Dosa Besar ke 14 : Minum Arak walaupun tidak memabukkan.

Mutakhir ini, kita dikejutkan dengan sifat manusia yang semakin inginkan kebebasan dalam agama.

Golongan Liberalisme yang menjadikan akal fikiran sebagai panduan telah mencuba pelbagai cara untuk memesongkan seorang muslim dalam beragama.

Bagi yang kurang pengetahuan agama, pastinya akan terpedaya dan percaya dengan cara pemikiran golongan ini kerana merasakan benar.

Dalam hal Khamr (الخمر) atau kita kenali sebagai arak, terdapat larangan yang tertentu.

Larangan ini adalah bersifat haram secara mutlak. Hanya berkecuali apabila terdapat kesempitan yang menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa.

Khamr ini merupakan segala benda  atau perkara yang memabukkan seperti arak, dadah, pil khayal, ketum, syabu, ice dan sebagainya.

Khamr ini terbahagi kepada dua dan larangan haram adalah terpakai kepada kedua - dua jenis.
1. Khamr Li Zati

الخمر لذاته
 
Bermakna arak pada saripati iaitu arak yang jelas pada fizikal luar dan dalam. Di lihat sahaja telah kenal sebagai arak.

Contoh, lihat jenama Tiger, Carlsberg, Henniken, kita kenal ia sememangnya arak.

2. Khamr Li Ghairih

خمر لغيره
 
Bermaksud arak para selainnya. Iaitu perkara yang tidak nampak seperti arak, tetapi pembuatan, atau asal pengeluarnya adalah daripada pembuat arak.

Walaupun tiada Alkohol yang terlibat di dalam pembuatan tersebut, tetapi hasil minuman minuman itu adalah bertujuan untuk menjadikan sebagai arak atau berkaitan arak.

Ia masih lagi arak.

Contohnya membuat minuman tanpa Alkohol tapi dihasilkan sebagai arak, nama lain dari kebiasaan, tetapi pengeluar dan pembuatnya adalah dari pembuat arak.

Begitu juga coklat yang dicampurkan wain, ia adalah coklat tetapi campur arak dengan tujuan untuk merasai arak tersebut.

Dan hukum memakan atau meminumnya adalah sama seperti arak. Ia adalah haram yang mutlak

Allah berfirman tentang arak

Al-Baqarah ayat 219

يَسْئَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِنْ نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْئَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْءَايٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir,

Allah memberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa arak itu adalah dosa besar dan ada manfaat.

Manfaat itu seperti rasa seronok dan bertenaga. Terdapat kajian bahawa arak yang sedikit mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, namun tiada pembuktian secara tepat.

Namun begitu, manfaat nya sangat sedikit berbanding kerosakan yang lebih teruk.

Contoh, kerana rasa nikmat gembira pada diri, peminum arak menjadi ketagih yang menghabiskan harta ke arah arak, kemudian berakhlak buruk dengan memaki hamun orang, mencela, juga boleh mengundang maut kerana membunuh tanpa disedari, memandu dalam keadaan mabuk akan menyebabkan bahaya.

Banyak lagi mudarat yang boleh berlaku. Termasuk kesihatan yang menyebabkan penyakit hati, usus, bahkan boleh menjadi penyebab psykosis (penyakit mental).

Jelas juga pada ayat di atas, arak adalah dosa besar yang harus kita tinggalkan dan jauhi.

Allah berfirman lagi

Al-Ma'idah ayat 90

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطٰنِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

Minum arak adalah perbuatan syaitan.

Orang Islam bermusuh dengan syaitan. Amat rugi orang yang mengaku beriman kepada Allah, tetapi melakukan perbuatan syaitan.

Perbuatan ini menjauhkan kita daripada Allah. Ibadah kita juga tidak diterima.

Allah sambung pada ayat berikutnya

Al-Ma'idah ayat 91

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطٰنُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدٰوَةَ وَالْبَغْضَآءَ فِى الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلٰوةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُّنْتَهُونَ

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).

Jelas Allah terangkan, perbuatan syaitan ini adalah bertujuan menimbulkan permusuhan dan kebencian.

Kerana apa?

Kerana orang yang mabuk ini banyak menyusahkan orang.

Isteri akan bermusuh dan benci kepada suami kerana arak akan menyebabkan suami melakukan perbuatan jahat.

Anak-anak akan bermusuh dengan ayah atau ibu yang menagih arak.

Lihat sahaja isu semasa disekeliling kita.

Bagaimana penagih arak seperti minum arak, penghisap dadah, tidak mendatangkan manfaat kepada keluarga atau masyarakat, mahupun keluarga, bahkan, mereka membazirkan sumber yang sedia ada.

Hujung ayat ini, Allah SWT berfirman, bahawa orang yang minum arak ini tidak akan ingat Allah dan meninggalkan solat.

Penagih arak ini tidak akan menyembah Allah. Mereka lupa pada Allah.

Layak ke kita hidup di dunia? Apatah lagi di syurga andai kita lupa dan tidak menyembah Allah?

Seperti kita tidak mengaku bahawa Allah itu tuhan kita.

Kerana itu, ia termasuk dalam dosa besar dan ibadah kita tidak diterima selama 40 hari.

Kerana, Allah MURKA kepada kita

Kata pengarang kitab iaitu Imam Az Zahabi,

Sabit satu riwayat daripada Ibnu Abbas RA, katanya,

"Ketika diturunkan perintah pengharaman arak, para sahabat menemui antara satu sama lain dan berkata" arak telah diharamkan, dan dosanya sama seperti syirik. "

Kata pengarang kitab lagi,

" Abdullah bin Umar berpandangan bahawa arak adalah sebesar-besar dosa besar. Tidak syak lagi, ia adalah ibu segala dosa, dan peminumnya dilaknat di dalam banyak hadis."

Rasulullah SAW bersabda

"Sesiapa yang minum arak, maka sebatlah dia. Sekiranya dia mengulangi, sebatlah dia. Jika dia masih minum lagi, sebatlah dia. Lalu jika dia masih minum juga buat kali keempat, bunuhlah dia."

Riwayat Imam Ahmad, daripada Muawiyah.

Status Hadis Sahih

Sabda Rasulullah SAW lagi,

"Sesiapa meninggalkan solat sebanyak sekali disebabkan mabuk, maka seolah - olah dia diberikan seluruh yang ada di dunia ini, lalu dirampas daripadanya. Sesiapa yang meninggalkan solat sebanyak empat kali disebabkan mabuk, maka Allah berhak memberinya minum 

طينة الخبال.
Baginda ditanya,

"Wahai Rasulullah, apakah
طينة الخبال؟"
Baginda menjawab,

"Ia ialah lelehan cecair (darah dan nanah) para ahli neraka."

Riwayat Imam Ahmad

Sanad Hadis ini sahih.

Diriwayatkan juga daripada Jabir seperti hadis di atas dengan sedikit lafaz yang berbeza.
Sabda Rasulullah SAW,

Sesungguhnya Allah mempunyai janji bagi sesiapa yang minum sesutau yang memabukkan, Dia memberinya minum طينة الخبال.

Baginda ditanya,
"Wahai Rasulullah, apakah 

طينة الخبال؟"

Baginda menjawab
,
"Ia ialah lelehan cecair (darah dan nanah) para ahli neraka."

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesiapa yang minum arak di dunia, maka haram baginya arak akhirat"

Mutafaqun alaih, daripada Abdullah Ibnu Umar.

Hadis ini bermaksud Haram syurga bagi peminum arak di dunia. Kerana arak adalah minuman ahli syurga di akhirat.

Diriwayatkan juga daripada Rasulullah SAW,

"Penagih arak, jika dia mati, dia akan bertemu Allah seolah - olah sebagai seorang penyembah berhala. "

Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Ibnu Abbas.

Peminum arak adalah sama level, sama taraf dengan pemnyembah berhala.

Iaitu syirik kepada Allah kerana dalam ayat Al - Quran awal tadi menyatakan bahawa peminum arak tidak akan ingat Allah, dan meninggalkan solat.

Mereka tidak menyembah Allah.

Tetapi menyembah arak.

Maka, dia telah syirik kepada Allah.

Apakah ada balasan yang layak selain neraka Allah SWT dengan azab yang pedih?

الله اعلم.

Kitab terjemahan Dosa-dosa besar, karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.

Comments

Popular posts from this blog

Tadabbur Surah Ad -Dhuha

Dosa Besar ke 11 : Lari dari medan perang.

Vitagen, Solivite Atau Susu Kultur Mengaktifkan Sel Kanser?