Dosa Besar ke 13 : Pemimpin Yang Menipu Rakyatnya, Zalim dan Bengis.
Di dalam dunia Islam, kita melalui beberapa fasa zaman pemerintahan.
Bermula dengan fasa :
1. Pemerintahan Nubuwwah iaitu pemerintahan oleh Rasulullah SAW. (telah berakhir)
2. Pemerintahan Minhaj Nubuwwah iaitu pemerintahan yang mengikut jejak langkah Rasulullah
SAW. Diperintah oleh Khalifah Ar - Rashidin bermula dari Abu Bakar Ra hingga Hassan Ra. (telah berakhir)
3. Pemerintahan Mulkan Aziman iaitu pemerintahan kerajaan yang Agung. Iaitu kerajaan - kerajaan Islam yang hebat seperti Umaiyah, Abbassiyyah, Uthmaniyyah. (Telah berakhir).
4. Pemerintahan Mulkan Kabir iaitu pemerintahan kuku besi. Pemerintahan ini jauh dari jalan Islam. Ia menjerut rakyat dan Islam tertindas pada ketika ini. (fasa masa kini).
5. Pemerintahan Minhaj Nubuwwah iaitu pemerintahan yang berteraskan jalan Rasulullah SAW.
Diketuai oleh Imam Mahadi dan Nabi Isa as. Ini adalah zaman selepas ini. Zaman pengakhiran.
Kita sedang melalui fasa pemerintahan kerajaan yang menekan rakyat. Kerana, kerajaan nya adalah orang yang tidak menurut lunas Islam.
Oleh itu, tidak pelik, jika pemimpinnya akan berlaku zalim, menipu rakyat dan bengis.
Jelas didepan mata kita, pemerintah yang sebegini.
Lihat sahaja di Amerika, rejim yahudi Israel, Brazil, Argentina, Venezuela, Filipina, Thailand, Indonesia, Myanmar, India, Syria, Iraq, Lubnan dan banyak lagi.
Termasuk juga negara kita Malaysia
Firman Allah SWT
Ash-Syura ayat 42
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِى الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.
Ini adalah balasan bagi seseorang yang diberi kuasa pemerintahan, tetapi melampaui batas dengan berbuat zalim kepada rakyat dan menggondol khazanah bumi dengan cara yang melampau.
Mereka guna cara yang salah.
Firman Allah SWT
Al-Ma'idah ayat 79
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُّنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.
Pemimpin yang ditegur oleh Allah SWT adalah pemimpin yang tidak menggunakan kuasa untuk mencegah kemungkaran.
Malah, menggalakkan lagi maksiat.
Pesta di sana sini, arak, zina, penipuan, rasuah di sana sini.
Bebas melakukan segala jenis maksiat, tanpa ada yang menghalang
Pemimpin begini akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW
"Setiap kamu ialah pentadbir, dan kamu semua akan ditanya tentang apa yang ditadbirnya. Pemimpin ialah pentadbir dan akan ditanya tentang rakyatnya. Lelaki adalah pentadbir kepada keluarganya dan dia akan ditanya tentang tanggungannya. Perempuan adalah pentadbir rumah suaminya dan akan ditanya tentang jagaannya. Khadam adalah pentadbir harta tuannya dan akan ditanya tentang barang yang dijaganya. "
HR Al Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah Ibnu Umar.
Sabda baginda lagi,
" sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan dari kalangan kami."
HR Muslim, daripada Abu Hurairah.
Sabda Rasulullah SAW,
"mana - mana pemimpin yang menipu rakyatnya, maka dia berada di dalam neraka"
HR Imam Ibnu Majah dalam kitab Al-Iman, daripada Ma'qil bin Yasar.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
" sesiapa yang diperintahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, namun tidak mentadbir dengan baik, Allah Haramkan syurga baginya. (lafaz yang lain).... lalu mati dalam keadaan fia menipu rakyat, maka Allah mengharamkan syurga baginya. (dalam lafaz yang lain)... Dia tidak dapat mencium bau syurga. "
Muttafaqun alaih, daripada Ma'qil bin Yasar.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"tidak ada pemimpin kepada sepuluh orang melainkan akan didatangkan (pada hari kiamat) dalam keadaan tangannya terbelenggu ke leher. Sifat adilnya yang membebaskannya, manakala sifat zalimnya akan membinasakannya."
HR Al- Bazzar, daripada Abu Hurairah.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"akan tiba suatu masa nanti, adanya pemimpin yang fasiq dan zalim. Maka sesiapa yang membenarkan penipuan mereka, dan membantu mereka melakukan kezaliman, maka dia bukan dari umatku, dan aku bukan dari kalangannya, serta dia tidak akan sekali - kali melintas dihadapanku di al-haudh (telaga kausar - tempat umat Nabi Muhammad SAW minum pada hari kiamat)."
Riwayat Al-Hakim, daripada Ka'b bin 'Ujrah.
Orang yang menjadi teman rapat, pemilih, penyokong, sekutu, pembela kepada pemimpin yang menipu rakyat serta zalim..
Mereka turut dibangkitkan bersama pemimpin tersebut.
Dan Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku sebagai umat.
Tidak juga dapat minum air telaga kausar
Diriwayatkan daripada Aghlab bin Tamim, katanya Al-Ma'la bin Ziyad telah menceritakan kepada kami, daripada Muawiyah bin Qurrah, daripada Ma'qil bin Yasar, daripada Rasulullah SAW bersabda
"dua golongan umatku yang tidak akan mendapat syafaatku :
1. Penguasa yang zalim dan kejam ;
2. Orang yang melampau dalam urusan agama,
Dia bersaksi di hadapan manusia, kemudian berlepas diri daripada mereka."
HR Al - Tabarani dalam Al-Mu'jam al- Kabir.
Aghlab ialah perawi yang lemah.
Muhammad bin Juhadah meriwayatkan daripada Athiyyah, daripada Abu Said Al-Khudri secara Marfu'
"Manusia yang paling berat azabnya pada hari kiamat ialah pemimpin yang zalim."
Riwayat Abu Ya'la al - Musili.
Diriwayatkan daripada Baginda Rasulullah SAW, sabdanya,
"Sesiapa yang Allah jadikan sebagai pentadbir urusan Umat Islam, lalu dia berselindung tanpa mempedulikan keperluan dan kemiskinan mereka(rakyat), maka Allah alan berselindung daripadanya pada hari kiamat tanpa mempedulikan hajat, keperluan dan kemiskinannya"
Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi, daripada Muawiyah.
Baginda bersabda,
"Pemimpin paling buruk dalam kalangan kamu ialah mereka yang kamu benci dan mereka juga membenci kamu, serta kamu mencela mereka dan mereka juga mencela kamu."
Para sahabat bertanya. "Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?"
Baginda menjawab,
"Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu"
HR Muslim, daripada Auf dan Malik.
Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya Allah akan menangguhkan balasan bagi orang yang zalim, sehingga Dia menghukumnya, Allah tidak akan meninggalkannya walau sedikit pun."
Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat berikut
Hud ayat 102
وَكَذٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَآ أَخَذَ الْقُرٰى وَهِىَ ظٰلِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُۥٓ أَلِيمٌ شَدِيدٌ
Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Muadz ketika mengutuskan beliau sebagai wakil Rasulullah SAW di Yaman,
"Janganlah kamu mengambil harta-harta mereka yang mahal nilainya (sebagai zakat). Takutilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada penghalang antara doanya dengan Allah."
Muttafaqun alaih, daripada Ibnu Abbas.
Baginda SAW juga bersabda,
"Tiga golongan yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka (pada hari kiamat)..." lalu baginda menyebut salah satu daripadanya ialah pemimpin yang suka menipu.
Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Hurairah.
Sabda Rasulullah SAW lagi,
"Sesungguhnya kamu akan menginginkan jawatan, namun ia juga akan menjadi suatu penyesalan pada hari kiamat."
HR Imam Al-Bukhari, daripada Abu Hurairah.
Namun Allah SWT menyediakan negeri akhirat yang penuh nikmat bagi seseorang yang berkhidmat sebagai pemimpin atau dipilih sebagai pemimpin, tetapi dengan hati yang ikhlas, bukan bertujuan untuk kuasa atau pengaruh.
Firman Allah SWT
Al-Qasas ayat 83
تِلْكَ الدَّارُ الْءَاخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِى الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Rasulullah SAW bersabda kepada Ka'b bin 'Ujrah,
"semoga Allah melindungimu daripada kepimpinan yang diuruskan oleh orang - orang bodoh iaitu : Para pemimpin yang datang selepasku, mereka tidak mengambil petunjuk ku dan tidak mengikuti sunnah ku."
HR Al-Hakim, daripada Jabir bin Abdullah
Al-Hakim menilai hadis ini sebagai Sahih.
Terdapat pemimpin pada hari ini yang leka dan lalai dari pesanan Rasulullah SAW supaya menjadi pentadbir yang memikirkan soal rakyat.
Tidak ramai yang mahu menjaga hak rakyat.
Ada pemimpin yang hanya ingin kemasyhuran, atau pengaruh, sehingga sanggup melakukan apa sahaja asal dapat terus berkuasa.
Kemudian terlupa tugasnya sebagai wakil kepada rakyat yang memilihnya.
Ada juga pemimpin, yang memperlihatkan kuasanya untuk kepentingan peribadi sahaja.
Jauh daripada perintah dan suruhan Rasulullah SAW..
Maka, pemimpin yang menipu rakyat, berlaku zalim dan bengis kepada rakyat adalah pemimpin yang mengundang dosa besar.
Azab Allah SWT menanti kepada pemimpin yang sebegini..
Lihat lah pada diri kita.
Kita ini mungkin suami, mungkin juga isteri.
Setiap kita adalah pemimpin dan pentadbir.
Yang memiliki sesuatu yang perlu ditadbir dengan betul.
Kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita tadbir..
Kita muhasabah diri, perbaiki diri kita.
Moga2 kita tidak termasuk di dalam kalangan pemimpin yang jahat ini..
Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan dosa besar ini.
Kitab Al - Kabair : Dosa - Dosa Besar, karangan Imam Az-Zahabi, Terbitan Telaga Biru
Comments
Post a Comment