Dosa Besar ke 59 : Orang Yang Mengajak Kepada Kesesatan Atau Pemula Perbuatan Yang Buruk

Allah SWT telah menciptakan makhluk di atas muka bumi ini dengan pelbagai tujuan.

Setiap satunya ada manfaat dan tidak dicipta dengan suatu yang sia - sia.


Terdapat makhluk yang diberi pilihan untuk mengikut kehendak sendiri dan terdapat juga makhluk yang tidak diberi pilihan ini.

Contoh makhluk yang tidak diberi pilihan oleh Allah SWT :

1. Haiwan 

2. Tumbuhan

3. Malaikat 

Maka, makhluk ini hanya menjalankan tugas mereka sebagai mana yang telah diperintah oleh Allah SWT sejak awal penciptaan mereka.

Mereka tidak akan sekalipun melanggar perintah Allah SWT.

Contoh makhluk yang diberi kehendak oleh Allah SWT :

1. Manusia

2. Jin.

Maka, daripada 2 golongan makhluk ini, akan ada kumpulan yang taat kepada perintah Allah dan sebaliknya.

Beruntunglah golongan yang taat kepada Allah, mereka akan diberi ganjaran berdasarkan apa yang telah mereka lakukan.

Manakala golongan yang tidak taat pula akan menjadi penghuni Neraka sebagai balasan atas ketidak-taatan mereka kepada Allah.

Daripada kumpulan yang engkar kepada Allah, akan ada kelompok atau individu yang mengajak orang lain supaya bersama dengan mereka.

Bersama ke arah kesesatan dan perbuatan yang buruk.

Sesiapa yang menjadi pemula kepada perbuatan buruk, atau mengajak kepada kesesatan, maka, dia termasuk di dalam golongan yang berdosa besar.

Lebih malang lagi, mereka seolah - olah mengajak kepada kebaikan, hakikatnya mereka tersesat daripada jalan Allah.

mereka ini adalah pelaku perbuatan bidaah.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesiapa yang mengajak ke arah kesesatan, nescaya dia  akan mendapat dosa sama seperti dosa mereka yang mengikutinya tanpa dikurangi walau sedikit daripada dosa mereka itu."

Riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah.

Contoh :

Seorang penceramah mengajak pendengarnya untuk tidak makan ubat daripada hospital.

 Kerana berpandangan ia adalah agenda Yahudi.

Sedangkan kebenarannya bukan begitu dan hakikatnya ia cuma sangkaan dan teori semata - mata.

Dan sekiranya ia mendatangkan mudarat kepada orang lain, maka, penceramah ini akan menerima dosa kesan menyebarkan kedustaan ini.

Dan kemudian, ia disebarkan dalam media sosial dan ramai yang berkongsi.

Semakin besar mudarat yang datang.

Setiap orang yang menyebar berita palsu ini mendapat dosa.

Dan dosa ini berganda tanpa dikurangi walau sedikitpun dosa itu dari orang yang mula bercakap dan menyebar.

Semakin besar mudarat, semakin besar lah dosa.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Sesiapa yang memulakan sesuatu perbuatan buruk, maka dia akan mendapat dosa perbuatan tersebut dan dosa orang lain yang melakukannya selepas itu, tanpa dikurangi dosa mereka walau sedikit."

Riwayat Muslim, daripada Jarir.

Ini dikenali sebagai saham dosa. Sangat besar akibatnya.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Setiap bidaah adalah sesat."

Dalam suatu lafaz yang lain,

"Setiap yang sesat itu tempatnya di Neraka."

Riwayat An-Nasa'i, daripada Jabir bin Abdullah

Maka, berhati-hati dalam kita berkongsi pandangan atau ilmu.

Pastikan ia mendatangkan faedah dan kebenaran.

Jangan ia membawa mudarat atau perkara sia - sia.

Jika tidak, hidup kita di dunia ini, akan mendapat dosa berterusan.

Jangan kita melabur untuk dosa yang berpanjangan.

Berfikir lah dahulu sebelum berkongsi kepada orang lain.

Dikhuatiri, kita membuka saham dosa dalam keadaan yang tidak sedar.

Lebih menyedihkan apabila kita banyak beramal di dunia, tetapi ketika hari perhitungan, amalan kita menjadi kosong.

Kita muflis dalam tidak sedar.

Lagi mengecewakan, apabila kelayakan kita untuk ke syurga ditarik kerana sedikit dosa menyebarkan perkara yang menyesatkan orang lain serta memulakan suatu kejahatan, lalu diikuti oleh orang lain.

Kita berdoa agar kita selamat dari dosa yang tidak terkawal ini.

Kitab Dosa - Dosa Besar, Terjemahan Kitab Al- Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru. 

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?