Dosa besar ke 31 : Tidak memastikan kebersihan ketika Kencing dan ia adalah sifat orang Nasrani.
Kebersihan merupakan perkara paling penting di dalam kehidupan seorang Muslim.
Kerana, kebersihan merupakan sebahagian daripada Iman.
Bermakna, tidak sempurna iman seseorang yang bersolat, bersedekah, berbuat kebajikan tetapi tidak menjaga kebersihan.
Dalam syarat sah sembahyang, pakaian, tempat dan badan perlu bersih daripada najis.
Perkara ini dipastikan sebelum melaksanakan sembahyang.
Agar sembahyang kita diterima Allah SWT.
Secara fitrahnya, manusia itu sangat suka kepada kebersihan,benci kepada kekotoran.
Allah SWT itu suka kepada kebersihan.
Maka, apabila seorang Muslim itu kotor dan tidak menjaga kebersihan, ia telah melanggar perintah Allah.
Justeru, dia telah melakukan dosa yang besar kerana Ingkar.
Allah memerintahkan kita menjaga kebersihan melalui firmanNya..
Al-Muddassir ayat 4
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
"dan pakaianmu bersihkanlah"
Perkataan فطهر pada kalimah kedua dimulakan dengan huruf fa (ف).
Huruf ini adalah tanda perintah.
Dan kalimah ini adalah kalimah dari fiil amar (فعل امر). Iaitu kata perintah.
Apabila diperintah, maka, ia perlu ditaati.
Mengabaikannya, menjadi dosa kepada Muslim.
Kencing merupakan najis dalam bentuk cecair.
Ia mudah terkena kepada badan.
Kita perlu menjaga keadaan ketika kencing agar tidak terkena pada badan dan pakaian.
Jika tidak peduli tentang hal kebersihan kencing, maka, ada azab yang sedang menanti.
Ketika melalui sebuah kubur, Rasulullah SAW berhenti. Kemudian Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya mereka berdua sedang diseksa namun mereka bukan diseksa kerana perbuatan yang besar : Salah seorang daripadanya tidak memastikan kebersihan ketika kencing, manakala seorang lagi suka mengadu domba."
Muttafaqun 'alaih daripada Ibnu Abbas.
Kata pengarang kitab,
"Riwayat Hadis di atas terdapat banyak di dalam kitab Sahihain ( Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim) iaitu dengan lafaz :
"Dia tidak menutup dirinya ketika kencing."
Sabda Rasulullah SAW lagi,
Diriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda,
"Bersihkanlah dirimu daripada kencing, kerana sesungguhnya azab kubur berpunca daripadanya."
Riwayat Al-Daraqutni.
Kata pengarang kitab,
"Sesiapa yang tidak menjaga badan dan pakaiannya daripada air kencing, maka, solatnya tidak diterima."
Dalam Hadis yang disebut di atas, keadaan orang yang kencing ada beberapa keadaan iaitu :
1. Kencing berdiri dan najis terkena kepada badan.
2. Kencing di tempat orang lalu lalang. Tiada pelindung. Biasa berlaku di kampung, kencing tepi hutan, semak. Atau orang dalam perjalanan, kencing tepi jalan. Atau di lorong - lorong.
3. Kencing yang tidak dibersihkan dengan betul.
Kebiasaannya terjadi kepada lelaki. Jika perempuan, penjagaan kebersihan selepas kencing perlu diambil perhatian.
Kadang kala, kencing masih mengalir selepas istinjak.
Selain itu, Hadis menyatakan tentang seksaan bukan disebabkan perbuatan besar.
Menjaga kebersihan kencing memang tidak besar.
Tetapi, apabila menjadi kebiasaan, ia akan dilakukan berulang kali.
Perbuatan yang kecil, apabila dibuat berulang kali, akan menjadi besar.
Maka, sebab itu ia menjadi perkara yang termasuk di dalam dosa besar.
Kerana perbuatan yang berulang - ulang.
Kitab Dosa - dosa besar, Terjemahan kitab Al-Kabair, Karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment