Dosa Besar ke 16 : Kesaksian Palsu.
Saksi merupakan antara watak penting dalam kehidupan manusia.
Saksi dalam pelbagai bentuk.
Saksi tidak terhad kepada saksi nikah atau mahkamah semata - mata.
Saksi ini berada dalam semua urusan manusia.
Misalnya,
Saksi jual beli, saksi hutang, saksi wasiat, saksi masuk waktu solat, saksi masuk bulan ibadah seperti Ramadan dan Syawal.
Dan pelbagai lagi saksi
Saksi merupakan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Seseorang itu wajib memberi keterangan saksi apabila diminta.
Jika lari dari menjadi saksi, ia adalah dosa.
Namun, dosa yang lebih besar adalah memberi kesaksian palsu.
Saksi palsu adalah saksi yang mereka - reka cerita hingga orang lain percaya dan mendatangkan kezaliman kepada orang lain.
Contohnya
Seseorang itu menjadi saksi wasiat harta bahawa harta yang ditinggalkan perlu dibahagikan sedikit kepada anak yatim.
Ahli waris ingin membolot harta itu kesemuanya dan mengupah saksi asal wasiat itu untuk mengubah kesaksian kepada wasiat lain yang tidak membenarkan harta diserahkan kepada anak yatim.
Apabila saksi itu bersetuju, maka, saksi tersebut telah memberi kesaksian palsu.
Ini adalah larangan di sisi syarak
Firman Allah SWT
Al-Furqan ayat 72
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.
Dalam ayat di atas, Allah memberi amaran tentang azab di akhirat akan diberi kepada semua orang kecuali beberapa kumpulan.
Antaranya ialah orang yang tidak memberi kesaksian palsu.
Jika dia beri kesaksian palsu, maka, dia termasuk orang yang menerima azab Allah.
Dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa,
"kesaksian palsu itu menyamai syirik kepada Allah."
HR Imam Abu Daud daripada Khuraim bin Fatik.
Firman Allah SWT
Al-Hajj ayat 30
ذٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمٰتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ عِنْدَ رَبِّهِۦ ۗ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعٰمُ إِلَّا مَا يُتْلٰى عَلَيْكُمْ ۖ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثٰنِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Dan telah dihalalkan bagi kamu semua binatang ternak, terkecuali yang diterangkan kepadamu keharamannya, maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta.
Hujung ayat ini menyatakan larangan berkata dusta.
Termasuk juga kesaksian. Kerana saksi itu berkata - kata.
Dalam sebuah hadis lain, diriwayatkan bahawa,
"Tidak akan berganjak dua kaki pemberi kesaksian palsu pada hari kiamat sehinggalah neraka menjadi balasan mesti baginya,"
Riwayat Imam Al-Hakim, daripada Abdullah Ibnu Umar.
Kata pengarang kitab,
"pemberi kesaksian palsu telah melakukan beberapa dosa besar iaitu :
1. Pembohongan dan tuduhan palsu, padahal Allah berfirman
Al-Ghafir ayat 28
وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَكْتُمُ إِيمٰنَهُۥٓ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّىَ اللَّهُ وَقَدْ جَآءَكُمْ بِالْبَيِّنٰتِ مِنْ رَّبِّكُمْ ۖ وَإِنْ يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُۥ ۖ وَإِنْ يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُمْ بَعْضُ الَّذِى يَعِدُكُمْ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ
Dan seorang laki-laki yang beriman di antara pengikut-pengikut Fir´aun yang menyembunyikan imannya berkata: "Apakah kamu akan membunuh seorang laki-laki karena dia menyatakan: "Tuhanku ialah Allah padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu". Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.
Dinyatakan dalam sebuah hadis,
"Seorang Mukmin diciptakan dengan segala tabiat kecuali khianat dan dusta."
Riwayat Al-Tabarani dalam Mu'jam Al-Kabir, daripada Ibnu Umar.
2. Dia menzalimi orang yang dia persaksikan, sehingga ke tahap mengambil harta, kehormatan dan nyawanya melalui kesaksian palsu itu.
3. Dia menzalimi orang yang diberi kesaksian, dengan cara memberinya harta haram lalu dia menerimanya dengan sebab pengakuan palsu itu, maka, wajib baginya api neraka.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesiapa yang aku putuskan sesuatu daripada urusan harta saudaranya tanpa hak, maka, janganlah dia mengambilnya, kerana aku sedang memberinya satu bahagian daripada api neraka."
Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ummu Salamah.
4. Dia telah menghalalkan sdsuatu yang diharamkan dan dipelihara Allah ke atasnya dari sudut harta, darah dan kehormatan.
Sabda Rasulullah SAW,
Haram ke atas setiap Muslim ke atas Muslim yang lain pada ; Harta, darah dna kehormatannya. "
Riwayat Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah.
Baginda bersabda lagi,
"Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang sebesar - besar dosa besar? Ia adalah syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa, berkata - kata dusta dan pengakuan palsu."
Para sahabat berkata. Baginda sentiasa mengulang - ulangnya berkali - kali sehingga kami mengatakan (dalam hati atau sesama sendiri), mudah-mudahan baginda tidak menyebutnya lagi."
Mutafaqun alaih, dari Abu Bakrah.
Kesaksian palsu ini merupakan kezaliman yang mencemar maruah, kehormatan, harta dan nyawa orang yang dizalimi.
Dengan kesaksian palsu,
Mangsa mungkin hilang hak warisan atau pemilikan.
Mangsa mungkin akan mendapat malu dan dipandang hina.
Mangsa mungkin akan dihukum bunuh.
Walaupun mangsa - mangsa ini tidak bersalah.
Inilah bukti kezaliman yang nyata.
Moga Allah lindungi kita dari sikap dusta ini.
Kitab Al Kabair, dosa - dosa besar, karangan imam Az-Zahabi, terbitan Telaga Biru.
Comments
Post a Comment