya,

"Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang boleh memaki kedua orang tuanya?"

Baginda menjawab,

"Ya, dia memaki bapa orang lain, lalu dia dikira memaki bapanya sendiri, dia memaki ibu orang lain, lalu dia dikira memaki ibunya sendiri."

Muttafaqun alaih, daripada Abdullah bin 'Amru.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Tidaklah seseorang itu menuduh orang lain dengan tuduhan fasiq atau mencelanya sebagai kufur, melainkan doaa tuduhan tersebut kembali kepadanya, jika si tertuduh tidak seperti yang di dakwa."

Riwayat Al-Bukhari, daripada Abu Zar.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Janganlah kamu mencela orang yang telah mati, kerana mereka telah mendapat (ganjaran atau balasan buruk), sesuai dengan apa yang mereka kerjakan."

Riwayat Al-Bukhari, daripada Aisyah.

Pengajaran yang penting disini adalah menjaga lidah dan perangai kita daripada menyakiti orang lain.

Secara fitrahnya, kita tidak suka dihina, dicela atau dituduh.

Maka, janganlah kita pula menjadi penghina, pencela dan penuduh.

Berdoalah kepada Allah, agar kita menjadi insan bertaqwa.

Kitab Dosa - Dosa Besar, Terjemahan Kitab Al- Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru. 

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?