Dosa besar ke 18 : Menuduh wanita yang telah berkahwin melakukan zina
Sebelum kedatangan Rasulullah SAW untuk menyempurnakan agama Allah SWT,
Wanita dipandang rendah dan hina oleh para lelaki.
Di mana - mana tempat sekalipun, wanita tidak di bela dan dipandang mulia.
Para wanita dianggap sebagai objek pemuas nafsu, hamba, pengurus rumah, pengurus anak - anak semata - mata.
Maka, dengan mudah sahaja para lelaki menuduh para wanita ini melakukan zina tanpa sebarang sebab atau bukti.
Selepas Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul, martabat wanita di angkat semulia - mulia tempat.
Lelaki dan wanita adalah sama.
Yang membezakan jantina ini di sisi Allah hanyalah nilai Taqwa.
Semakin tinggi nilai taqwa, semakin dekat dia dengan Allah tanpa mengira jantina.
Oleh itu, Islam memberi kemuliaan ini dengan pembelaan kehormatan dan maruah kepada para wanita.
Salah satu pembelaan itu ialah tuduhan zina tanpa bukti dan saksi adalah dosa besar dan dikenakan hukuman hudud sebagai balasan di dunia.
Tuduhan ini disebut sebagai Qazaf.
Firman Allah SWT
An-Nur ayat 4
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمٰنِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُولٰٓئِكَ هُمُ الْفٰسِقُونَ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
Jelas dinyatakan dalam ayat di atas, jika tuduh perlu ada 4 saksi yang ('adil) sebagai pembuktian tuduhan itu.
Jika tidak dapat bawa saksi, terus kena sebat 80 kali.
Bukan tunggu bicara, terus kena hukum. Sebagai tanda bahawa tuduhan itu sangat keras.
An-Nur ayat 5
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنۢ بَعْدِ ذٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sambungan ayat ini adalah untuk orang yang menuduh tadi, telah dicop sebagai fasik. Dan dia bukan dikalangan orang yang dipercayai lagi.
Kecuali jika dia telah bertaubat.
Jika tidak bertaubat, dia kekal sebagai orang yang fasik.
Firman Allah SWT
An-Nur ayat 23
إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنٰتِ الْغٰفِلٰتِ الْمُؤْمِنٰتِ لُعِنُوا فِى الدُّنْيَا وَالْءَاخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar,
Ayat yang awal tadi dinyatakan hukuman dunia.
Ayat di bawah pula disebut tentang hukuman dan azab diakhirat.
Diadili sendiri oleh Allah SWT.
Inilah pembelaan Islam terhadap maruah dan kehormatan mereka.
Betapa Islam sangat memuliakan wanita.
Dibela di dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda,
"Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan..." lalu baginda menyebut salah satu daripadanya ialah menuduh wanita yang telah berkahwin, memelihara kehormatan, dan beriman dengan tuduhan zina."
Riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah.
Dosa ini jika dilakukan akan membinasa diri pelakunya dunia dan akhirat.
Tidak akan terlepas.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"Muslim (yang sebenar) ialah orang yang memastikan kaum Muslimin selamat daripada (perbuatan buruk) lidah dan tangannya."
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah Ibnu 'Amru.
Rasulullah SAW menggambarkan bahawa lidah tangan ini mampu menyusahkan dan menganiaya orang lain.
Oleh itu, seorang yang benar2 beriman, tidak akan melakukan kezaliman dengan tangan (kuasa) atau lidahnya (kata - kata atau tulisan) terhadap orang Islam yang lain.
Firman Allah SWT
Al-Ahzab ayat 58
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنٰتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
Sabda Rasulullah SAW,
"sesiapa yang menuduh hambanya berzina, nescaya dia akan dihukum dengan hukuman had pada hari kiamat, kecuali jika apa yang diucapkan itu benar."
Muttafaqun alaih, daripada Abu Hurairah.
Pengarang menyambung tulisannya selepas hadis di atas,
"Manakala orang yang menuduh Ummul Mukminin Aisyah RAha, berzina selepas turunnya perintah dari langit yang membersihkan beliau, maka orang tersebut menjadi kafir lagi mendustakan Al-Quran. Justeru, dia boleh di bunuh."
Maka, kita seharusnya pelihara fikiran kita, hati kita, tangan kita dan lidah kita daripada bersangka buruk serta menuduh tanpa saksi.
Kerana, perbuatan ini akan membinasakan diri kita sendiri.
Kitab Dosa - dosa besar, terjemahan Al-Kabair, karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment