Dosa Besar ke 27 : Suami yang membiarkan Isterinya berzina dan terlalu bersangka baik terhadap isterinya.
Suami adalah ketua keluarga.
Pemimpin di dalam keluarga.
Yang perlu menjaga agama, harta, maruah dan lain - lain.
Seorang suami perlu memiliki sifat cemburu terhadap isterinya bahkan kepada anak perempuannya.
Cemburu itu menandakan sayangnya suami kepada Isteri dan anak - anak perempuannya.
Lantas, menjaga dan memelihara mereka daripada dosa.
Seorang suami seharusnya bersifat mendidik, kerana isteri dan anak memerlukan didikan daripada suami.
Maka, suami yang baik, mampu memberikan rasa selamat kepada ahli keluarga dari setiap sudut merangkumi
Keselamatan agama,
Keselamatan nyawa,
Keselamatan harta, dan
Keselamatan maruah,
Sekiranya suami tidak mampu menjaga keluarganya, maka, dia digelar sebagai Ad-Dayus.
Tidak layak dia menjadi ketua keluarga, kerana gagal menjaga ahli keluarga.
Firman Allah SWT
At-Tahrim ayat 6
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوٓا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
Ini merupakan perintah Allah terhadap ketua keluarga.
Ketua yang gagal, akan menjadi ahli neraka kerana engkar kepada Allah.
Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.
Begitu juga sebaliknya.
Firman Allah SWT
An-Nur ayat 3
الزَّانِى لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.
Ayat ini menceritakan tentang tingginya maruah diri di dalam Islam.
Sehinggakan, pasangan kita adalah berdasarkan sifat diri kita.
Oleh itu, jika ingin pasangan yang baik, maka, perbaikilah diri kita.
Perbaikilah amal kita.
Perbaikilah hubungan kita dengan Allah.
Suami akan mengenali isterinya secara dekat, dan Isteri akan mengenali suaminya secara dekat.
Dan pastinya, pasangan mengetahui sifat masing - masing.
Jika mereka ada yang memiliki perangai zina, pasti pasangan akan mengesan sifat itu.
Bagi suami, jika isteri menjadi seorang penzina, maka dia Wajib melarang dan jika dia engkar, maka ceraikan lah isteri tersebut.
Jangan kerana sayang dan terlalu bersangka baik, maka suami mendiamkan diri.
Sekiranya dia tidak bertindak, maka, dia adalah suami yang dayus.
Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Bilal, daripada Abdullah bin Yasar Al-A'raj, Salim bin Abdullah menceritakan kepada kami, daripada bapanya,
daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda :
"Tiga golongan yang tidak masuk syurga :
1. Orang yang derhaka kepada ibu bapa,
2. suami yang dayus,
3. Perempuan yang menyerupai lelaki."
Riwayat Al-Hakim.
Sanad hadis ini Sahih
Kata pengarang kitab,
"Oleh itu, mana - mana suami yang mengesyaki dengan kuat bahawa isterinya berzina tetapi membiarkannya kerana sayang,
Atau dia mempunyai hutang atau mahar yang tinggi dengan Isteri serta tidak mampu membayar.
Atau dia memiliki anak kecil yang isterinya mungkin meminta hak penjagaan.
Maka, tiada kebaikan langsung di sisi orang yang tidak mempunyai sifat cemburu."
Sebagai suami, para lelaki pasti tahu apa yang perlu dilakukan, sekiranya tiada tindakan,
Maka, suami itu adalah dayus.
Dayus juga bermaksud :
1. Membiarkan isteri dan anak perempuan membuka aurat.
2. Membiarkan isteri dan anak perempuan berpakaian ketat.
3. Membiarkan isteri dan anak perempuan mengumpat.
4. Membiarkan isteri dan anak perempuan tidak menjaga maruah seperti keluar malam.
5. Membiarkan isteri dan anak perempuan melakukan dosa tanpa teguran.
6. Membiarkan isteri dan anak perempuan tanpa didikan agama.
7. Membiarkan isteri dan anak perempuan tanpa menanamkan sifat taqwa kepada Allah iaitu melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan Allah.
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah...
Kitab dosa-dosa besar, terjemahan kitab Al-Kabair, karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment