Suami vs Isteri
📕Bergaduh.
Pergaduhan dalam rumah tangga sebenarnya satu proses. Ia perlu dilalui untuk pembinaan sebuah hubungan yang lebih stabil, telus dan saling menyayangi. Bagaimana seharus kita menjalani proses itu?
Berikut adalah panduannya:
1. Jangan biarkan kemarahan mendominasi. Jika terlalu marah, ubah posisi fizikal, diam atau terus pergi. Suami yang elok keluar rumah, bukan isteri. Ambil tempoh bertenang.
2. Suami perlu 'lari' ke masjid. Iktikaf dan bermuhasabah di situ. Cari dosa kita dengan Allah. Istighfar dan taubat. Jika ada salah isteri, cari kenapa dan mengapa mereka melakukannya. Ini akan meredakan sedikit kemarahan suami.
3. Isteri yang ditinggalkan, perlu berfikir dan menginsafi diri...mengapa perselisihan itu berlaku? Apakah kerana salah, silap atau hanya perbezaan pandangan. Tidak salah memohon maaf, ketika bersalah. Itu satu keperluan. Dan tidak salah memohon maaf ketika tidak bersalah, itu satu kemuliaan.
4. Sekali-kali jangan bertindak ketika krisis sedang bergolak. Lebih-lebih lagi ketika sedang marah.Tekan butang 'pause', walaupun anda yakin dalam kebenaran. Kerana dalam perkahwinan bukan soal siapa benar, siapa menang, tetapi bagaimana menyelamatkan perkahwinan.
5. Insafi, apa yang berlaku atas izin Allah. Takdir daripada Allah itu pasti ada tujuan.
Carilah tujuan itu. Pasti ada pengajaran dan hikmahnya. Insya-Allah secara tidak sedar, fasa emosional akan beralih kepada rasional, dan dengan istighfar, selawat dan taubat.
Ingat, pergaduhan cuma satu situasi. Ia hanya situasi. Ia umpama awan gelap di langit luas. Samada ia akan luruh sebagai hujan. Atau ia berarak pergi ditiup angin..InsyaAllah.
Dan ingat juga secara tersirat, apabila berlaku perselisihan faham antara suami-isteri, Allah sedang membuka pintu untuk bertandangnya pahala sabar, redha, meminta dan memberi maaf, sangka baik dan lain-lain buat kita berdua. Amin.
Layari www.syurgacinta.com untuk penjelasan lebih tuntas.
[Ustaz Pahrol Mohd Juoi]
Comments
Post a Comment