Dosa besar ke 19 : Menggelapkan Harta Rampasan Perang, Baitul Mal dan Zakat.
Setiap orang diberi ujian oleh Allah SWT dalam pelbagai bentuk, sama ada ujian itu dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan.
Maka, tidak hairan jika ada diantara kita diuji dengan kemewahan harta di depan masa.
Meskipun harta itu bukan milik kita. Namun, ada yang akan cuba menyalahguna, menyeleweng harta tersebut kerana desakan nafsu dan syaitan.
Antara penyelewengan yang paling teruk adalah menyeleweng, menggelapkan harta rampasan perang, baitul mal dan zakat.
Sebagaimana yang kita maklumi, harta - harta yang disebut di atas adalah harta yang dinyatakan secara jelas di dalam Al Quran, bahawa, ia dibekalkan kepada yang layak menerima sahaja.
Bukan boleh diguna atau diberi sewenang - wenangnya sahaja.
Dan pemilik harta itu kita kenali sebagai Asnaf.
Oleh itu, penyalahgunaan, penyelewengan, penggelapan harta itu merupakan dosa yang sangat besar di sisi Allah.
Firman Allah SWT
Al-'Imran ayat 161
وَمَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَنْ يَغُلَّ ۚ وَمَنْ يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفّٰى كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Tidak mungkin seorang nabi berkhianat dalam urusan harta rampasan perang. Barangsiapa yang berkhianat dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.
Ayat di atas turun setelah perang Uhud di mana terdapat sehelai kain selendang merah yang menjadi antara harta rampasan telah hilang.
"Lalu ada di antara para sahabat Rasulullah SAW mengatakan "mungkin Rasulullah SAW telah mengambilnya."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam musnadnya.
Allah SWT kemudiannya menurunkan ayat ini sebagai penjelasan dan pembelaan kepada Rasulullah SAW.
Dan Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang menyeleweng harta rampasan perang.
Ia merupakan pengkhianatan, dan pada hari kiamat, pengkhianatan itu turut serta bersama dengannya untuk di balas dengan setimpal.
Sebagai bukti keadilan Allah SWT.
Abu Humaid As-Sa'idi berkata.
"Nabi SAW memerintahkan seorang lelaki dari pada Azd yang dikenali sebagai Ibnu at-Lutbiyyah untuk menguruskan zakat.
Ketika dia datang, dia berkata, "Bahagian ini untuk kamu dan bahagian ini pula dihadiahkan kepadaku."
Lalu Nabi SAW naik ke mimbar, memuji dan mengagungkan Allah, kemudian bersabda,
"Adapun seterusnya, sesungguhnya aku telah memerintahkan seorang lelaki daripada kalian (untuk mengurus zakat)."
Namun, dia berkata,
"Bahagian ini untuk kamu dan bahagian ini pula dihadiahkan kepadaku."
"Mengapa dia tidak duduk sahaja di rumah ibubapanya, sehingga hadiah tersebut datang kepadanya jika dia memang seorang yang jujur?
Demi Allah, tiada seorang pun daripada kamu yang mengambil sesuatu tanpa hak, melainkan dia bertemu Allah pada hari Kiamat sambil memikulnya.
Demi Allah, sesungguhnya aku benar - benar tahu siapakah lelaki yang bertemu Allah sambil memikul unta yang berbunyi, lembu yang melenguh, atau kambing yang mengembek.
kemudian, Baginda mengangkat kedua - dua tangan lalu berkata, "Ya Allah, adakah aku telah menyampaikan semuanya?"
Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Hadis di atas menyatakan bagaimana seorang yang diberi amanah untuk menguruskan zakat, tetapi dengan mudah sahaja memgambil harta tersebut tanpa rasa bersalah.
Sedangkan, jika ingin mudah dan senang, adalah lebih baik duduk di rumah menjaga ibubapa.
Itu lebih baik amalan daripada datang ke suatu tempat, menjadi pengurus harta dan kemudiannya menyeleweng.
Kerana dengan sikap yang tidak jujur ini, harta yang di seleweng tadi akan dibangunkan bersama dia pada hari kiamat, dan dia akan memikul harta itu seperti memikul unta, lembu atau kambing yang berbunyi.
Untuk menarik perhatian orang ramai supaya melihat dia, dan orang tahu "oh, dia ni penyeleweng harta".
Di canang sepanjang hari kiamat sebelum dihumban ke dalam neraka.
Dalam sebuah riwayat lagi.
Abu Hurairah meriwayatkan,
"Kami berangkat bersama Rasulullah SAW menuju ke Khaibar. Kami dapati tiada harta rampasan sama ada emas atau perak, yang kami dapati ialah barangan, makanan dan pakaian.
Kemudian kami menuju ke sebuah lembah, dan bersama Rasulullah SAW terdapat seorang hamba yang dihadiahkan lelaki dari Juzam kepada baginda.
Ketika kami sampai, hamba Rasulullah SAW melepaskan pelana tunggangannya. Tiba-tiba dia dipanah lalu meninggal dunia di situ.
Kami pun berkata,
"Alangkah indahnya dia mendapat mati syahid wahai Rasulullah."
Namun, baginda bersabda,
"Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaaan-Nya, kain sarungnya dipenuhi api yang membakar. Dia perolehi daripada daripada harta rampasan perang dalam peperangan Khaibar yang masih belum dibahagikan."
Beliau (Abu Hurairah) berkata, "Orang ramai pun terkejut, tiba - tiba datang seorang lelaki membawa satu atau dua tali kasut (yang diambilmya ketika perang Khaibar).
Maka, Baginda Rasulullah SAW bersabda, "Satu atau dua tali ini daripada neraka (baginya jika tidak dipulangkan)."
Muttafaqun alaih, daripada Abu Hurairah.
Hadis di atas menggambarkan sekecil - kecil harta rampasan perang yang diambil dengan cara yang salah, akan dihukum dengan api neraka.
Walaupun tali kasut sahaja.
Apatah lagi yang lebih besar dan berharga.
Sehingga, yang mati syahid juga tidak layak menerima syahid kerana mengambil harta rampasan perang.
Ini merupakan balasan dosa yang sangat besar.
Abu Daud meriwayat sebuah hadis daripada 'Amru bin Syu'aib, daripada bapanya, daripada datuknya,
"Sesungguhnya Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar pernah membakar harta orang yang menggelapkan harta dan memukulnya."
Abdullah bin 'Amru berkata,
"Dalam rombongan Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang dikenali sebagai Kirkirah. Lelaki itu meninggal dunia, lalu Nabi SAW bersabda,
"Dia berada di dalam neraka."
Kemudian para sahabat pergi memeriksanya, dan mendapati sehelai jubah yang dicurinya (daripada harta rampasan perang). "
Riwayat Al-Bukhari.
Kata pengarang kitab,
Banyak lagi hadis yang berkaitan dalam bab ini.
Sebahagiannya akan dinyatakan di dalam bab zalim.
Zalim mempunyai 3 bahagian :
1. Makan sesuatu harta secara batil.
2. Menzalimi orang lain dengan membunuh, memukul, mematahkan anggota atau melukakannya.
3. Menzalimi orang dengan mencela, melaknat, mencaci dan menuduhnya zina.
Bab ini akan dibincangkan pada masa akan datang.
إن شاء الله
Nabi pernah menyampaikan khutbah di Mina,
"sesungguhnya darah, HARTA, dan kehormatan kamu adalah haram, sebagaimana haramnya hari ini, bulan ini dan dalam negeri ini."
Muttafaqun alaih, daripada Abu Bakrah.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"Allah tidak menerima solat tanpa bersuci dan sedekah daripada harta yang gelap (harta yang diselewengkan)."
Riwayat Imam Muslim, daripada Ibnu Umar.
Zaid bin Khalid Al-Juhani berkata,
"Ada seorang lelaki telah menyeleweng harta rampasan dalam Perang Khaibar. Lalu Rasulullah SAW enggan melakukan solat jenazah ke atasnya,
dan bersabda,
" Sahabat kau ini telah menggelapkan harta di Jalan Allah. "
Kami pun memeriksa barangannya, dan menemui manik - manik kecil yang nilainya tidak sampai 2 dirham."
Riwayat Imam Abu Daud dan An-Nasa'i
Lihat kerana barang yang nilai tidak sampai 2 dirham, Rasulullah SAW tidak mengaku itu sabahat dia dan enggan solat jenazahnya.
Bagaimana pula di hadapan Allah?
Imam Ahmad berkata,
"Kami tidak tahu bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan solat jenazah ke atas seseorang kecuali penyeleweng harta dan orang yang membunuh diri."
Kerana menyeleweng harta yang bukan milik kita,
Azab Allah akan menanti kita.
Di dunia ini, mungkin Allah akan mendatangkan kehinaan kepada kita.
Walau sekecil mana harta. Jangan kita berani menyeleweng.
Kerana kita mengundang murka Allah SWT.
Kitab dosa-dosa besar, terjemahan Al-Kabair, karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment