Dosa besar ke 45 : Orang yang suka mengadu domba.


Menurut kamus dewan, mengadu domba bermaksud perbuatan memecah belahkan hubungan individu dengan individu lain.

Atau satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.

Kerana sikap adu domba, masyarakat boleh menjadi berpuak - puak serta bermusuh.

Sikap ini merupakan sikap syaitan yang menjauhkan hubungan sesama manusia.

Sedangkan Allah memerintahkan kita supaya berkenal - kenal dan berkasih sayang sesama manusia.

Walaupun berlainan bangsa.

Firman Allah SWT

Al-Hujurat ayat 13

يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَأُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقٰىكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
 
Mengadu domba disebut sebagai Namimah (النميمة) di dalam bahasa Arab.

Sikap ini dilarang oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT.

Al-Qalam ayat 10

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ

Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,
 
Ketika turun ayat ini, 

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Mujahid yang berkata, 

"Ketika turun ayat, 'Dan janganlah engkau patuhi setiap orang yang suka bersumpah dan suka menghina, suka mencela, yang ke sana dan ke sini menyebarkan fitnah,'

(Mujahid adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hafaz Al-Quran dan Hadis.)
Bukan Mujahid Menteri Agama..

Sifat suka bersumpah tanpa sebarang sebab adalah tercela, kerana sumpah bukan perkara mainan. Tetapi serius.

Kerana itu sikap ini dicela

Allah SWT menyambung firmanNya lagi.

Al-Qalam ayat 11

هَمَّازٍ مَّشَّآءٍۢ بِنَمِيمٍ

yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah,
  
Sikap suka bersumpah, disambung dengan sifat suka mencela orang dan kemudian melakukan Namim (نميم).

Iaitu melagakan orang dengan cara fitnah.

Bermaksud, berita palsu. Berita yang direka - reka.

Sekiranya ada kenalan kita dari ahli keluarga, sahabat, rakan, jiran memiliki sikap ini.

Maka, nasihatilah dia, atau jauhilah dia.

Jika tidak, kita akan terpalit dosa ini sekali bersama kita.

Rasulullah SAW bersabda,

"Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba."

Muttafaqun alaih, daripada Huzaifah.

Dikisahkan bahawa Rasulullah SAW pernah melalui dua kubur, lalu baginda bersabda.,

"Sesungguhnya mereka berdua sedang diseksa namun mereka diseksa bukan kerana perbuatan yang besar :

Salah seorangnya suka mengadu domba,

Manakala yang seorang lagi tidak berselindung ketika kencing."

Muttafaqun alaih, daripada Ibnu Abbas.

Kata guru saya,

"Bukan kerana perbuatan besar itu bermaksud, perkara yang mudah dielak. Tetapi dilakukan juga."

Saya menambah, 

Perlakuan itu pula dilakukan berulang kali walaupun kecil.

Sabda Rasulullah SAW,

"Kamu akan dapati antara sejahat - jahat manusia ialah yang bermuka dua. Dialah orang yang mendatangi kumpulan manusia dengan suatu wajah, dan mendatangi kumpulan lain dengan suatu wajah yang lain pula."

Dalam lafaz yang lain, pada awal hadis

"Kamu mendapati sejahat - jahat manusia itu ialah yang bermuka dua."

Muttafaqun alaih, daripada Abu Hurairah.

Dalam bahasa kita, talam dua muka.

Depan lain, belakang lain.

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda,

" Jangan ada seorang pun yang menyampaikan sesuatu (yang tidak elok) tentang sahabatku, kerana aku suka keluar untuk bertemu mereka dalam keadaan berlapang dada."

Riwayat Abu Daud dan selainnya, daripada Abdullah Ibnu Mas'ud.

Sahabat sejati, akan rasa tidak senang dengan fitnah, kerana ia merosakkan hubungan.

 Diriwayatkan daripada Ka'b, beliau berkata,

"Peliharalah diri kamu daripada perbuatan mengadu domba, kerana pelakunya tidak akan berehat daripada azab kubur."

Mansur meriwayatkan daripada Mujahid tentang ayat,

"... (dan Isteri Abu Lahab) ialah pembawa kayu api."

Surah Al Masad ayat 4,

"Dia suka mengadu domba"

Maka, seharusnya kita bermuhasabah diri kita, agar kita tidak tergolong di dalam orang yang mengadu domba.

Bercakap bila perlu, diam jika tidak tahu.

Usah kita menjadi pemfitnah, yang bakal muflis dihadapan Allah SWT..

Ya Allah, jauhi kami dari sifat Namimah... 

Kitab Dosa - dosa besar, Terjemahan Al- Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.

Comments

Popular posts from this blog

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

5 Syarat Hadis Sahih